"Jannah, nanti serahkan semua fail ni dekat Doktor Han. Dia nak semak semua audit klinik ni hari ni," pesan Najwa. Beberapa fail diletakkan di atas meja.
"Okay, Najwa. Kejap ya, bagi saya siap susun rekod patient yang baru,"
Dalam hati, hanya dia saja yang tahu betapa berdebarnya dia untuk menghadap Rizhan. Sudah sebulan sejak lamaran Rizhan terhadapnya berlalu tanpa sebarang jawapan.
Dua juga masih elok bekerja di klinik ini. Mungkin lelaki itu tidak kisah tentang hal yang satu ini, Jannah tidak pasti.
Namun, walaupun sudah sebulan berlalu, rasa takut dan gemuruhnya masih kencang. Apatah lagi bila perlu menghadap lelaki itu dengan keadaan hanya mereka berdua saja.
Fail-fail tadi diambil dan Jannah berjalan ke bilik Rizhan. Sampai saja di hadapan pintu, pintu itu diketuk.
"Masuk," terdengar suara dari dalam. Jannah menolak pintu.
"Doktor, ini fail yang doktor minta pagi tadi. Semuanya dah siap susun," kata Jannah.
"Okay," sepatah saja lelaki itu membalas.
"Saya minta diri dulu kalau tak ada apa-apa," pinta Jannah.
Baru saja dia membuka langkah, Rizhan kembali memanggil dia.
"Saya sudi terima awak apa adanya. Semua yang dah terjadi adalah perkara yang dah lepas. Saya terima siapa awak seikhlas hati saya. Jannah, saya masih berharap awak terima saya sebagai suami awak. Fikirkanlah, saya bagi masa selama mana yang awak nak. Andai kata awak tak mahukan saya, jujur dan jangan pulangkan cincin yang saya pernah bagi pada awak," kata lelaki itu.
Aduhai, mujurlah pintu bilik ditutup lepas dia masuk ke bilik ini. Kalau tidak, mahu semua staf di sini dengar perbualan dia dan Rizhan.
"Saya keluar dulu," sekali lagi dia meminta diri. Kali ini, dia berjalan lebih laju.
Benarkah Rizhan ikhlas? Sudah berkali-kali dia bertanyakan soalan yang sama pada dirinya.
Tidak dinafikan, Rizhan memang nampak seperti seorang lelaki yang baik. Sepanjang kehadirannya di klinik ini, dia perasan Rizhan akan terus ke surau mini di dalam klinik untuk solat sebaik saja masuk waktu.
Sudah cukupkah syarat itu untuk Rizhan dijadikan suami?
Jannah keliru.
"Saya sudi terima awak apa adanya. Semua yang dah terjadi adalah perkara yang dah lepas. Saya terima siapa awak seikhlas hati saya. Jannah, saya masih berharap awak terima saya sebagai suami awak. Fikirkanlah, saya bagi masa selama mana yang awak nak. Andai kata awak tak mahukan saya, jujur dan jangan pulangkan cincin yang saya pernah bagi pada awak,"
Suami? Lamaran?
Apa maksud Rizhan pada Jannah? Tania termangu sendiri.
Petang tadi sebelum tamat waktu bekerja, Tania menuju ke bilik Rizhan untuk menyerahkan dokumen yang dikirimkan oleh bapanya kepada Rizhan. Namun, perbualan antara Rizhan dan Jannah di dalam bilik lelaki itu, mematikan langkahnya.
Tania hanya berdiri di luar. Dia sendiri tidak mengerti atas sebab apa dia mencuri dengar perbualan mereka berdua.
Adakah Rizhan melamar Jannah sebagai isteri kepada lelaki itu? Jadi, bagaimana pula dengan dirinya?
Memang benar dia pernah menolak cinta Rizhan dulu. Tapi itu dulu! Sekarang, dia sudah bersedia untuk mendampingi Rizhan sebagai isterinya.
Malah, dia ingatkan bahawa makan malam beberapa bulan lepas adalah kiasan orang tua mereka. Apa yang sudah jadi sekarang?
Tania sudah terlalu mencintai Rizhan. Selama ini, dia mendiamkan diri dan hanya menunggu Rizhan untuk melamarnya kembali kerana dia fikir, Rizhan masih mencintainya atas layanan setiap lelaki itu.
Jadi sekarang, dia saja yang bertepuk sebelah tangan?
YOU ARE READING
SEINDAH JANNAH(C)
RomanceJannah pernah terheret ke dalam lembah hina demi menyelamatkan Sufiah. Satu-satunya perkara yang paling dia benci, akhirnya menjadi kesukaannya. Dia sudah terpalit dengan dosa yang pernah ibu dan Sufiah lakukan. Pemergian ayah memutarkan hidup Janna...