Petang itu selepas pulang dari sekolah, Rahmat terbaring di katil buruknya memikirkan strategi untuk berjumpa dengan Rokiah. Hendak saja dia pergi terus ke rumah Rokiah untuk berjumpa denganya, tapi tidak semudah itu. Dia perlu memikirkan bagaimana mahu melepaskan diri dari halangan terbesar iaitu Mak Siti. Rahmat takut kalau ketika dia menyampaikan hasratnya mahu berjumpa dengan Rokiah, Mak Siti tiba-tiba bertukar menjadi Optimus Prime, satu tahap yang lebih hebat dari mode Ninja Turtle Mak Siti. Semenjak kematian ayahnya, Rokiah dijaga rapi oleh Mak Siti ibarat menatang minyak yang penuh. Pada masa itu peribahasa tersebut amat sesuai digunakan kerana harga minyak belum sampai ke tahap kritikal seperti sekarang. Jika peribahasa tersebut digunakan pada zaman sekarang, ia kelihatan tidak logik kerana tidak ade orang akan menatang minyak yang penuh kerana ianya mahal. Paling kuat pun menatang minyak yang separuh.
Tiba-tiba Rahmat terfikir satu idea yang bernas. Walaupun jarang Rahmat berfikir, tetapi kali ini dia benar-benar mendapat idea yang dia rasakan bernas pada dirinya. Bernas disini bermaksud geliga, bukannya singkatan kepada Beras Nasional. Setelah dia membuat kiraan, tolak, campur, bahagi, darab, dan perpuluhan, Rahmat membuat hipotesis bahawa dia perlu sembunyi-sembunyi pergi ke tingkap bilik Rokiah, yang hanya bersebelahan dengan bilik Mak Siti. Rahmat sudah mengenal pasti mana satu tingkap bilik Rokiah kerana Rahmat pernah ternampak Rokiah menyisir rambut di tepi tingkap pada suatu pagi tak lama dahulu. Kalau adegan itu dilihat pada waktu malam, pasti ia menimbulkan mood seram. Tetapi mujur ia dilihat pada waktu pagi, ketika orang sedang sibuk ke pasar. Rahmat merasakan dia perlu bertindak pada sebelah malam, di mana Rokiah sering menghabiskan masa di bilik. Itu pun Rahmat tahu kerana Rahmat selalu terdengar bunyi radio dari bilik Rokiah, menandakan Rokiah selalu berada di bilik pada waktu malam.
.....................
Malam itu Rahmat bertindak. Jam di tangan menunjukkan sudah pukul 10:02 malam, manakala jam di dinding pukul 9:57. "Cepat 5 minit pulak.." kata Rahmat dalam hati. Tetapi 5 minit tidak memberi apa-apa beza kerana masa tidak memainkan peranan dalam misi ini. Yang penting Rokiah sudah berada di bilik. Walau pukul 12 sekalipun jikalau Rokiah tidak berada di bilik, apa gunanya dia memulakan operasi? Rahmat perlahan-lahan keluar ikut pintu dapur, kerana ibu bapanya berada di ruang tamu menonton cerita Jaws di televisyen. Kalau keluar ikut pintu depan nanti kantoilah Rahmat. Rahmat membongkok menghampiri bilik Rokiah. Dari celahan papan tingkap bilik Rokiah, dapat dilihat sinaran cahaya dari dalam, menandakan ada seseorang di dalam. Rahmat merapati dirinya ke tingkap, semakin hampir semakin kuat bunyi radio Rokiah. Dapat kedengaran dengan jelas suara Linda Onn di radio.
"Oo.. Suka dengar Era rupanya Rokiah ni.." kata Rahmat dalam hati.
"Tup! Tup!"
Rahmat mengetuk perlahan tingkap bilik Rokiah, takut-takut kalau Mak Siti terdengar. Tiada respon. Rahmat mengetuk sekali lagi. Tapi kali ini kedengaran bunyi radio seperti diperlahankan. Mungkin Rokiah sudah menyedari tingkap biliknya diketuk. Rahmat mengetuk sekali lagi, diikuti dengan panggilan nama Rokiah.
"Rokiaaahh..."
Rahmat memanggil perlahan. Tiada respon lagi. Tapi kali ini bunyi radio terus terpadam.
"Rokiaaaahhhh..."
