Banjir Pt 2

3.4K 417 50
                                    

Rumah di hujung lorong ini sebuah rumah kayu yang agak besar dan tinggi. Air banjir hanya mencecah separuh tiang. Rumah di bahagian atas tidak terjejas. Daripada struktur binaannya, rumah ini kelihatan seperti rumah pusaka yang sekurang-kurangnya sudah berusia 70 tahun. Pasti ini rumah pusaka.

Halus dan cerdiknya senibina orang dulu-dulu, mereka memahami ilmu alam dan cuba beradaptasi dengannya. Rumah memang dibina tinggi untuk mengelak daripada terkena air banjir yang datang saban tahun melanda. Tapi, bila sudah dijajah oleh British, mulalah pengaruhnya meresap sehingga seni bina rumah bertukar menjadi rumah banglo dan teres tanpa tiang yang tinggi. Akibatnya, terpaksalah berpindah-randah setiap tahun akibat bah yang melanda.

Di tangga rumah itu, ada seorang nenek yang sedang termenung kosong. Wajah layunya sayu. Rumah yang masih gah berdiri ini kelihatan sepi.

"Assalamualaikum, nek. Jom pindah nek nanti air naik lagi ni. Bahaya dekat sini. Atuknya ada dekat dalam kan?" Haq naik ke tangga rumah.

Kami dimaklumkan, dalam rumah ini ada dua orang warga emas dan seekor kucing.

"Waalaikumussalam, tak apa nanti anak-anak nenek balik, nenek tak ada dekat rumah susah pula." Nenek itu menolak tawaran Haq.

Kami menghampiri tangga tersebut dengan bot.

"Allah... Naim balik dengan Naimah ke tu? Allah bang anak-anak kita balik." Nenek tua itu menggagahkan diri untuk turun tangga menuju ke arah bot.

Ah sudah... Naim dan Naimah celah mana pula ni? Dekat sini cuma ada Aku, Aira, Haq dan Shawn.

"Naim, Naimah, mak ni nak... Ingat mak tak?" Air mata nenek itu mula bercucuran.

Aira pantas turun daripada bot lalu naik ke tangga menuju ke arah nenek itu. Dia menghulur tangan, bersalaman kemudian tubuh tua itu dirangkul erat dalam dakapannya.

"Naim, mari dekat dengan emak. Emak rindu Naim." Nenek itu memanggil aku untuk mendekatinya.

Aira melepaskan pelukan kemudian memberi isyarat untuk aku bersalam dengan nenek tua itu. Aku terus melangkah dan bersalaman dengannya. Nenek itu memeluk aku dengan erat dalam juraian air mata.

"Kenapa tak bagitahu Naim dan Imah nak balik hari ni? Kalau mak tahu mak masak sedap-sedap." Tangan tua itu menarik aku dan Aira untuk masuk ke dalam rumah.

"Haq, macam mana ni?" Aku bertanya. Bukan apa, bimbang menjejaskan jadual menyelamat.

"Tak apa, layan je asal dia nak pindah. Kami bawa bot ke lorong sebelah dulu. Kalau dah ready, roger." Haq meninggalkan satu walkie-talkie untuk kami.

Dalam operasi macam ni, memang tidaklah hendak membawa telefon. Kalau masuk air, sia-sia sahaja duit melayang. Telefon aku bukan jenis yang boleh menyelam.

Kami mengikuti langkah nenek yang sudah bongkok itu masuk ke dalam sebuah bilik. Ada seorang lelaki tua yang sangat kurus tubuhnya. Bagai hanya ada kulit yang membaluti tulang rangka.

"Paknya, tengok ni siapa balik? Saya cakap dah Naim dan Naimah akan balik." Nenek itu menggoncangkan tubuh suaminya.

Datuk itu mencelikkan matanya. Dia mengamati aku dan Aira lama. Tidak semena-mena, air mata datuk itu mengalir. Dipanggilnya kami untuk dekat dengan isyarat tangan.

Nenek tadi bergerak keluar menuju ke bahagian belakang rumah. Mungkin dia ke dapur. Aku duduk di sebelah kanan datuk itu manakala Aira pula di sebelah kirinya.

"Anak-anak bapak... Kenapa lambat balik? Bapak pesan balik sebelum maghrib kan kalau nak main?" Suara datuk itu lemah.

"Maaf pak, Naimah tak sedar dah lewat." Aira mengenggam tangan datuk itu.

ALPHA 122Where stories live. Discover now