BAB 9

342 20 3
                                    

"Anak kucing takde halkum. Assalamualaikum!" Dari muka pintu lagi, Encik Razif sudah mula berpantun.

"Kuih loyang, kuih talam. Waalaikumsalam!" Jawab Dato' Azahari.

Kedua-dua sahabat itu bersalaman dan berpelukan barang sejenak. Rombongan para tetamu dari pihak lelaki dijemput masuk oleh tuan rumah, Dato' Azahari dan Datin Sharifah. Mereka memasang sila di atas lantai yang sudah dihamparkan dengan karpet lembut. Dulang-dulang hantaran pihak lelaki dan pihak perempuan diletakkan di hadapan pelamin yang dihiasi indah untuk upacara sarung cincin sebentar lagi.

"Perahu kolek ke hilir tanjung, sarat bermuat tali temali. Salam tersusun sirih junjung, apa hajat sampai ke mari?" Dato' Azahari berpantun.

"Sudah lama langsatnya condong, baru kini batangnya rebah. Sudah lama niat dikandung, baru kini diizinkan Allah," balas Encik Razif.

Aaryan, Faleeq, Khairol, Jep, Aiman, dan Firdaus yang duduk di barisan belakang Encik Razif tersenyum suka melihat sesi membalas pantun itu. Maklum sajalah, jarang-jarang anak muda seperti mereka dapat menyaksikan adat dan warisan turun-temurun dari zaman nenek moyang. Najmi pula yang memakai kurta berwarna hitam, sekadar menunggu di luar rumah.

"Malam-malam pasang pelita, pelita dipasang di atas peti. Kalau sudah bagai dikata, sila terangkan hajat di hati."

Dato' Azahari meneruskan sesi berpantun diselang-selikan dengan balasan pantun daripada Encik Razif.

"Singgah berenang di persiraman, mayang terendam di dalam tasik. Kumbang merindu bunga di taman, bintang merindu Cenderawasih."

"Ikan sepat di dalam sampan, orang membawa ke pinggir kota. Besar hajat tuan menyimpan, baiklah nyata di dalam kata."

"Panjat-panjat si pohon ara, nampak cantik di tepi laman. Besarnya hajat tidak terkira, hendak memetik bunga di taman."

"Senyum menguntum memakai kebaya, gadis sunti menjual kalungan. Bunga nan sekuntum belum berpunya, menjadi penyeri di taman larangan."

Di hujung anak tangga, kelihatan seorang gadis remaja mendaki laju anak tangga setelah berdiri agak lama menyaksikan sesi pantun-berpantun itu. Pintu kamar dibuka dan dia menapak ke arah Mawar yang sedang duduk di birai katil bersebelahan Darlina.

Mawar kelihatan cantik dan anggun berbaju kebaya klasik labuh berwarna hitam bersulam warna keeemasan. Pada kepala yang berbalut tudung bawal berwarna hitam, diletakkan selendang bercorak batik keemasan, persis kelihatan seperti gadis-gadis zaman dahulu kala. Walaupun dia anak orang ada-ada, tetapi dia lebih memilih untuk tampil sederhana.

"Kak Mawar, dia orang tengah berpantun." Gadis itu memberitahu.

"Aduh! Lambatnya. Aku dah nervous ni, Dar!"

"Sabar, Mawar. Sikit lagi siaplah tu. Kau tak payahlah nervous sangat." Darlina menenangkan Mawar seraya membetulkan selendang yang terletak di atas kepala sahabatnya itu.

"Mawar, jom turun!"

Datin Sharifah masuk ke dalam kamar anak gadisnya. Beliau dan Darlina sama-sama mengiringi Mawar seraya menuruni anak tangga dengan berhati-hati. Maklum sajalah, risau pula tergolek jatuh macam buah nangka di depan tetamu pula nanti.

"Uish! Cantik bakal isteri Najmi," ujar Aiman separa berbisik.

"Anak Dato'! Maintenance tinggi ni," balas Jep pula.

Mereka hanya memerhati wanita itu yang kini sudah pun mengambil tempat di atas pelamin bersebelahan Puan Humaira. Dua bentuk cincin disarungkan ke jari-jemari Mawar sebelum tubuh wanita itu ditarik ke dalam pelukan oleh bakal si ibu mentuanya.

𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐍𝐚𝐣𝐦𝐢 (𝐂)Where stories live. Discover now