Bahagian 55: Surat Dari Rahmat

335 26 10
                                    

Malam itu, seperti biasa, Mak Som memanggil Rahmat makan

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Malam itu, seperti biasa, Mak Som memanggil Rahmat makan. Pintu bilik Rahmat diketuk berkali-kali, namun tidak berjawab. Sangka Mak Som mungkin Rahmat tertidur. Mak Som mencuba mengetuk lagi. Dia tidak mahu anaknya tidur dalam keadaan lapar. Sayangnya pada Rahmat tidak pernah pudar, walaupun Rahmat dalam keadaan sebegitu.

Namun setelah mencuba beberapa kali mengetuk pintu bilik Rahmat, Mak Som terasa pelik. Rahmat langsung tidak menyahut. Selalunya Rahmat akan membuat bunyi menyatakan dia akan keluar, walaupun dia tidak bercakap, tetapi kali ini berbeza. Langsung tiada bunyi dari dalam bilik. Mak Som sudah mula risau. Risau kalau anaknya membuat perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Dalam kepala Mak Som sudah mula terbayang yang Rahmat membunuh diri! Segera dia menjerit memanggil Pak Jalil yang berada di dapur.

Pak Jalil yang sedang asyik melantak ayam masak merah di dapur, hampir tersedak apabila tiba-tiba Mak Som menjerit memanggilnya. Pada mulanya Pak Jalil seperti malas mahu ambil tahu akan apa yang berlaku kerana lauk ayam masak merah adalah lauk kegemarannya, tetapi apabila Mak Som mula menjerit nama Rahmat, barulah Pak Jalil sedar ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Tanpa membasuh tangan, Pak Jalil segera mendapatkan Mak Som.

"Kenapa ni Som?! Kenapa dengan Rahmat?"

"Anak kita bang! Senyap je dalam tu? Saya jerit pun dia tak menyahut! Apa yang dia buat dekat dalam tu bang?!" jerit Mak Som seperti disampuk jin laut, membuatkan Pak Jalil bertambah panik.

Dengan menggunakan kudrat yang ada, Pak Jalil menendang pintu bilik Rahmat yang berkunci. Disebabkan kayu yang dan engsel pintu yang reput, membuatkan pintu itu terbuka dengan sekali tendang sahaja. Hampir juga tiang yang memegang pintu itu turut patah. Jika Pak Jalil melebihkan sedikit lagi tenaga yang digunakan tadi, sudah pasti tiang itu tercabut, dan mungkin menyebabkan reaksi rantaian dengan tiang-tiang lain turut tertanggal, seterusnya boleh menyebabkan rumah itu runtuh.

Sesudah pintu bilik Rahmat terbuka luas, Mak Som berlari masuk ke dalam, ingin mendapatkan Rahmat. Tetapi apa yang Mak Som nampak adalah satu bilik yang kosong tidak berpenghuni. Tidak kelihatan Rahmat di dalam. Hanya yang ada adalah sepucuk surat yang ditinggalkan di atas katil. Sepucuk surat yang ditulis oleh Rahmat di atas sekeping kertas kajang menggunakan pen wangi berwarna ungu. Sepucuk surat yang membuatkan Mak Som dan Pak Jalil terkejut, sehingga terbeliak biji mata.

"Kehadapan mak dan abah..

Tujuan Rahmat menulis surat ini ialah untuk meminta maaf kepada mak dan abah. Rahmat ingin meminta maaf sekiranya tindakan Rahmat ini membuatkan mak dan abah risau. Tetapi ini saja caranya untuk Rahmat menebus kesalahan Rahmat kepada semua orang yang Rahmat pernah buat salah. Terutama sekali kepada arwah Azuan, Ila, dan Rokiah. Rahmat dah tak tahu nak buat macam mana lagi. Orang kampung mula membenci Rahmat. Mak Nah dan Pak Akob pun dah tak nak jumpa dengan Rahmat. Diorang cakap Rahmat pembunuh! Ila pun dah tak nak tegur Rahmat. Orang kampung pun mula dah mengata2 abah dgn mak. Jadi dari Rahmat menanggung rasa bersalah dan abah dgn mak menanggung malu, biarlah Rahmat pergi dari kampung ni. Biarlah Rahmat pergi jauh. Ke mana Rahmat pergi abah dgn mak janganlah risau. Rahmat pandai jaga diri.

Sekian sahaja warkah dari anakmu, Rahmat.

p.s: Rahmat pinjam duit abah dulu RM500. Rahmat ambik dekat dalam bekas kayu abah tu. Nanti bila Rahmat ade duit balik, Rahmat bayar."

Mengalir air mata Mak Som membaca surat itu. Tidak dapat dia menahan kesedihan apabila satu-satunya anaknya meninggalkannya. Ke tempat yang hanya Rahmat yang tahu. Terduduk Mak Som tidak dapat menerima kenyataan. Kerana pandangan masyarakat terhadap anaknya, kini anaknya meninggalkannya.

Pak Jalil turut menangis apabila membaca surat itu. Matanya hanya tertumpu pada ayat terakhir surat itu. Duit simpanannya untuk membeli joran dan mesin memancing yang baru tidak kesampaiannya. Dan kini, Pak Jalil pula yang terduduk. Kedua mereka kini berpeluk sama lain, menangis sekuat-kuatnya.  

Cinta RokiahWhere stories live. Discover now