Pra-Operasi Banjir: Akmals' Plan

4K 398 49
                                    

Selesai solat isyak, aku turun ke kedai koperasi yang berada di tingkat bawah kuarters. Tempat paling wajib dikunjungi sebelum menyertai operasi luar kawasan balai. Aku hanya menutup pintu dan menarik gril tanpa menguncinya. Bukan ada apa-apa benda yang berhargapun dalam rumah bujang aku tu. Lagipun kadang-kadang Darwish dan Nufail akan bermalam di rumah aku.

Sekarang pukul 8:45 malam. Aku perlu berkumpul di dataran pada jam 4 pagi. Jadi malam ini aku tak boleh tidur lewat sangat.

Beg eco aku bawa bersama bagi menyahut seruan pengurangan kadar penggunaan beg plastik sekali guna. Ini sudah dikira sekecil-kecil usaha aku untuk tidak menambah sampah atas muka bumi ini.

Berhampiran dengan koperasi, ada anak-anak muda sebaya Darwish menjual burger. Mereka ini ialah anak-anak pegawai yang mencari duit poket tambahan.

"Jat, abang macam biasa tau. Buat sedap-sedap abang nak keluar operasi luar ni. Nanti rindu burger kau payah pula." Aku membuat tempahan.

"Beres bang. Saya buat kasi kick punya. Abang pergi shopping dulu." Izzat yang lebih mesra dipanggil Jat terus menulis pesanan aku.

Kaki terus melangkah masuk ke koperasi. Aku terus menuju ke bahagian makanan kering. Pilihan-pilihan mi segera yang ada membuatkan aku buntu seketika. Keputusan ini akan memberi kesan kepada masa hadapan. Agaknya dekat Buana nanti aku teringin nak makan mi segera perisa apa ya?

Mata terpandang pada satu-satunya bungkusan 5 pek Maggi Asam Laksa yang berada di bahagian dalam rak. Tatkala tangan aku memaut bungkusan itu, ia tidak berganjak. Bila aku tarik, dia menarik balik. Aku tak mahu merisikokan diri dengan melepaskan mi segera itu. Takut nanti kempunan tujuh keturunan. Panjangnyalah tangan orang di sebelah sana.

Aku cuba mengintai dari celah rak untuk melihat siapa yang cuba merampas Maggi Asam Laksa aku tetapi tidak kelihatan.

"Boleh tak saya nak maggi ni? Esok saya ada operasi luar." Suara itu cukup aku kenal.

"Masalahnya esok pun aku ada operasi luar juga," balasku.

"La, Akmal ke? Kau nak beli stok makanan kering la ni? Tunggu situ jap, aku pusing," ujar Aira.

Beberapa saat kemudian, Aira muncul dengan bakul pasar di tangan. Dia ni lagi melampau daripada aku! Nak pergi operasi ke nak pergi berkelah?

"Kau nak bawa makanan sendiri kan esok?" Aira bertanya.

"Mestilah kena bawa, karang nanti terlepas waktu makan ke lapar tiba-tiba ke nak pergi kuis dekat mana ye tak?"

"Betul weh, aku setuju. Kena pula yang kuat makan macam kau ni," kata Aira tanpa menyedari dia sedang bercakap dengan cermin.

Aku kuat makan? Dia dua kali lima sepuluh je dengan aku. Kami berdua la yang jadi tukang perhabis semua makanan yang orang masak. Kalau dulu aku seorang.

"Orang nama Akmal ni memang kuat makan kot. Kau pun sama je." Aku membalas.

"Mungkin la, sebab dekat rumah tu ayah aku kata aku yang perhabis beras. Kau nak buat plan strategik bekalan makanan dan air dengan aku tak?" Aira membuka tawaran yang sukar untuk aku tolak.

Ini kali pertama dalam sejarah hidup aku yang tak berapa panjang ada orang yang menawarkan diri untuk membuat pakatan bekalan makanan.

"Abang, akak tumpang lalu. Meeting jangan tengah jalan. Susah acik nak lalu." Seorang makcik meminta laluan.

Alamak, tak sedar pula kami menghalang jalan. Kami membuka laluan untuk makcik itu lalu beralih ke kawasan dalam koperasi yang lebih lapang. Maggi Asam Laksa yang direbutkan tadi Aira letak dalam bakulnya bimbang ada orang lain pula yang mengambil Maggi itu.

ALPHA 122Where stories live. Discover now