Kemalangan Jalan Raya

8.5K 567 67
                                    

LANGIT masih belum berhenti menangis sejak semalam. Hujan lebat membasahi bumi Siber Raya yang terletak di pinggir ibu kota. Entah siapa yang mengajak langit menonton melodrama. Pertukaran pasukan bertugas dilakukan tepat jam lapan pagi. Jujur, bila hujan tidak berhenti begini tiada seorangpun anggota bomba yang tidak risau walaupun kerisauan itu disembunyikan di sebalik wajah yang kekal tenang.

"Harap hari ni tak ada kes berat la." Lew mengacau air panas dan susu pekat untuk membancuh secawan Milo yang bakal menjadi padanan sarapan nasi goreng Cik Ros.

10 kepala manusia yang berada di pantri terus berpusing memandang Lew. Pantang datuk nenek moyang mengungkapkan kata-kata begitu. Bukan apa, biasanya...

"Perhatian, perhatian! Panggilan kecemasan kemalangan jalan raya di Jalan Perkasa 3. Semua anggota bertugas diminta bersedia." Suara Kumar yang bertugas di bilik kawalan dapat didengari dari pembesar suara di sekeliling balai. Pengumuman itu diiringi dengan bunyi siren.

Sumpahan Lew mengena. Jangan diseru nanti kes berat itu betul-betul datang. Tercengang sebentar Lew mengenangkan Milo yang belum siap dibancuh lagi.

Aku terus menyuap tiga sudu nasi goreng Cik Ros dan menyambar roti serta air mineral 1.5 liter di hadapan aku lalu terus berlari ke tiang bomba di tingkat dua yang menuju terus ke jentera. Sahabat Alpha 122 yang lain turut sama berlari ke tiang bomba.

Seorang demi seorang turun dan terus menuju ke rak baju operasi untuk mengambil baju, topi keledar, kasut dan beberapa peralatan lain.

Satu jentera, satu EMRS atau lebih dikenali sebagai ambulan bomba dan dua Rapid Intervention Motorcycle RIM akan digerakkan ke tempat kejadian.

"Assalamualaikum dan Selamat Pagi PGO. Alpha 122 Siber Raya dipandu PBK KUP 171121 diketuai PBK II 151967 bersama anggota keluar kes kemalangan jalan raya beralamat di Jalan Perkasa 3. Bagaimana terima over." Cik Razak memyampaikan makluman kepada Pusat Gerakan Operasi.

"PGO Selangor terima dan standby over," balas anggota di hujung talian.

Pagi-pagi lagi sudah berhadapan dengan kes kemalangan jalan raya. Pasti kerana jalan yang licin.

"Akmal, kau sempat lagi rembat roti dengan air ya?" Sufi menegur botol air dan roti di tangan aku.

"Aku takat botol air dengan roti je. Azlan siap bawa satu Tupperware nasi goreng lagi, apa cerita?" Aku menunjuk ke arah Azlan yang memangku Tupperware di pahanya.

"Aku bawa nak bagi Lew makan. Kesian member tak dan alas perut." Azlan membuka Tupperware nasi goreng.

"Nasib baik Cik Ros bawa nasi goreng kalau tak nganga la tadah air hujan buat alas perut. Kes berat ni. Satu kereta dua motor." Cik Razak yang duduk di tempat duduk hadapan jentera menghulur tangan. Diapun tak sempat lagi bersarapan. Bekal yang isterinya masak pagi tadi elok duduk atas meja makan di pantri.

Satu sudu kongsi enam orang. Satu orang makan dua suap nasi goreng bersama secebis roti. Baru namanya banyak sama dilapah, sikit sama dicicah. Sehati sejiwa sentiasa katakan.

"Pagi tadi, office kata kita akan terima anggota baru. Saya tak tahulah saya salah dengar ke apa tapi nama dia Akmal juga. Tambah la kumbang lagi seekor," beritahu Cik Razak.

"Akhirnya, bertambah juga ahli kita." Sufi bersyukur.

"Tapi nanti pening la ada dua Akmal." Lew memberi komen.

"Ah tak ada, aku masuk sini dulu, aku guna nama Akmal." Aku mempertahankan nama aku. Tak sabar nak kenal dengan mamat nama Akmal ni. Bukan apa, biasanya orang nama Akmal ni segak belaka.

Mereka semakin menghampiri tempat kemalangan. Nufail yang menunggang RIM sudah sampai di tempat kejadian. Dia akan memantau situasi terlebih dahulu sebelum yang lain sampai ke sana.

ALPHA 122Where stories live. Discover now