Ila Rambo berasa hairan. Hairan melihat tingkah laku Rokiah sejak dari awal pagi tadi. Sejak dari masuk ke kelas, sehinggalah hampir ke waktu rehat, Rokiah kelihatan asyik tersenyum. Apa yang diajar oleh guru di kelas seakan-akan tidak diperdulikan oleh Rokiah. Rokiah seakan-akan hilang fokus. Seperti berangan-angan. Sangka Ila mungkin Rokiah masih terkesan cerita lakonan Wan Maimunah di kaca televisyen semalam.
"Tapi cerita semalam cerita sedih, kenapa Rokiah senyum pulak?" tanya Ila di dalam hati.
Ila menunggu waktu rehat, untuk bertanya tentang perilaku pelik Rokiah. Ila bimbang kalau Rokiah tiba-tiba hilang kewarasan, atau mungkin dia disampuk jin tanah. Nah! Satu lagi contoh tipikal orang melayu. Tidak habis-habis dengan kisah tahyul.
Loceng sudah berbunyi, menandakan sudah masuk waktu rehat. Ila Rambo segera mendapatkan Rokiah.
"Rokiah!" panggil Ila Rambo.
"Ya? Kenapa Ila?" tanya Rokiah, yang masih lagi tersenyum.
"Err.. Takde apa-apa la.. Jom pergi rehat?" Ila menukar soalan.
Tak berani rasanya dia bertanyakan soalan itu kepada Rokiah.
"Hmm.. Ila, hari ni Rokiah nak ajak kawan Rokiah makan sekali dengan kita boleh tak?" kali ini Rokiah pula yang bertanya.
"Kawan? Siapa?" tanya Ila Rambo kehairanan.
Setahu Ila, Rokiah memang tiada kawan lain yang rapat dengannya. Hanya Ila sahaja teman rapat Rokiah selama mereka bersekolah di situ. Yang lain tu memanglah ada, tapi tidaklah sampai Rokiah mengajak mereka untuk makan bersama. Selalunya yang mengajak pun Ila Rambo. Tetapi tak ramai yang sanggup makan bersama mereka, kerana Ila Rambo selalu 'mengepow' makanan mereka. Oleh sebab itulah hanya Rokiah sahaja yang sanggup makan bersama. Nasib baik juga Rokiah jenis makan sedikit, dan Mak Siti pula selalu membawa makanan yang banyak sebagai bekal. "Kalau tak habiskan, membazir pula kan?" kata Ila semasa mengepow makanan Rokiah.
"Adalah.. Nanti Ila tahu lah.. Hehe." jawab Rokiah sambil ketawa kecil.
Ila makin bertambah hairan. Berkerut dahi Ila Rambo.
"Mungkin kawan kelab badminton dia kot.." Ila membuat spekulasi liar di dalam benak fikirannya.
Rokiah adalah ahli kelab badminton di sekolahnya. Tujuan Rokiah menyertai kelab itu adalah bertujuan untuk mendapat ramai kawan, selain daripada memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sekolah tersebut iaitu setiap pelajar wajib menyertai sekurang-kurangnya satu kelab kokurikulum. Selain itu Rokiah juga berniat untuk mengalahkan ibunya suatu hari nanti. Ila rambo pula menyertai kelab taekwando. Ini kerana Ila berpendapat bahawa selain memasak dan pandai menguruskan rumah tangga, seorang wanita juga harus tahu seni mempertahankan diri. Ini semua gara-gara terpengaruh dengan rancangan Nona. Walaupun nampak ganas pada luaran, namun Ila rambo adalah peminat nombor satu rancangan Nona. Dia amat meminati pengacaranya iaitu Zakiah Anas. Dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang pengacara rancangan televisyen suatu hari nanti. Dengan cakap suka mencarut-carut, memang tak dapat lah!
Sesudah sampai di bawah pokok, Rokiah mendapati bangku di bawah pokok itu tiada pun orang yang ditunggunya.
"Mana kawan kau Kiah? Kata nak makan sekali?" tanya Ila yang juga kehairanan apabila dia tidak melihat sesiapa pun di situ.
"Dia pergi kantin dulu kot.. Beli makanan dulu.." jawab Rokiah tenang, sambil membuka bekal yang dibawanya dari rumah.
"Kejap lagi dia datang lah tu." sambung Rokiah lagi sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya.
