Adrenalin

8 0 0
                                        

Malam yang sama di tempat Kensuke, suasana bertukar menjadi kucar-kacir.

Selepas talian diputuskan secara mengejut oleh Dean, Kensuke merenung skrin telefonnya dengan nafas yang tercungap-cungap, manakala tangannya menggigil menahan amarah yang meluap-luap.

Bunyi terakhir yang didengarinya ialah suara lelaki asing itu dan keadaan Zuri yang tidak berdaya. Bagaikan satu tamparan hebat yang meragut seluruh ketenangannya.

Dia cuba mendail semula nombor Zuri berkali-kali, namun setiap kali itu juga panggilannya terus dialihkan ke peti suara.

"Tak guna!"

Kensuke menyumpah serapah sendirian. Dia menghentam dinding biliknya dengan kuat, melepaskan rasa geram yang amat sangat kerana gagal berbuat apa-apa ketika wanita itu berada dalam situasi yang mencurigakan.

Mindanya mula ligat berputar.

Kensuke tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan cara Zuri bertindak balas tadi.

Suara wanita itu terlalu lemah, malah langsung tidak mampu mempertahankan diri.

Apa yang didengarinya melalui telefon tadi membuatkan darahnya mendidih.

Dia tahu Dean seorang yang manipulatif, tetapi dia tidak menyangka Dean akan mengambil kesempatan dan bertindak seagresif itu ketika proses cerai mereka masih belum selesai.

Suara Zuri yang terkulai layu dan tidak berdaya tadi membuktikan Dean sengaja menggunakan peluang ini untuk memerangkap Zuri semula.

​"Sial punya jantan... kau sengaja ambil kesempatan sebab proses cerai belum selesai!"

Kensuke menyumpah serapah.

​Walaupun dia tahu dari segi undang-undang status mereka masih suami isteri, Kensuke tidak boleh duduk diam melihat Zuri diperlakukan begitu, terutamanya apabila Zuri jelas berada dalam keadaan yang tidak normal malam tadi.

Kensuke terus mencapai kunci keretanya dan meluru keluar.

Destinasi pertamanya sudah tentu hotel mewah di Kuching, tempat di mana Zuri menetap sementara waktu ini untuk mengelakkan diri daripada Dean sepanjang kes perceraian mereka berjalan.

Namun, sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan, satu kerisauan lain mula mengetuk tangkai hati Kensuke.

Macam mana kalau Dean dah heret Zuri keluar dari hotel tu? Macam mana kalau Dean bawa Zuri balik ke rumah lama mereka?

Kensuke mengetap gigi dengan geram.

Satu masalah besar bagi Kensuke ialah dia langsung tidak tahu di mana terletaknya rumah peribadi Dean dan Zuri sebelum ini.

Zuri tak pernah bawa dia ke sana. Kalau hotel mewah tu kosong bila dia sampai nanti, Kensuke tahu dia akan hilang jejak sepenuhnya.

Tanpa berfikir panjang lagi, Kensuke terus menekan pedal minyak, memecut membelah kepekatan malam menuju ke hotel mewah tersebut.

Dia hanya mampu berdoa dalam hati agar Zuri masih ada di situ, dan dia sempat menghalang Dean sebelum keadaan menjadi lebih melarat.

*****

Kereta Kensuke berhenti mengecit di hadapan lobi hotel mewah di Kuching itu.

Tanpa memedulikan pandangan pelik pengawal keselamatan, dia terus meluru masuk ke dalam lif dan menekan butang ke tingkat bilik Zuri.

Jantungnya berdegup kencang, bercampur baur antara rasa cemas dan amarah yang belum reda.

Sebaik sahaja tiba di hadapan pintu bilik, Kensuke terus memasukkan kad akses untuk membuka pintu.

Defeated To HerStories to obsess over. Discover now