BAB 17

422 24 9
                                    

Mawar membuka kasut tumit tinggi dua inci yang dipakai sepanjang majlis persandingan tadi. Waktu kini hampir menjengah ke tengah malam. Dia berkaki ayam menaiki lif menuju ke bilik hotel dengan langkah longlai. Penat dengan majlis sepanjang hari ini.

Najmi hanya memandang. Tidak berniat hendak membantu atau memimpin si isteri berjalan, apatah lagi angkat atau dukung. Memang jauh panggang dari api!

Kakinya sendiri masih terasa sakit akibat luka tembakan kelmarin. Cumanya dia sudah tidak berjalan dengan bantuan topang kaki. Sudut hujung bibirnya terjongket naik. Entah apalah yang dikutuk si isteri dalam hati.

Pintu bilik hotel, Mawar kuak laju. Katil yang sudah dihiasi dengan taburan kelopak bunga mawar merah dan putih, serta kain yang berbentuk hati menerpa pandangan mata.

Dia terus mencampakkan kasut tumit tingginya itu ke lantai. Meja solek dituju dan dia duduk di hadapan cermin. Perkara pertama yang dia ingin lakukan saat ini adalah membuka gandik yang membeban di atas kepala.

"Ya Allah, leganya!"

Dia berkata usai membuka gandik di kepala. Dia tersandar kepenatan. Kepala dipicit-picit sedikit sebelum ditolehkan ke belakang, melihat si suami yang sedang duduk di birai katil sambil merenung ke luar jendela.

"Abang, nak mandi sekarang?"

"Huh? Err, kejap lagi aku..."

Terhenti percakapan Najmi untuk seketika sebelum dia menyambung, "Kejap lagi saya mandi."

Dah jadi suami, takkan nak pakai 'aku kau' lagi dengan isteri? Kalau terbiasa sangat, nanti terlepas cakap depan keluarga dengan panggilan begitu, tak manis pula didengar. Nak taknak, dia kena juga ubah panggilannya terhadap wanita itu.

"Abang nak Yas tolong unboxing abang ke?" Mawar menyoal dengan senyuman senget.

Amboi, Mawar! Bukan main ya!

Kening Najmi bertaut. Unboxing? Dia tidak mengerti. Kening diangkat sebelah.

"Nak Yas tolong bukakan sampin tu ke?" Mawar juling mata ke atas.

"Awak ingat saya budak kecil ke tak reti buka benda ni," jawab Najmi perlahan seraya membuang pandang ke luar jendela.

Masih ada bangunan-bangunan pencakar langit yang terang-benderang, menandakan masih ada aktiviti-aktiviti manusia yang berlaku di dalamnya. Cahaya lampu neon dan lampu-lampu kenderaan menerangi jalan-jalan di bawah sana. Maklum sajalah, malam minggu di tengah-tengah kotaraya. Begitulah suasananya.

"Abang tolong cabutkan jarum-jarum atas kepala Yas ni sekejap, boleh tak? Susahlah banyak sangat. Yas tak boleh nampak atas tu."

Najmi tersentak dengan permintaan itu.

"Mengada-ngadalah," rungut Najmi. Namun, dia tetap mengatur langkah menuju ke arah isterinya di depan meja solek.

"Ni jarum susuk ke apa punya banyak macamni?" Omel Najmi.

Masam mencuka wajahnya seraya mencabut satu per satu jarum di atas kepala si isteri. Dahlah penat ni, suruh cabut jarum-jarum halus ni pula! Usai, dia terus merebahkan badan ke katil. Siling kamar direnung.

Mawar merenung si suami buat seketika dengan senyuman segaris. Betul ke dia dah jadi suami aku? Mawar menyoal dalam hati dengan rasa tidak percaya.

"Awak ni kuat main tiktok eh?" Najmi menyoal tanpa memandang ke arah Mawar.

"Kenapa pula?" Mawar pelik dengan soalan suaminya.

"Yelah! Awak nyanyi tadi. Tu kan trending sekarang orang confess pakai lagu macam tu. Kan? Awak budak tiktok, kan?"

𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐔𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐍𝐚𝐣𝐦𝐢 (𝐂)Where stories live. Discover now