Rokiah termenung di jendela, melihat pada pokok rambutan yang seberapa depa dari rumahnya itu. Kadang-kadang ternampak dua tiga ekor tupai berlari bekejaran di dahan rambutan tersebut. Namun tidaklah Rokiah menjumpai cicak tokek seperti yang digembar-gemburkan oleh Wahid Sepana, yang mengatakan di pokok rambutan itulah beliau menjumpai cicak tokek lantas menjualnya ke Asang Burger dengan harga RM2000, lantas beliau membeli motor LC second hand dari Ajip Wak Lan. Walhal, satu kampung sudah tahu bahawa duit itu bukanlah dari hasil penjualan cicak tokek, tetapi duit tikam ekor yang dimenangi beliau dua hari lepas. Cerita ini pun dibocorkan oleh Mak Ram Janda, jiran kepada Wahid Sepana.
Tapi cerita ini bukan pasal Wahid Sepana mahupun Mak Ram Janda, tapi cerita ini adalah mengenai Rokiah. Rokiah yang mana masih lagi termenung di jendela, melihat ke arah pokok rambutan yang sama. Sekali sekala terdengar keluhan dari bibir nipis Rokiah yang seakan-akan bibir Tasha Shilla. Keluhan itu akhirnya didengari oleh Mak Siti, ibu kepada Rokiah. Gelisah Mak Siti melihat perilaku Rokiah. Hati ibu mana yang tidak kasihan melihat keadaan anak gadisnya yang saban hari semakin murung. Ini semua gara-gara kekasih hatinya, Rizal bertunang dengan orang lain. Masa Rokiah dapat tahu tentang berita tersebut, satu hari suntuk Rokiah menangis. Hanya berhenti seketika untuk makan dan buang air. Lepas itu sambung menangis balik.
"Sudah-sudahlah tu Kiah. Kesian mak tengok kamu ni asyik termenung je. Tak letih ke?" luah Mak Siti dalam usaha memujuk Rokiah.
"Kiah sedih mak. Kenapa Abang Rizal putuskan hubungan kami? Sedangkan Kiah tak pernah pun curang kat dia" keluh Rokiah sambil memandang dua ekor tupai yang berkejaran tadi jatuh tersungkur di tanah. Maka tepatlah peribahasa melayu 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua'.
"Memang kamu tak curang, tapi si Rizal tu yang curang. Mentang-mentang perempuan tu anak dato, senang-senang je dia reject kamu!" Kenyataan Mak Siti itu sedikit sebanyak telah menambah sedih Rokiah, lalu menangislah Rokiah buat kali ke lapan dalam masa tiga hari berturut-turut.
"La.. Awatnya teriak pulak? La hai ang ni... Loq laq sungguh!" bentak Mak Siti dalam loghat utara, sehinggakan menimbulkan persoalan di raut wajah Rokiah kerana setahu Rokiah, maknya itu asal dari Pahang, manakala arwah ayahnya dari Johor, masakan pula maknya fasih berloghat utara?
Tetapi setelah melihat kepada rak CD di atas kabinet TV, baru Rokiah mengerti, "Peminat filem Prof Madya Abdul Razak Mohaideen rupanya. Patutlah..." bisik Rokiah.
"Sekarang ni mak nak masak, nak tunggu kau asyik nangis je, memang tak makan la kita anak-beranak! Malas layan kau!" Mak Siti pun beredar meninggalkan Rokiah yang masih termenung di jendela.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..