Belasungkawa

3.8K 392 53
                                    

SEBULAN KEMUDIAN...

Balai Bomba dan Penyelamat seluruh Malaysia menghimpunkan anggotanya di dataran balai masing-masing.

Tepat jam 9 pagi, siren seluruh balai bomba di Malaysia dibunyikan selama satu minit sebagai tanda seluruh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang berkabung. Sejarah hitam yang mengorbankan 14 anggota bomba, 4 anggota tentera dan 312 orang awam ini akan kekal terpahat dalam lipatan sejarah duka negara. Nama anggota keselamatan yang gugur dalan operasi akan dipahat pada batu peringatan di Dataran Perwira.

Beret merah yang terletak kemas di kepala kami tanggalkan dan meletakkannya di dada. Kepala mendongak memandang bendera bomba dan Jalur Gemilang yang dikibarkan separuh tiang tanda negara ini sedang berduka.

Belasungkawa untuk jiwa-jiwa yang telah pergi. Semoga sejarah hitam ini membuka mata kapitalis yang hanya tamakkan laba dunia. Semoga pemain industri perumahan belajar daripada tragedi ini.

Sudah sebulan juga Alpha 122 bertugas dengan hanya kekuatan seramai 13 orang anggota. Tak sangka lawak tak menjadi dan mulut celupar Lew akan kami rindui. Banyak jasanya dalam pasukan ini.

Takdir telah membawa seorang Lew Darren yang bercita-cita menjadi superman ke balai bomba ini. Tapi sayang, realiti ini tidak mengizinkan seorang manusia biasa mempunyai kuasa supernova atau mutant. Lew Darren hanyalah seorang manusia biasa yang berdarah bila terluka dan tersandar bila penat.

Tapi tetap, seorang Lew Darren itu luar biasa semangat dan nilai persahabatannya. Dia tak pernah berkira dalam melakukan tugas walau kadang merungut juga. Biasalah, manusia mana ada yang sempurna. Tetapi, ketidaksempurnaan itulah yang membawa kepada erti kebersamaan. Saling bantu membantu untuk melengkapi antara satu sama lain.

Tabik ini untuk kau, Lew. Aku bangga dapat kenal orang yang hebat macam kau.

Arahan keluar baris diberi. Kami meneruskan kerja masing-masing mengikut arahan yang diberi.

"Perhatian, perhatian perhatian! Panggilan kecemasan kebakaran lori beralamat di Jalan Perkasa 2. Semua anggota bertugas diminta untuk bersiap sedia."

Siren dibunyikan.

Kami pantas berlari ke Engine Bay untuk ke lokasi kejadian.

Asap berkepul-kepul keluar daripada lori. Bau busuk menusuk ke hidung.

"Pakai BA, pakai BA cepat. Lori yang terbakar ni bawa Ammonia." Cik Ros memberi arahan.

Patuh dengan arahan Cik Ros, kami terus memakai alat pernafasan sebelum melakukan kerja-kerja penutupan jalan. Menusuk bau busuk ammonia itu.

"PGO Selangor mohon hantar bantuan HAZMAT. Kebakaran melibatkan bahan kimia. Ada mangsa yang sudah terdedah dengan bahan kimia. Tak pasti mangsa masih hidup atau telah meninggal dunia." Cik Ros memberi laporan.

HAZMAT cbrne merupakan unit khas bomba yang ditubuhkan untuk menangani kes yang melibatkan bahan kimia, radiasi dan nuklear. Satu pasukan HAZMAT terdiri daripada 11 orang anggota bersamaan dengan seorang ketua pasukan, seorang pemandu dan sembilan orang anggota yang akan menjalankan tugas.

"Cik Ros, minta tanker datang sekali. Tak ada pili bomba yang dekat." Aku memberitahu Cik Ros untuk meminta bantuan air tambahan daripada jentera tangki air selepas tidak dapat menjumpai pili bomba berhampiran.

Aira membentangkan hos dan menyerahkannya kepada aku. Hos reel di sebelah kiri dan kanan jentera juga ditarik. Fokus sekarang adalah untuk mematikan api pada lori yang terbakar terlebih dahulu kerana bimbang berlaku letupan tangki minyak.

Aku sudah nampak dua orang mangsa yang terbaring tetapi kami tidak boleh mendekati mereka kerana bimbang berlaku pencemaran kimia.

"Tolong! Tolong!" sayup-sayup kedengaran orang meminta tolong dari sebalik belukar.

ALPHA 122Where stories live. Discover now