Alpha 122 dikumpulkan untuk Latihan Pembiasaan Penggunaan Alat Pernafasan pada jam 5 petang.
Minggu ini, minggu Alpha 122 bertugas pada waktu malam. 12 jam bersiap siaga sentiasa dari jam 8 malam sehingga 8 pagi. Bila bertugas waktu malam, bukan bermakna kami perlu jadi burung hantu sepanjang 12 jam. Dalam balai ni, ada bilik rehat berkatil jadi bolehlah lelapkan mata dan rehatkan badan cuma telinga kena sentiasa peka.
"Periksa BA masing-masing. Kalau ada yang retak terutama dekat leher silinder atau ada kerosakan pada bahagian topeng muka, mohon asingkan. Periksa juga tekanan dalam silinder. Sekurang-kurangnya mesti ada 300 bar." Cik Razak memberi arahan.
BA atau nama panjangnya Self-Contained Breathing Apparatus (SCBA) yang mengandungi udara yang telah dimampatkan merupakan alat pernafasan yang dipakai oleh bomba dalam operasi kebakaran. Dalam operasi, BA ini diibaratkan sebagai paru-paru yang membolehkan anggota bomba bernafas sambil menjalankan kerja-kerja menyelamat. Selain rakan sepasukan, penting untuk meletakkan kepercayaan kepada BA ini sewaktu operasi. Seorang anggota bomba terlatih dan cekap mengawal pernafasannya ketika melaksanakan operasi boleh bertahan selama 40 ke 45 minit di lokasi kejadian jika silinder yang mereka bawa mempunyai tekanan 300 bar. Ada tolok tekanan dan penggera yang akan berbunyi lebih kurang 10 minit sebelum udara dalam silinder habis. Maka dalam tempoh 10 minit itu, anggota perlu keluar daripada lokasi kejadian untuk menyelamatkan diri.
"Masa lawan udara sama dengan kemandirian. Survival. BA ni sahabat kita dalam operasi. Jadi, petang ni kita akan bawa sahabat kita meronda balai dengan baju kalis api. Lepastu kita ajak dia masuk lubang cacing." Cik Ros sudah bersiap sedia dengan aktiviti petang.
"Kita lawan siapa paling lambat gear up dan paling panjang masa diambil untuk keluar lubang cacing kena jalan itik pakai BA. Macam biasalah, bottom three." Memang hukuman kegemaran Cik Razak dan Cik Ros. Agaknya balai ni kena bela itik baru mereka tak jadikan anak-anak buah mereka ni itik jadian.
"Cik Ros, kan dua-dua latihan tu ada masa maksimum. Kalau kita kurang daripada masa maksimum tu tapi masih tiga terendah, kena jalan itik juga ke?" Darwish yang selalu menjadi mangsa anak itik bertanya.
"Itu kita akan putuskan nanti." Cik Ros tak mahu memberi kata putus segera.
Kami semua beratur dalam satu barisan panjang. Baju kalis api dan alat pernafasan sudah berada di hadapan kami.
Sebaik sahaja bunyi wisel kedengaran tanda jam randik sudah dihidupkan, aku terus menanggalkan kasut dan menyarung seluar kalis api. Kemudian penutup kepala disambung dengan baju. Baju itu aku zip dengan pantas lalu tangan mencapai back plate yang sudah bersambung dengan silinder dan topeng muka. Aku sandang back plate itu kemudian menolak penutup kepala sebelum memakai topeng muka. Penutup kepala aku naikkan kembali barulah aku memakai topi keledar. Akhir sekali sarung tangan disarung lalu aku mengangkat tangan tanda sudah selesai. Rekod terpantas gear up aku setakat ini ialah 56 saat. Semua anggota perlu memakai semua ini kurang daripada 2 minit.
"Tahniah, Akmal..." Cik Ros mengucapkan tahniah.
Alah, biasa je takat gear up ni, apalah sangat. Dah jadi ruji. Kira macam makanan harian aku dah ni.
"Aira pemecah rekod Akmal Harith. Laju betul gear up 52 saat je." Rupanya ucapan Cik Ros ada sambungannya.
Aku memandang Aira sambil bercekak pinggang. Gadis itu menangkat jari telunjuk dan jari tengah membentuk V tanda kemenangan. V for victory!
Cis, tunggu la. Lain kali aku rampas balik takhta aku.
Kami memulakan larian dengan beban lebih kurang 15 kilogram disandang dan tambahan 13 kilogram berat sebuah alat pemadam api di tangan. Tidak termasuk berat baju. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
YOU ARE READING
ALPHA 122
AcciónALPHA 122 merupakan satu daripada tiga pasukan bomba di Balai Bomba Siber Raya. Sedia berkhidmat tanpa mengira susah dan penat. Kejar biawak, tangkap ular, selamatkan kucing dalam longkang, buka pintu terkunci, terjun dalam api, meredah banjir, tump...