Di dalam fikiran Ila Rambo sudah membayang bayangkan siapakah kawan yang dimaksudkan oleh Rokiah. Ila sudahpun membuat kebarangkalian 'kawan' yang dimaksudkan itu. Semua senarai suspek adalah dari pelajar perempuan di dalam kelab badminton. Mungkin Suriati anak Pak Dolah hujung kampung itu. Atau pun Samsiah kelas 4 Ekonomi. Atau mungkin Chin Mei Feng, seorang gadis keturunan tionghua yang fasih berbahasa melayu. Mei Feng juga amat gemar memakan sambal petai, membuatkan dia digemari oleh ramai jejaka-jejaka melayu di sekolah itu. Mei Feng juga peramah orangnya, jadi tak mustahil dia lah kawan yang dimaksudkan Rokiah.
"Rokiah!" tiba-tiba mereka dikejutkan dengan satu suara, yang datang dari belakang.
"Hah! Sampai pun dia.." kata Rokiah.
Ila Rambo menoleh, dan alangkah terkejutnya Ila Rambo, apabila yang dikatakan 'kawan' oleh Rokiah ialah Rahmat!
"Woi monyet! Apa kau buat kat sini?!" tanya Ila Rambo tanpa memberi salam terlebih dahulu.
"Wah.. Kau Rambo.. Tak bagi salam lagi dah panggil aku monyet? Indah sungguh bahasa kau ya?" Rahmat cuba membuat ayat sarkastik.
"Entahnya Ila.. Tak baik tau panggil orang monyet.." kali ini Rokiah pula cuba mempertahankan Rahmat, membuatkan Ila bertambah pening.
Selama ini Rokiah tak pernah marah pun bila dia mengutuk Rahmat. Tetapi kali ini tiba-tiba Rokiah menyebelahi Rahmat pula.
"Ok.. Sorry.." Ila meminta maaf, dengan niat tidak mahu memburukkan keadaan.
"Tapi kenapa tiba-tiba kau nak ajak Rahmat pulak ni Kiah?" tanya Ila, membuatkan Rokiah hampir menyemburkan nasi goreng yang berada di dalam mulut. Dan Rahmat pula hampir menjatuhkan nasi lemak yang dibelinya di kantin sebentar tadi.
"Eh! Takde apa-apa! Saja ajak Rahmat makan sekali.." jawab Rokiah setelah dia menelan nasi goreng yang hampir tersembur tadi.
"Aku nak berbaik-baik dengan Rokiah, nak minta maaf pasal aku buang dia punya bekal hari itu.. Tak boleh ke?" kali ini Rahmat pula memberi alasan, yang nampak lebih logik dari alasan Rokiah.
"Ooo.. Ok.." jawab Ila Rambo mengiakan, tetapi di dalam hati Ila, dia masih lagi ragu-ragu dengan alasan mereka berdua. Rasanya ada lagi rahsia yang cuba mereka sembunyikan.
Pagi itu mereka bertiga mengisi waktu rehat bersama. Rahmat dengan Rokiah masih lagi malu-malu. Membuatkan Ila Rambo bertambah curiga. Dia tidak pernah melihat Rahmat jadi pemalu seperti itu. Rahmat, seorang pelajar nakal sekolah, pelajar gangster, samseng, boleh menjadi pemalu?
"What the hell?!" Ila berkata di dalam hati.
Dia harus menyingkap rahsia mereka berdua. Dia harus bersuara. Dia harus melepaskan segala bebanan di dada. Semakin diperam, semakin sakit hati dia melihat Rahmat tersipu-sipu di depan Rokiah. Dia harus tahu apa sudah terjadi kepada mereka berdua.
"Kau orang berdua ni couple ke?" tanya Ila Rambo spontan, kali ni betul-betul membuatkan nasi goreng di mulut Rokiah tersembur. Dan Rahmat hampir tercekik ikan bilis.
"Ila!" Rokiah meninggikan suaranya sedikit, walaupun ada rasa sedikit malu.
"Apa? Aku tanya je.. Aku tengok kau orang berdua asyik senyum-senyum, kau pandang Rahmat, Rahmat pandang kau.. Tu yang aku tanya." jawab Ila seperti tiada salah di dalam ayatnya.
Tapi memang betul pun tekaan Ila itu.
"Jadi, betul lah kau orang couple?" tanya Ila sekali lagi, masih lagi menantikan jawapan.
"Ha'ah.." jawab Rahmat selamba.
Rokiah memandang Rahmat, sambil menunjukkan isyarat supaya senyap. Rahmat pula memandang Rokiah, membuat muka 'ala.. Relax lah..'. Manakala Ila Rambo pula memandang mereka berdua, dengan membuat muka hairan, seraya tersentak lalu menjerit: "What the hell!!"
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..