Malam itu Rahmat mengambil keputusan untuk bertemu Rokiah. Dia rasa tidak tenang melihat Rokiah dipukul petang tadi. Dia ingin tahu apakah sebabnya Rokiah dipukul. Lokasi pertemuan adalah di tempat biasa mereka bertemu apabila waktu malam, iaitu di luar tingkap bilik Rokiah. Dan seperti biasa juga, Rahmat menyelinap keluar, tanpa pengetahuan kedua ibu bapanya. Tetapi kali ini ada sedikit berbeza. Bilik Rokiah kelihatan gelap, tidak seperti selalu. Rahmat melihat jam tangannya.
"Baru pukul 9.30.. Tak kan awal sangat Rokiah tidur?" kata Rahmat di dalam hati.
Nasib baik juga jam tangannya yang dibeli di pasar malam, dengan harga RM10 itu mempunyai lampu, boleh lah dia melihat waktu yang tertera di jamnya itu. Rahmat tidak puas hati. Tingkap kayu itu diketuk berkali-kali. Namun tiada juga jawapan.
"Rokiah.."
Kali ini Rahmat cuba memanggil pula. Tetap tiada jawapan. Setelah hampir 15 minit mencuba, akhirnya Rahmat berputus asa. Rahmat pulang ke rumah dengan perasaan yang kecewa.
Malam itu Rahmat tidak boleh lelap. Fikirannya runsing memikirkan Rokiah. Matanya tidak putus merenung siling biliknya, sambil tangan diletakkan di dahi, lagak seperti seorang akauntan yang menghadapi krisis wang di dalam perbelanjaan keluarga. Begitu lama Rahmat merenung siling, sehinggakan dia boleh mengenali cicak-cicak yang berkeliaran di siling. Sempat juga dia menamakan cicak-cicak itu. Namun, tidaklah dia tahu akan spesis cicak itu, kerana dia bukannya pakar cicak. Hanya seoarang pakar cicak di kampung itu iaitu Wahid Sepana. Keghairahan Wahid mengkaji cicak tidak dapat disangkal lagi. Kalau boleh, semua jenis cicak hendak dibelanya. Namanya hampir-hampir tercatat di dalam Malaysia Book of Records dalam kategori Pengumpul Cicak Terbanyak, tetapi dia tewas di tangan pengumpul dari Pahang, hanya kerana dia kekurangan 9 ekor sahaja dari pengumpul dari Pahang itu.
"Ah! Buat apa nak pening.. Esok waktu sekolah mesti aku jumpa dia. Aku tanyalah dia nanti.. Mungkin malam ni dia masih rasa sedih kot.." Rahmat bermonolog sendirian.
Esok Rahmat harus berjumpa dengan Rokiah. Dia harus mengetahui kisah sebenar. Dia memandang jam loceng yang diletakkan di atas meja.
"Hah?! Dah pukul 1? Cepat betul masa berlalu.." Rahmat terkejut.
Dia sendiri tidak menyangka sudah 3 jam dia mengelamun memikirkan tentang Rokiah. Sayangnya kepada Rokiah bukan lagi mainan. Masalah Rokiah, masalah juga baginya. Itu falsafah Rahmat. Tapi kini dia harus tidur. Dia tidak mahu berjumpa Rokiah dengan wajah yang mengantuk. Penampilan harus dijaga. Itu yang Rahmat belajar dalam iklan gel rambut di televisyen. Walau seteruk mana pun masalah, penampilan adalah nombor satu, walaupun Rahmat sendiri tidak memakai gel rambut yang diiklankan itu. Rahmat hanya memakai Tancho.
............
Awal-awal lagi Rahmat sudah terpacak di pintu pagar sekolah. Tidak sabar rasanya dia mahu menanyakan pada Rokiah tentang kejadian itu. Sehinggakan dia sanggup bersarapan ketika dalam perjalanan ke sekolah, dengan menaiki basikal. Untung juga kerana Rahmat pandai menunggang basikal dengan melepaskan kedua belah tangannya. Dapatlah dia makan sarapan roti yang dibawanya dengan lebih mudah. Sekilas pandang, Rahmat tidak ubah seperti seekor monyet sarkas yang sedang melakukan aksi sarkasnya. Tidak hairanlah Ila Rambo menggelarkan Rahmat 'monyet'.
Akhirnya kelibat Rokiah pun kelihatan. Segera Rahmat menyorok ke belakang tembok batu, dari dilihat oleh Mak Siti.
"Mak Siti ni bukan boleh kira.. Kalau dia nak sebat orang, kat depan balai polis pun dia sanggup!" getus hati Rahmat.
Takutnya kepada Mak Siti bukan kepalang. Setelah yakin Mak Siti sudah hilang dari pandangan, Rahmat memanggil Rokiah, yang tidak perasan akan Rahmat yang menyorok di belakang tembok.
"Rahmat..." sayu jawapan Rokiah.
Wajah Rokiah pun seakan tidak ceria melihat Rahmat. Membuatkan Rahmat hairan. Selalunya Rokiah akan gembira bila berjumpa dengannya. Tetapi kali ini sebaliknya. Wajah Rokiah seakan-akan menunjukkan yang dia mempunyai masalah. Masalah yang membelenggu dirinya.
"Kenapa ni Kiah? Macam ada masalah je?" tanya Rahmat bimbang. Dia tidak mahu terus menanyakan tentang kejadian Rokiah dipukul oleh maknya. Kerana Rahmat rasa agak tidak sesuai jika dia menanyakan soalan itu secara tiba-tiba.
"Rahmat.. Mak Kiah.." jawapan Rokiah tersangkut. Seperti sengaja dia tidak mahu menghabiskan ayat.
"Kenapa degan mak Kiah? Dia sakit ke?" Rahmat membuat andaian.
Pelik juga Rahmat. Hendak kata Mak Siti sakit, elok sahaja Rahmat lihat. Nampak sihat. Tidak ada sebarang ciri-ciri seseorang yang ditimpa sakit.
"Bukanlah.. Mak Kiah.. Dia tak bagi kita berkawan lagi.. Hmm.." keluh Rokiah.
"Hah?! Macam mana mak Kiah boleh tahu? Siapa bagitahu?"
Rahmat terkejut. Pelik, kerana sebelum ini tiada siapa yang membocorkan rahsia perhubungan mereka kepada kedua orang tua mereka.
"Tak tahu.. Masa kita balik dari bandar hari tu, tiba-tiba mak Kiah dapat tahu.. Habis Kiah kena pukul.. Hmm.." Rokiah mengadu kepada Rahmat.
Maka terjawablah persoalan yang ingin diajukan oleh Rahmat sebentar tadi. Tetapi kini persoalan lain pula yang timbul. Rahmat ingin tahu siapakah yang memberitahu kepada Mak Siti. Dan, bagaimanakah dengan nasib perhubungan mereka?
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..