Mujur dia terjaga dari tidur tadi. Biarpun tubuhnya terlalu penat, dia masih lagi terjaga, tidak seperti kebiasaannya yang dia akan tidur lena jika terlalu penat.
Jika dia terlewat sesaat, mungkin dia hanya dapat memangku mayat isterinya sahaja.
Puas dia mencari Jannah saat menyedari wanita itu tiada di atas katil. Saat dia mendengari suara perempuan dari dapur, dengan pantas Rizhan berlari ke dapur mencari susuk Jannah.
Dia sempat mendengar Jannah yang merintih kesedihan. Jannah sudah bersedia untuk menikam perut sendiri, sebelum dia menepis pisau itu.
Tangan yang luka tadi siap dibalut. Sebagai rawatan awal, dia memberikan Jannah ubat tidur dengan dos paling rendah.
Melihatkan cara Jannah tadi, Rizhan tahu yang Jannah terlalu banyak memendam perasaan selama ini.
Dia saja yang tidak tahu. Malah, cuma menambah pahit dalam jiwa isterinya.
"Jannah, jom kita sarapan dulu," pujuk Zalia. Dia sudah mengambil cuti seminggu untuk menemani Jannah dan Rizhan.
Jannah benar-benar sudah lain. Zalia rasa sedih melihat keadaan Jannah yang seakan-akan tidak terurus.
"Shhh! Anak aku tengah tidur. Kau tengok ni!" jawab Jannah lalu menunjukkan ke arah gumpalan bantal peluk panjang milik Aydin.
"Jannah, itu bantal, bukan Aydin," Zalia masih berusaha memujuk Jannah.
"Ini Aydin! Kau jangan tipu aku!" Jannah membentak. Bantal itu ditepuk perlahan seolah-olah dia sedang mendodoikan Aydin dulu.
"Kak, kenapa tu?" sapa Rizhan yang baru keluar dari biliknya.
"Jannah ni, Han. Akak risau tengok dia," jawab Zalia.
Rizhan melihat Jannah yang sedang duduk di tepi sofa sambil menepuk bantal milik Aydin.
"Jannah, Jannah buat apa tu?" soal Rizhan biarpun hati pedih melihat tingkah Jannah .
"Aku tengah dodoikan Aydin. Perlahan sikit suara kau, budak manja ni tengah tidur," balas Jannah.
"Jannah, apa kata Jannah letak Aydin dekat tilam. Dia mesti nak tidur selesa atas tilam. Nanti, lepas sarapan, Jannah datang tengok dia balik," Rizhan sabar memujuk.
Jannah hanya memandang wajah Rizhan dan bantal yang sedang 'didodoikan' silih berganti.
"Nanti dia menangis macam mana?" soal Jannah.
"Tak, dia budak baik. Aydin tak akan menangis,"
Jannah mengangguk. Rizhan memegang bahu Jannah erat membawa langkah ke bilik. Bantal tadi Jannah letakkan dengan cermat atas tilamnya dengan Rizhan.
Dia berjalan perlahan ke baby cot. Selimut kecil dicapai lalu dibawa untuk menyelimuti 'anaknya'.
Rizhan menahan rasa saat melihat perbuatan Jannah.
"Dia tak menangis ke nanti? Kalau duduk jauh-jauh, dia takut. Kesian dia," kata Jannah pada Rizhan.
"Tak, sayang. Aydin dah besar. Dia berani," jawapan Rizhan mengundang tawa Jannah.
"Macam singa?" Rizhan tersenyum lalu mengangguk.
"Jom, kita turun sarapan dulu. Nanti kita datang sini balik ya?"
Mereka turun bersama-sama ke meja makan. Zalia dan Arfan sudah menunggu di meja makan itu. Kelibat ibu tidak kelihatan.
YOU ARE READING
SEINDAH JANNAH(C)
RomanceJannah pernah terheret ke dalam lembah hina demi menyelamatkan Sufiah. Satu-satunya perkara yang paling dia benci, akhirnya menjadi kesukaannya. Dia sudah terpalit dengan dosa yang pernah ibu dan Sufiah lakukan. Pemergian ayah memutarkan hidup Janna...