Siren kecemasan dibunyikan. Berat benar ujian angin monsun pada tahun ini. Mungkin juga ini akibat perubahan iklim dunia. Kami pantas berkumpul di padang sekolah. Pahit hendak ditelan tetapi siapa yang boleh melawan fitrah alam? Malam tadi hujan turun dengan sangat lebat. Berlaku bencana kepala air yang menyebabkan sebuah rumah tradisional dua tingkat yang diperbuat dengan batu di tingkat bawah dan kayu di tingkat atas berhampiran sungai ranap menyembah bumi. 5 orang anggota keluarga rumah tersebut dipercayai berada di rumah ketika kejadian kepala air itu berlaku.
Laporan mendapati keluarga itu berkeras dan tidak mahu meninggalkan rumah untuk ke pusat pemindahan banjir kerana rumah mereka yang dibina tinggi tidak ditenggelami air.
Pasukan bomba dari unit K9, STORM dan EMRS sudah sedia untuk digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesan 5 orang mangsa. Orang kampung dan JPAM pula akan membantu kerja-kerja mencari dan menyelamat di sepanjang sungai.
Aira sedang mengemas beg EMRS yang akan dibawanya bila Adam berlari menghampirinya.
"Along, kau kan perempuan kenapa kau kena pergi juga?" Adam kelihatan risau.
"Angah, sepanjang aku dekat sini, kau seorang je yang mempertikaikan jantina aku. Aku pergi sebab aku dipanggil. Bukan aku je perempuan dekat situ. Dah kau hantar aku dengan doa je. Aku nak cepat." Aira menyarungkan uniform celoreng EMRS miliknya.
"Aira, jom gerak." Aku juga menyarungkan baju celoreng STORM milik aku.
Kami berdua terus berlari menuju ke trak bomba setelah selesai melakukan persiapan.
Adam hanya mampu menghantar kami dengan pandangan dan iringan doa.
~
Sampai di lokasi kejadian, anjing pengesan daripada unit K9 terus dibawa ke lokasi runtuhan. Anggota yang lain termasuk aku dikerah untuk mencari mangsa yang mungkin terselamat menggunakan alat pengesan bunyi.
Dengan berhati-hati kami melangkah di atas papan rumah yang sudah ranap cuba mencari jika ada tanda-tanda mangsa.
Matahari yang condong semakin menegak.
"Woof woof." Anjing K9 menyalak dan mengelilingi satu kawasan runtuhan.
Aku yang berada berhampiran dengan kawasan anjing itu berada terus memasukkan kamera inframerah dan pengesan bunyi lalu melapor kepada anggota yang melihat di monitor.
"Kita dapat kesan 3 badan manusia setakat ini. Siap sedia untuk jalankan operasi pengeluaran mangsa."
Gambar struktur runtuhan di bahagian itu diambil dari pelbagai arah. Kamera penglihatan malam pula dimasukkan bagi melihat keadaan bahagian runtuhan tersebut. Keseluruhan gambar lokasi kejadian yang diambil dimasukkan dalam satu perisian yang dibangunkan oleh Unit Teknologi dan Inovasi Bomba iaitu Analisis. Ia akan membina semula imej lokasi kejadian dalam model 3D walaupun ketepatan model yang dibina hanya 60 ke 70% sahaja namun itu lebih baik berbanding menggunakan andaian manusia.
Pakar analisis STORM membuat analisis melalui model 3D yang terhasil untuk mencari cara terbaik untuk mengeluarkan mangsa dengan selamat.
Visel dibunyikan tanda ada mangsa yang telah dikesan. Dengan kadar segera semua anggota berkumpul untuk mendengar taklimat operasi. Sebaik sahaja tamat taklimat, semua orang bergerak mengikut tugas yang telah diberi.
Perimeter kawasan ditanda. Semua kayu-kayan ringan dialihkan terlebih dahulu. Sebuah beg yang dipam dengan air sungai yang mampu menahan beban satu tan dimasukkan pada celah tiang seri rumah bagi membuat satu bukaan bagi membolehkan anggota masuk untuk mengeluarkan mangsa. Pasak tambahan dipasang bagi menstabilkan struktur runtuhan.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...