Zamri dan Hafiz sudah lama bekerja sebagai rakan sepasukan dalam pasukan polis di bandar kecil mereka. Hubungan mereka bukan sekadar rakan sekerja, tetapi lebih daripada itu — satu ikatan yang melebihi apa yang orang lain dapat lihat. Apa yang mereka kongsi jauh di dalam hati, tersembunyi di sebalik seragam dan tugas berat mereka sebagai penjaga undang-undang.
Zamri, dengan keperibadian yang tegas dan serius, adalah ketua yang sentiasa berpegang kepada peraturan. Di sebaliknya, Hafiz, yang santai dan gemar bergurau, sering menjadi pendamping Zamri dalam apa jua keadaan. Selama bertahun-tahun, mereka telah melalui pelbagai cabaran bersama — kes-kes jenayah, situasi berbahaya, dan saat-saat yang mencabar mental dan emosi mereka. Namun, dalam setiap situasi, Hafiz sentiasa menemani Zamri, menyuntik sedikit kegembiraan dan kelucuan dalam suasana yang tegang.
Dalam diam, Zamri sedar bahawa perasaannya terhadap Hafiz tidak lagi sama seperti dulu. Setiap kali Hafiz tersenyum atau membuat lawak kecil untuk meredakan ketegangan, hati Zamri akan berdetak lebih cepat. Bukan kerana marah atau bimbang, tetapi kerana rasa yang dia sendiri sukar untuk akui.
Pada mulanya, Zamri cuba menolak perasaan itu. "Ini tak betul," dia berfikir sendirian. Sebagai seorang pegawai polis, tanggungjawabnya adalah untuk melindungi orang ramai, bukan membiarkan emosi peribadi mengganggu tugasnya. Tambahan pula, hubungan antara sesama jenis masih menjadi topik yang sukar dihadapi dalam masyarakat dan dalam dunia profesional yang penuh dengan pandangan orang lain.
Namun, semakin Zamri cuba menjauhkan perasaannya, semakin kuat rasa itu menguasai dirinya. Setiap kali mereka bersama dalam operasi atau sekadar berbual santai selepas bekerja, dia merasakan sesuatu yang lebih mendalam terhadap Hafiz.
Pada suatu hari, mereka menerima satu kes yang agak misteri dan luar biasa bagi bandar kecil mereka. Sebuah kedai barang kemas telah dirompak, dan penjenayahnya langsung hilang tanpa jejak. Apa yang lebih membingungkan, tiada seorang saksi pun yang dapat memberi gambaran jelas tentang siapa penjenayah itu. Hanya satu petunjuk yang ada - sekeping kain hitam yagn tercicir di lantai kedai.
"Ni mesti kerja geng luar. Mana ada pencuri tempatan yang berani buat kerja macam ini, " kata Hafiz sambil membelek kain hitam tersebut. Dia tersenyum lebar. "Mungkin pencuri itu lupa pakai kain batik mak dia."
Zamri yang bearda di sebelah hanya menjeling. "Ini bukan masa untuk bergurau, Hafiz. Kita kena selesaikan kes ini secepat mungkin sebelum bandar ini jadi bualan orang luar."
Hafiz hanya tersenyum simpul. Walaupun dia suka bergurau, tapi dia tahu bila waktu untuk serius. Mereka mula menyiasat di setiap sudut bandar, memeriksa kamera keselamatan dan menemuramah orang yang berada di sekitar kawasan kejadian. Seperti biasa, Hafiz selalu cuba membuat situasa lebih santai dengan lawak kosongnya.
"Zamri, kau perasan tak, dalam semua filem detektif, selalu ada momen di mana kita berdepan dengan penjenayah di lorong gelap?" Hafiz tersenyum sambil berkata. Zamri hanya menggelengkan kepala kerana sudah biasa dengan gelagat rakannya itu.
"Eh makanlah, dah sejuk lauk ni," ucap Zamri untuk mengalihkan perbualan mereka.
Namun begitu, mereka terus menjalankan siasatan dengan penuh teliti. Pelbagai sudut diambil kira. Setelah beberapa hari, mereka berjaya menemui satu petunjuk penting. Melalui rekod panggilan telefon yang mereka periksa, mereka dapat menjejaki seorang suspek yang mempunyai hubungan dengan kumpulan penjenayah dari bandar besar. Nama lelaki itu ialah Rauf, seorang bekas penjenayah yang baru dibebaskan beberapa bulan lepas.
Bersama anggota yang lain, mereka memutuskan untuk menangkap Rauf, tetapi sebelum itu, Zamri memberi amaran kepada Hafiz," Kali ini kita tak boleh buat silap. Rauf bukan pencuri biasa. Dia licik, dan dia takkan teragak-agak untuk bertindak balas."
YOU ARE READING
Naluri III
RomanceMasih mengisahkan tentang pencarian cinta sang arjuna dengan sesama jenis.
