Setahun kemudian
"Encik Rizhan, nak melawat Puan Jannah ya?" soal Doktor Mallisa. Dia yang merawat Jannah sepanjang Jannah berada di sini.
"Ya, doktor. Macam mana perkembangan Jannah sekarang?"
"Alhamdulillah. Saya nampak, dia semakin pulih. Insya Allah, kita boleh benarkan dia pulang ke rumah," kata Doktor Mallisa.
"Kalau macam tu, saya nak masuk dulu ya, doktor?" belum sempat dia memulas tombol pintu wad, Doktor Mallisa terlebih dahulu menegah.
"Puan Jannah pesan pada saya, dia tak nak berjumpa sesiapa pun buat masa ni," berat sebenarnya dia mahu berkata, namun mungkin ini yang terbaik demi menjaga emosi pesakitnya itu.
"Kenapa?" Rizhan hampa. Sudahlah dia terlalu merindui Jannah, Jannah pula tidak mahu berjumpa dengannya.
"Dia tak bersedia mahu jumpa dengan orang luar lagi, encik. Sabar ya. Saya akan pujuk dia. Bila dia dah bersedia, saya akan hubungi encik,"
"Beri dia masa," kata Doktor Mallisa lagi berharap Rizhan faham.
Rizhan mengangguk faham biarpun dia kecewa.
"Oh, sebelum saya lupa, Puan Jannah ada suruh saya sampaikan surat ni kalau Encik Rizhan datang," Doktor Mallisa menyelongkar poket jubah doktornya lalu menghulurkan sekeping kertas pada Rizhan.
Rizhan menyibukkan diri dengan kerja. Otaknya rasa seperti mahu meletup, sama dengan dadanya.
Mengenangkan permintaan Jannah yang tertulis di atas surat yang dikirimkan Jannah dua minggu yang lalu, dia rasa seperti mahu terjun ke dalam gaung saja.
Assalamualaikum abang,
Jannah rindukan abang. Alhamdulillah, doktor kata Jannah semakin pulih. Terima kasih abang, sebab banyak berkorban untuk Jannah pulih. Jannah mungkin akan dibenarkan pulang tak lama lagi.
Jannah ada satu permintaan buat abang. Ceraikan Jannah. Kita tak akan bersatu selamanya. Abang bukan milik Jannah.
Abang, Jannah tak nak abang hidup dalam kecewa lagi. Bahagia abang, bahagia juga Jannah. Jannah masih lagi rasa gagal menjadi seorang isteri, malah seorang ibu.
Abang berhak bahagia. Satu yang Jannah boleh korbankan demi kebahagiaan abang, iaitu kebahagiaan Jannah sendiri. Sebab bahagia kita tak dicipta bersama.
Terima kasih, abang. Untuk segala-galanya.
Tak, dia tak sanggup berpisah dari Jannah. Lama dia menunggu Jannah agar mereka dapat hidup bersama, Jannah pula mahu pergi lagi dari dia.
Dia tak akan benarkan. Tiada cerai dalam kamus hidup mereka melainkan cerai mati.
Kalau Jannah mahu masa, ambillah sebanyak mana yang dia mahu. Rizhan izinkan biarpun dia akan menanggung seksa kerana perlu menunggu isterinya datang menyerah.
YOU ARE READING
SEINDAH JANNAH(C)
RomanceJannah pernah terheret ke dalam lembah hina demi menyelamatkan Sufiah. Satu-satunya perkara yang paling dia benci, akhirnya menjadi kesukaannya. Dia sudah terpalit dengan dosa yang pernah ibu dan Sufiah lakukan. Pemergian ayah memutarkan hidup Janna...