Aira sudah menunggu aku di tempat letak motorsikal. Jam sekarang menunjukkan pukul 7 pagi. Dah macam keluar pergi kerja. Mak aku pula jenis yang tak kisah keluar awal. Aku tak tahulah kenapa mak aku macam teruja sangat nak jumpa dengan Aira.
Aira mengikuti aku dari belakang. Jarak antara balai dengan rumah aku lebih kurang 30 minit sahaja tapi aku tak duduk di situ memandangkan kakak aku dan suaminya tinggal di rumah itu.
Kami masuk ke perkarangan rumah aku. Sebuah rumah batu di kampung yang tidaklah besar mana tapi tidaklah terlalu sempit.
"Assalamualaikum, adik dah sampai ni." Aku memberi salam sambil mengetuk pintu.
"Waalaikumussalam," kedengaran suara abah aku menyahut. Beberapa saat kemudian pintu terbuka.
Mak dan abah aku dua-dua berada di muka pintu sambil menayang senyuman.
"Akmal Aira?" Emak bertanya kepada Aira yang berada di belakang aku.
"Saya, cik." Aira terus menghulur tangan dan mencium tangan mak aku.
"Abah segak sangat ni nak pergi mana?" Aku bertanya sebab setahu aku, cuma mak je yang aku ajak.
"La, pergi jumpa bakal besan la. Takkan nak bagi mak je jumpa," jawab abah selamba.
"Kami kawan je la." Serentak pula aku dan Aira membangkang lembut.
"Kau budak-budak apa tahu? Jom gerak, nanti lambat pula." Abah aku yang merupakan pesara tentera memang sangat menepati masa.
Kami tidak pergi ke rumah Aira tetapi ke taman rekreasi berhampiran kerana telah berjanji dengan keluarga Aira untuk bertemu di situ. Kata Aira, memang sudah menjadi rutin ayahnya bersenam di taman itu. Mungkin sebab itu juga abah bersemangat nak ikut sekali. Katanya nak kenal dengan kawan baru.
"Aira, naiklah kereta sekali. Boleh sembang-sembang dengan acik." Seperti yang aku jangka, mak akan memujuk Aira untuk tidak menunggang motosikal.
"Bukan saya tak nak makcik, takut nanti ada panggilan kecemasan. Kalau motor tinggal dekat sini susah saya nanti nak bergerak." Aira menolak lembut pelawaan itu.
Kami terus bergerak menuju ke taman rekrasi yang telah dijanjikan. Setibanya di sana, Aira terus menelefon ayahnya.
"Dekat pokok yang selalu tu ke yah?" Aira bertanya. Beberapa saat kemudian, panggilan dimatikan.
Mak dan abah yang sudah meletakkan kereta datang menghampiri kami. Aku, emak dan abah mengikuti jejak langkah Aira. Jantung aku berdegup macam nak tercabut sekarang ni. Kalau badan ni tak ada tulang rusuk dan serupa buih, aku rasa dah selamat jantung aku terkeluar.
Semakin lama, semakin jelas dua sosok tubuh yang menjadi tujuan kami hari ini.
Mak abah aku pula yang berjalan semakin laju meninggalkan kami berdua di belakang.
"Allahu akbar... Subhanallah... Kak Asiah ke tu?" Seorang perempuan yang aku kira emak kepada Aira memanggil nama mak aku.
"Imah? Rahimah kan?" Mereka berdua berpelukan dengan sangat erat.
Abah aku dan ayah Aira juga berjabat tangan dan berpelukan seperti sudah kenal lama. Dah macam jejak kasih pun ada.
"Akmal, entah-entah kan kita memang kembar terpisah. Kau anak angkat." Boleh pula Aira buat teori konspirasi pada waktu-waktu genting macam ni?
"Kau ni bomba ke penulis skrip drama?" Aku menggeleng kepala.
Aku terus bersalaman dengan ayah Aira. Sama seperti Adam, seluruh tubuh aku dari hujung rambut sampai hujung kasut diperhatikan.
YOU ARE READING
ALPHA 122
AcciónALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...