Our Sacred Place

8 0 0
                                        

Kensuke meredah masuk ke dalam bilik suit mewah milik Zuri di hotel tersebut.

Sebaik sahaja pintu bilik terkatup rapat, keheningan yang mencengkam di dalam ruang itu bagai satu tamparan hebat yang menyedarkan dia tentang realiti yang sedang berlaku.

Bilik itu kosong. Sunyi sepi.

Hanya bauan haruman lembut kegemaran Zuri yang masih tersisa, terapung di udara, membuatkan tangkai jantung Kensuke semakin rentap.

Di atas meja solek, beberapa barangan peribadi Zuri masih tersusun rapi. Di sudut bilik, kemeja yang sering digunakan wanita itu tersidai kemas.

Segala-galanya kelihatan seolah-olah Zuri baru sahaja keluar sebentar dan akan pulang bila-bila masa sahaja namun Kensuke tahu, hakikatnya wanita itu kini sedang dikurung di dalam neraka milik Dean.

"Sial!!!"

Kensuke menjerit melepaskan baki amarahnya yang masih bersisa. Dia menyepak kerusi hiasan di tepi katil sehingga terbalik ke lantai.

Dia melangkah longlai ke arah katil bersaiz king itu lalu melabuhkan punggung di birainya.

Kedua-dua belah tangannya naik meraup wajah dengan kasar. Kesan darah yang mengering di hujung bibir dan calar-balar di mukanya akibat pergelutan tadi langsung tidak dihiraukan.

Rasa sakit di fizikalnya sedikit pun tidak setanding dengan rasa hancur dan lumat yang sedang menyiksa jiwanya sekarang.
Dia memandang tangannya yang menggigil. Buku limanya merah dan membengkak.

Kensuke memejamkan mata rapat-rapat. Setiap kali dia memejamkan mata, bayangan Zuri yang pucat lesi, menangis teresak-esak sambil memeluk selimut untuk menutup tubuhnya yang telah dijamah oleh Dean, kembali berputar dengan jelas.

Jeritan ketakutan Zuri, rayuan wanita itu yang meminta dia pergi demi menyelamatkannya daripada perangkap undang-undang, semuanya bergema hebat di dalam kepala Kensuke sehingga dia rasa mahu gila.

"Kenapa aku bodoh sangat... Kenapa aku lambat..." bisik Kensuke, suaranya pecah dan serak di dalam bilik yang sunyi itu. Setitik demi setitik air mata lelakinya tumpah, membasahi lantai permaidani tebal bilik suite tersebut.

Dia rasa sangat terkilan dan tidak berguna. Sebagai seorang lelaki, perkara pertama yang sepatutnya dia lakukan adalah melindungi wanita yang dia cintai.

Tetapi malam ini, dia terpaksa akur dan berundur sehelai sepinggang hanya disebabkan sekeping kertas prosiding mahkamah.

Undang-undang yang sepatutnya melindungi mangsa, malam ini nampaknya lebih berpihak kepada jantan keparat seperti Dean untuk memutar belit keadaan.

Kensuke menumbuk tilam empuk itu berkali-kali, melepaskan rasa kecewa yang amat sangat.

Dia tahu dia tidak boleh terus meratap begini. Zuri telah mengorbankan maruahnya malam ini demi memastikannya tidak ditangkap polis atas tuduhan menceroboh dan menyerang.

Kensuke mengangkat mukanya perlahan-lahan. Matanya yang merah menyala akibat tangisan dan amarah kini bertukar menjadi satu pandangan yang sangat dingin dan tajam.

"Dean... kau fikirlah puas-puas atas kemenangan kau malam ni," desis Kensuke perlahan, suaranya kedengaran begitu membunuh di dalam kepekatan malam.

"Sebab lepas ni, aku bersumpah aku akan hancurkan kau sampai kau tak ada sisa untuk melutut lagi."

Kensuke meletakkan kedua-dua belah telapak tangannya di atas tilam, mencengkam cadar putih yang masih rapi itu dengan erat.

Haruman tubuh Zuri yang melekat pada bantal perlahan-lahan menusuk rongga hidungnya, dan bersama haruman itu, benteng pertahanan emosinya runtuh sepenuhnya.

Segala memori indah dan hangat yang pernah mereka ukir di dalam bilik suite ini menerpa masuk tanpa amaran, seolah-olah mahu mengejek takdirnya yang malang malam ini.

