Hari ini, lain sedikit berbanding hari-hari biasa. Seluruh pasukan Alpha 122 digerakkan untuk melakukan khidmat komuniti di kejiranan Taman Bakti Jaya. Aira sudah sihat. Tangannya sudah tidak perlu diletak anduh lagi. Ala nanti rindu pula nak hantar makanan ke rumah Aira hari-hari. Bukan nak berlagak tapi Aira kata aku masak sedap. Setaraf kedai makan Siam katanya.
"Aku trauma la nak masuk taman ni." Lew memegang kepala sebaik sahaja Cik Zamani membawa jentera memasuki jalan menuju ke Taman Bakti Jaya.
Ini taman perumahan operasi biawak tempoh hari. Duhai rasa macam nak tergelak bila teringat Aira yang melompat naik kerusi dan Lew yang bergusti.
Disebabkan kes biawak masuk rumah, Jawatankuasa Keselamatan, Kebersihan dan Kemajuan Taman Bakti Jaya telah memohon untuk membuat kerjasama dengan pihak Balai Bomba dan Penyelamat Siber Raya bagi menyertai acara Majlis Berkhatan dan Gotong-Royong Taman Bakti Jaya yang diadakan secara besar-besaran pada tahun ini.
Jam sembilan pagi, Alpha 122 lengkap beruniform operasi berdiri di perkarangan Masjid Al-Mustaqim yang terletak betul-betul di sebelah kawasan perumahan Taman Bakti Jaya.
"Ramai betul peserta khatan tahun ni." Cik Razak memandang kanak-kanak lelaki bawah 12 tahun yang sudah berkumpul berhampiran jentera. Masing-masing segak berpakaian Baju Melayu tanpa samping.
Ada lebih kurang 50 orang budak lelaki di hadapan kami.
"Baguslah ramai, bila dah potong, boleh la jadi imam. Nak solat sebelah orang dewasapun tak jadi hal. Lagi cun kalau dah khatam Al-Quran." Aku menyambut ayat penyata yang diberi oleh Cik Razak.
"Kenapa lagi baik kalau dah khatam? Ramai je budak tak khatam lagi dah sunat." Nufail di sebelah aku bertanya.
"Orang Melayu kan kalau dah khatam Al-Quran dia buat pulut kunyit dengan kari bagi orang terdekat. Manalah tahu rezeki kita dapat pulut kunyit," jawapan yang aku beri menyebabkan aku hampir dipukul oleh Nufail.
Hos reel berwarna hitam yang berada pada kiri dan kanan bahagian belakang jentera bomba telah lengkap dipasang nozel boleh kawal ditarik supaya memanjang. Hos sebelah kanan akan dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Siber Raya bersama Tuan Nazir Masjid Al-Mustaqim dengan bantuan Cik Razak, Sufi dan Azlan. Hos di sebelah kiri pula akan diberi kepada anggota yang berada di atas jentera.
Aku baru sahaja hendak memanjat tangga jentera supaya boleh naik ke bahagian atas jentera, rupanya Aira sudah bertapa di atas itu entah sejak bila.
"Buat apa atas tu?" Sengaja aku bertanya padahal jawapannya aku sudah tahu.
"Tengah kira bulu burung unta ni ha." Pandai pula si Aira ni meloyar buruk.
Aku menghulurkan hos yang diberi oleh Eric kepada Aira.
"Yeyyy dah lama tak pegang hos!" Teruja benar Aira apabila dapat memegang nozel dan hos berwarna hitam itu.
"Jangan diminta, nanti mendapat." Aku mengingatkan Aira.
"Aaa tak jadi. Taknak pegang hos lama-lama." Dia terus menekup mulutnya bimbang kalau betul-betul jadi kenyataan perlu pegang hos lama-lama.
Aira membawa hos itu sedikit ke kiri kerana ADUN Siber Raya, Tuan Nazir Masjid Al-Mustaqim dan Cik Razak berada di sebelah kanan. Karang tak fasal, mereka yang kena sembur air dari tangki jentera.
Mikrofon diserahkan kepada ADUN Siber Raya untuk dia memberi sepatah dua kata.
"Terima kasih kepada pengerusi majlis santai kita pada pagi ini. Yang saya hormati, sahabat saya, Tuan Wahid Nazir Masjid Al-Mustaqim, Encik Razak dari Balai Bomba dan Penyelamat Siber Raya, kru bertugas, ahli jawatankuasa program kita pada pagi ini, ibu-ibu dan bapa-bapa serta tidak lupa, yang diraikan anak-anak lelaki Taman Bakti Jaya yang cukup berani untuk menyertai Majlis Berkhatan beramai-ramai. Assalamualaikum saya ucapkan." ADUN Siber Raya memberi salam.
YOU ARE READING
ALPHA 122
ActionALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...