Kelam

3.3K 401 98
                                    

Kami menyusup masuk melalui satu laluan sempit yang hanya boleh memuatkan tubuh seorang dewasa. Laluan itu merupakan laluan paling hampir dengan mangsa yang telah dikesan. Alat pengesan bunyi dan kamera inframerah yang dipegang oleh anggota di hadapan aku akan menunjukkan keberadaan mangsa. Di bahagian dalam tempat ini sudah dipasang beberapa lampu spotlight pada bahagian yang stratergik bagi membantu memberi pencahayaan tambahan.

Aku terdengar bunyi dentingan besi yang sayup-sayup. Seperti ada orang yang sedang meminta bantuan.

"Sini!" Lew meniup wisel dengan lima tiupan pendek yang diulang ulang tanda menyuruh semua orang datang kepadanya dia sudah menemui seorang mangsa.

Kami terus bergegas ke tempat Lew berdiri.

Ada tangan mangsa yang terkeluar dari lubang kecil. Tangan itu memegang pemutar skru dan mengetuk palang besi dengan saki baki kudrat yang ada.

Dia tersepit antara runtuhan konkrit. Batu-batu kecil di sekeliling lelaki pertengahan usia 40-an itu dialihkan terlebih dahulu. Anggota EMRS yang bersama kami terus meletakkan penyokong kolar leher pada leher mangsa dan memberimya bantuan pernafasan menggunakan topeng oksigen.

Gambar kawasan itu ditangkap terlebih dahulu supaya boleh dianalisis untuk menentukan kaedah terbaik untuk mengeluarkan mangsa tersebut yang masih hidup tetapi sudah diberi reben biru tanda mangsa berada dalam keadaan amat kritikal.

"Struktur yang nak dipotong ni, dia bersambung. Takut kalau potong habis nanti jadi off balance. Cuba buat lubang cukup-cukup je untuk kita tarik kaki dia keluar."

Konkrit yang menghempap kaki mangsa perlu dialihkan. Powersaw aku ambil dan konkrit itu aku potong mengikut arahan yang diberi.

Apabila konkrit itu terbelah, anggota lain sama-sama mengalihkan konkrit tersebut. Kaki mangsa sudah hancur dari bahagian lutut ke bawah. Pasti kesakitan yang ditanggungnya tidak terhingga.

"Kita akan usung mangsa keluar melalui laluan D yang lebih besar daripada laluan yang kita masuk tadi." Arah ketua pasukan.

Dengan berhati-hati kami mengalihkan mangsa tersebut ke atas pengusung untuk dibawa keluar. Agak mencabar kerana tiada jalan yang betul-betul rata untuk mengangkat mangsa.

Kaki aku tersadung sesuatu. Bila aku tunduk, aku ternampak kaki yang berdarah. Aku terus menggali sisa runtuhan tersebut. Seorang remaja perempuan berada di bawah kesan runtuhan itu. EMRS yang datang memeriksa memberi reben berwarna hitam tanda dia sudah tidak bernyawa lagi.

Siren amaran tanda berlaku pegerakan struktur bangunan. Gegaran kuat dapat dirasai. Seperti gempa bumi. Remaja itu aku sauk untuk membawa mayatnya keluar bersama aku.

"Bangunan C runtuh! Semua anggota segera keluar!" Laung ketua tersebut.

Allah... Bangunan yang masih tegak itu akhirnya menyembah bumi. Tepat seperti jangkaan aku. Bangunan itu tidak ubah seperti bom jangka yang akan runtuh pada bila-bila masa.

Kerikil-kerikil kecil mula jatuh di atas kepala kami tanda bangunan A ini memang tidak selamat untuk meneruskan operasi. Kami perlu keluar dengan segera supaya dapat mengurangkan jumlah mangsa.

Langkah cermat diambil. Walaupun siren berbunyi, kekalutan akan menyebabkan fikiran jadi tak jelas. Perkara itu lebih berbahaya.

Tiba-tiba tubuh aku dirempuh. Aku dapat merasakan berat tubuh seseorang menolak aku jatuh. Kepala aku terhentak kuat ke lantai. Mujur topi keledar ini tidak tercabut kalau tidak, dengan kepala aku bersepai. Mata aku terpejam rapat dek impak jatuh yang amat kuat itu.

Bunyi besi terhempas menyebabkan mata aku terbuka semula.

"Lew!" Tubuh yang menolak aku itu milik Lew. Dia berada di atas aku.

ALPHA 122Where stories live. Discover now