Dia memandang katil itu. Di atas tilam itulah, mereka pernah berkongsi malam-malam yang penuh kehangatan dan ketenangan.

Di situ, Zuri pernah meluahkan segala rasa lelahnya sebagai seorang wanita matang, mencari perlindungan di dalam dakapan Kensuke yang sasa. Mereka pernah berbisik tentang masa depan, ketawa kecil dalam pelukan, dan menyembuhkan luka masing-masing dengan sentuhan yang penuh cinta.

Kensuke mengalihkan pandangannya yang berkaca-kaca ke arah pintu bilik mandi yang sedikit terbuka. Kakinya bergerak longlai, melangkah masuk ke dalam ruang yang kini terasa begitu dingin dan asing.

Dia berdiri di hadapan sinki. Di atas kaunter bilik mandi yang diperbuat daripada marmar hitam itu... semuanya masih segar di ingatan.

Kensuke memejamkan mata, dan dia seakan-akan dapat melihat bayangan Zuri yang duduk di atas kaunter itu sambil tersenyum manja, membiarkan jemari Kensuke mengelus lembut pipinya sebelum mereka hanyut dalam ciuman yang membara.

Kaunter marmar itu pernah menjadi saksi betapa hebatnya gelora cinta mereka yang tidak mampu disekat oleh sesiapapun.

Kensuke melangkah pula ke dalam ruang shower. Dia menyandarkan belakang badannya pada dinding mozek yang sejuk.

Di bawah pancuran air inilah, mereka selalu berdiri bersama. Kensuke masih ingat betapa hangatnya air yang mengalir membasahi tubuh mereka yang bertaut rapat, bersatu di bawah deruan shower.

Tangan Kensuke yang kasar pernah menyapu lembut titisan air pada belakang badan Zuri, manakala Zuri memeluk erat lehernya, membisikkan kata-kata cinta yang membuatkan Kensuke rasa dia adalah lelaki paling bertuah di dunia.

Tempat ini telah menjadi saksi segala-galanya, setiap sentuhan, setiap nafas yang bersatu, dan setiap janji setia yang mereka lafazkan tanpa sebarang helah mahupun rahsia.

Kensuke mengangkat wajahnya yang basah, merenung kosong ke arah cermin gergasi yang terpasang teguh di dinding bilik mandi itu.

Di bawah biasan lampu malap, cermin itu bukan sekadar memantulkan wajahnya yang hancur, tetapi turut menghidupkan semula tayangan memori yang paling bergelora antara dia dan Zuri.

Cermin gergasi itu... telah menjadi saksi bisu kepada rakaman adegan panas dan asmara yang paling intim pernah mereka lalui bersama.

Di hadapan cermin itulah, Kensuke pernah berdiri di belakang Zuri, merangkul pinggang wanita itu dengan erat sehinggakan tiada lagi ruang yang memisahkan jasad mereka.

Melalui pantulan cermin itu, dia pernah menatap dalam-dalam sepasang anak mata Zuri yang layu dan sarat dengan keghairahan, sementara tangannya liar meneroka setiap inci lekuk tubuh matang yang begitu mendambakan sentuhannya.

Cermin itu merakam dengan jelas setiap titisan peluh yang mengalir, setiap gigitan cinta pada bahu, dan bagaimana tubuh mereka bertautan dalam ritma yang penuh berahi, mencipta satu memori yang mengikat jiwa mereka berdua dalam satu ikatan yang tidak mampu dileraikan oleh sesiapapun.

Setiap desahan nafas, setiap ciuman ghairah yang meninggalkan kesan wap pada permukaan kaca itu, semuanya pernah dirakam oleh keheningan ruang ini.

Namun malam ini, cermin gergasi itu hanya memantulkan susuk seorang Kensuke yang tewas.

Yang tinggal hanyalah bayangan seorang lelaki yang hancur dan kesunyian yang mencengkam.

Amarah yang sempat mereda kini kembali menyala, meluap-luap dalam dadanya, membakar segala sisa kesabaran yang ada.

"Aku akan ambil dia balik, Dean," desis Kensuke perlahan, suaranya kedengaran begitu dingin dan bergetar dengan dendam yang tidak akan padam.

"Dan aku akan pastikan kau bayar setiap titis air mata yang kau paksa dia tumpahkan malam ni."

Defeated To HerStories to obsess over. Discover now