Mess It Up

4 0 0
                                        

Bumm! Bumm!

Di dalam kabin Ford Raptor hitam gelapnya yang sunyi, Kensuke menghentam stereng trak itu bertalu-talu dengan kedua-dua belah penumbuknya.

Bunyi dentuman itu bergema kasar, memecah keheningan malam kelam di luar pagar banglo dua tingkat itu.

Nafasnya turun naik dengan laju, tercungap-cungap menahan sesak di dada. Kensuke menyandarkan kepalanya ke stereng, memejamkan mata rapat-rapat sementara urat di pelipisnya masih berdenyut kencang akibat amarah yang tidak dapat dilepaskan.

"Sial!" Kensuke menyumpah perlahan, suaranya pecah dan serak.

Dia rasa sangat terkilan. Dia rasa seperti seorang penakut. Sepatutnya dia merentap Zuri keluar dari neraka itu, sepatutnya dia menghancurkan muka Dean sehingga jantan keparat itu melutut melabur darah.

Tetapi ego dan amarahnya terpaksa tunduk melutut hanya disebabkan sekeping kertas prosiding mahkamah yang masih berjalan.

Undang-undang bodoh yang masih mengikat status Zuri sebagai isteri orang benar-benar merantai kedua-dua belah tangannya malam ini.

Kensuke mengangkat mukanya, memandang sayu ke arah tingkat atas banglo megah tersebut melalui cermin depan kereta yang gelap.

Hatinya hancur sekeping-sekeping apabila terpaksa melangkah keluar sehelai sepinggang tanpa membawa Zuri pulang bersama.

Bayangan Zuri yang berbalut selimut, menangis ketakutan dan meminta dia pergi demi menyelamatkannya, terus berputar-putar di dalam minda bagai kaset rosak.

Sekarang, dia hilang arah. Kensuke meraup wajahnya dengan kasar. Dia tidak tahu bila Zuri akan dapat melepaskan diri dari situ. Dia tidak tahu bila atau adakah Zuri akan pulang semula ke bilik hotel perlindungannya di Kuching.

Dia langsung tidak tahu.

Dengan tangan yang masih menggigil menahan geram, Kensuke memusingkan kunci slot.

Enjin sebu Ford Raptor itu menggaum garang membelah malam. Dia menukar gear, menekan pedal minyak sedalam-dalamnya, dan membiarkan jentera hitam itu memecut laju meninggalkan kawasan perumahan elit tersebut dengan seribu satu persoalan yang menyiksa jiwanya.

Kringgg! Kringgg!

Bunyi deringan telefon pintar yang diletakkan di atas konsol tengah mengejutkan Kensuke daripada lamunan amarahnya. Skrin telefon yang menyala terang memaparkan satu nama:

Catlyn.

Kensuke mengetap bibir. Dalam keadaan emosinya yang sedang hancur dan berkecamuk begini, panggilan daripada
Catlyn adalah perkara terakhir yang dia mahu hadapi. Namun, dia tahu dia tidak boleh mengelak.

Dengan sebelah tangan masih kemas memegang stereng Ford Raptor yang sedang memecut, dia menyentuh skrin dan menjawab panggilan tersebut menggunakan pembesar suara.

"Hello, Ken! Kau kat mana sekarang?!"
Suara Catlyn di hujung talian kedengaran cemas dan tercungap-cungap, langsung tidak seperti nada bersahaja yang biasa dia gunakan.

"Aku dalam kereta. Kenapa?" jawab Kensuke pendek, suaranya kedengaran mendatar dan serak, cuba menyembunyikan getaran amarah yang masih berbaki di dada.

"Ken, kau pergi cari Zuri dekat rumah lama dia ke?! Tolong cakap dengan aku yang kau belum sampai sana!" Catlyn separuh menjerit, nadanya sarat dengan ketakutan yang amat sangat.

Kensuke tersentak.

Kereta Ford Raptor miliknya membelah jalan raya Kuching yang sunyi. "Aku baru je keluar dari kawasan rumah jantan sialan tu. Kenapa? Macam mana kau tahu?"

Defeated To HerStories to obsess over. Discover now