Api Belukar

3.5K 389 38
                                    

Aku duduk menghadap kipas yang dibuka dengan kelajuan 3. Kalau tidak kerana sedang bertugas di balai sudah lama aku tanggalkan baju dan mandi ais.

Suhu hari ini mencecah 32 darjah celcius. Antara hari yang panas kerana fenomena El Nino sedang melanda negara. Rasa macam nak lari masuk dalam hutan bersungai yang hijau. Biar sejuk dan tenang.

"Oi, pakai kipas seorang." Nufail datang mendekati aku.

"Mana aci wei." Darwish juga mahu menuntut kipas.

"Astaghfirullahalazim sahabat, ini baru panas dunia. Panas akhirat nanti matahari cuma sejengkal atas kepala. Amal soleh je yang boleh menyelamatkan kita. Berwuduklah anak-anak muda untuk menyejukkan hati kalian. Sesungguhnya angin kipas yang tak seberapa ni tak mampu membantu kalian." Azlan yang berkopiah kerana baru habis solat zohor muncul memberi tazkirah. Tapi dia datang ke arah kipas ni juga. Apa jenis dakwah yang dia buat ni akupun tak tahu.

Bila dah ramai berkumpul macam ni, makin panas pula jadinya.

"Pantri ada buah tembikai sejuk. Aira dengan Cik Ros..." Tak sempat Eric menghabiskan ayatnya, berdesup kami berlari menuju ke pantri.

Sampai di pantri, kelihatan Aira dan Cik Ros sedang memotong buah tembikai.

"Laju betul sampai. Rasa baru je berapa minit suruh Eric panggil," tegur Cik Ros.

Kami hanya mampu tersengih. Mana boleh lawan godaan tembikai sejuk pada hari yang amat panas ini.

Aira mencuci tangannya lalu membuka peti sejuk. Ada sebekas buah tembikai yang telah siap dipotong besar-besar dan ditabur dengan ais. Bekas itu diletaknya di atas meja. Aku mencari asam kulit limau kisar di kabinet. Aku tahu ada sebab aku yang beli asam tu untuk saat-saat penting begini.

Buah tembikai yang Cik Ros sudah siap potong dimasukkan ke dalam peti. Rezeki dua biji tembikai kami dapat hari ini. Katanya ada anggota Beta yang memberi. Terima kasih daun keladi, kalau ada jangan segan nak bagi lagi.

Aku mengambil buah tembikai sejuk dan meletakkan asam kulit limau di atas tembikai itu. Biar bersepadu rasa manis, masam dan sejuk. Kombinasi terbaik untuk cuaca yang panas membahang ini.

Baru satu gigit buah tembikai yang aku pegang masuk ke dalam mulut, terasa aku sedang diperhatikan.

"Nak yang tu..."

"Kenapa? Kan banyak buah tembikai tu. Awak pun tengah pegang satu." Aku bertanya kepada Aira yang tidak lepas pandangannya daripada buah tembikai yang sudah siap aku asamkan. Malu la nak berabang-sayang dekat tempat kerja. Panggilan saya-awak kira okay la tu.

"Yang tu nampak lagi sedap." Aira menunjuk ke arah buah tembikai yang aku pegang.

"Nah, makanlah." Aku beri buah tembikai aku kepada Aira dan aku asamkan buah tembikai yang dipegangnya.

Aira tersenyum lebar sambil mengucapkan terima kasih sebelum menggigit buah tembikai yang sebesar separuh wajahnya itu.

Punyalah manis elok buah tembikai yang diberi, tahu-tahu sahaja sudah habis dua biji tembikai termasuk yang Cik Ros masukkan ke dalam peti kemudian. Beberapa potong ditinggalkan untuk Kumar dan Sufi yang berada di bilik kawalan.

Bila perut sudah kenyang, cuaca pula panas, mulalah mata menjadi kuyu. Rasa macam mahu beradu di atas tilam empuk dalam bilik berhawa dingin ditemani bidadari Aira. Indahnya dunia angan-angan.

Selesai makan tembikai, kami perlu membuat penyelenggaraan alatan dalam jentera. Memang selamat tinggallah impian hendak tidur pada jam 2 petang ini.

Kami turun untuk membuat penyelenggaraan peralatan dalam jentera.

"Perhatian, perhatian perhatian! Panggilan kecemasan kebakaran belukar di Lot 41, Jalan Teratai 2. Semua anggota bertugas diminta bersedia."

ALPHA 122Where stories live. Discover now