Rahmat memanggil lagi. Tiba-tiba Rahmat mendengar Rokiah membaca ayat Kursi di dalam. Rahmat tergelak. Tapi sempat Rahmat menutup mulut kerana tidak mahu ketawanya didengari.
"Rokiah! Ni bukan hantu la.. Ni Rahmat.. Hehehe" Rahmat cuba menjelaskan kepada Rokiah, yang masih tidak berhenti membaca ayat Kursi, walaupun bacaannya tugang terbalik akibat ketakutan.
"Rokiah! Ni Rahmat la..." Rahmat bersuara lagi. Kali ni Rokiah terus berhenti membaca ayat Kursi.
"Rahmat?" tanya Rokiah dari dalam.
"Ha'ah.. Rahmat." jawab Rahmat dari luar.
Tiba-tiba tingkap terbuka. Nasib baik Rahmat sempat berundur, jika tidak penyeklah hidung Rahmat yang tak berapa mancung itu terkena tingkap papan itu. Sebaik sahaja tingkap terbuka, Rahmat terpegun. Di hadapannya adalah Rokiah yang lengkap berpakaian tidur, dengan rambut yang dibiarkan lepas sedang berdiri dihadapannya. Rokiah kelihatan sungguh cantik pada malam itu. Dengan efek cahaya bilik di belakang Rokiah, menampakkan lagi kecantikan Rokiah, persis bidadari. Rahmat terpegun, ternganga dan hampir menitiskan air liurnya.
"Rahmat! Apa Rahmat buat kat sini malam-malam buta ni?" tanya Rokiah, lantas menyentakkan Rahmat dari lamunan.
"Err.. Rahmat... Rahmat nak jumpa Rokiah la.." jawab Rahmat, segan.
"Kenapa nak jumpa Kiah malam-malam buta ni? Tak boleh ke jumpa Kiah esok je kat sekolah?" tanya Rokiah lagi, yang masih bingung dengan tujuan Rahmat berjumpa denganya pada waktu malam, dengan cara begitu.
"Tak boleh jumpa kat sekolah.. Nanti malulah Rahmat.." jawab Rahmat beralasan.
"Malu? Kenapa nak malu pulak? Jumpa je lah macam biasa.. Biasa tu jumpa tak malu pun?" jawab Rokiah lagi.
Entah mengapa, Rahmat merasakan yang Rokiah banyak bercakap malam ini. Selalunya sepatah ditanya, sepatah dijawab. Kalau dua patah ditanya, maka dua patah lah dijawab, dan seterusnya. Tapi Rahmat tak kisah, malah Rahmat mengharapkan Rokiah bercakap dengan lebih banyak lagi. Bagi Rahmat suara Rokiah sungguh merdu, kalah Wardina dalam siri Sepana Jaya.
"Err... Sebenarnya... Rahmat nak cakap sesuatu kat Rokiah ni.." terang Rahmat dengan suara yang tersangkut-sangkut.
"Apa dia?" tanya Rokiah simple, tapi tajam soalan tu.
Kerana bagi Rahmat nak menjawab soalan tu amat payah! Lagi payah dari soalan mengapa JWW Birch dibunuh, yang ada pada kertas soalan Sejarah.
"Err.. Sebab Rahmat... Rahmat... Aaa..." jawab Rahmat terketar-ketar.
"Rahmat apa?" tanya Rokiah sedikit mendesak, membuatkan Rahmat melatah dengan kuat:
"Rahmat suka Rokiah!"
Rahmat menutup mulut! Rokiah terbeliak biji mata. Dan diikuti dengan suara Mak Siti:
"Kiah! Suara siapa tu?!".
"Suara Halim Othman mak! Kat radio ni!" jawab Rokiah spontan.
Rokiah memandang Rahmat, Rahmat pun memandang Rokiah. Lalu terus Rokiah menutup tingkap, meninggalkan Rahmat terpinga-pinga di luar.
"Rokiah, sekurang-kurangnya bagi lah jawapan.." Rahmat merayu.
Namun Rokiah masih membisu di bilik. Lama Rahmat menunggu di luar untuk mendapatkan jawapan. Tapi harapan Rahmat hampa setelah Rokiah menutup lampu bilik. Maka pulang lah Rahmat dengan jawapan yang tak pasti.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..