"Hareeey betoi! Awat lah depa tak habaq kat aku! Buat aku seriau ja.."
Peluh jantan di dahi Pak Lang masih belum hilang. Perasaan terkejut tambah takut apabila melihat Rahmat - orang yang tak dikenalinya - terbaring di atas katil salah seorang rakan serumahnya, membuatkan dia benar-benar tak cukup nafas. Nasib baik Rahmat cepat sedar dari tidur, dan segera menjelaskan perkara sebenar.
Air Milo panas yang dibancuh oleh Rahmat tadi - untuk meredakan Pak Lang - habis dihirup Pak Lang dengan satu nafas. Terbeliak mata Rahmat melihat kerakusan Pak Lang menghirup air itu, walaupun panas berasap.
"Lidah biawak ke apa mamat ni? Kan panas tu!" bisik hati Rahmat.
"Sapa tah nama hang tadi? Samad? Namad?"
Tanya Pak Lang, sambil mengesat air milo yang meleleh di hujung bibirnya.
"Rahmat. Err.. Johnny tak bagitahu abang ke yang saya nak masuk sini?"
"Entahlah.. Rasanya ada kut.. Aku lupa! Banyak makan semut aku ni.. Memori pun jadi macam ikan emaih!"
Kata Pak Lang dengan loghat Utara yang diubah sedikit menjadi lebih 'KL', supaya sesuai dengan keadaan dan persekitaran.
"Haha.. Abang ni siapa nama?"
Sejak dari tadi, baru sempat Rahmat bertanyakan nama Pak Lang. Itu pun selepas peluh di dahi Pak Lang sudah hampir tersejat sepenuhnya.
"Nama aku Rohimi Bin Nasir, tapi kawan-kawan panggil aku Pak Lang.. Umoq 31 tahun, asai Kulim, Kedah. Berkerja sebagai penjuai seluaq jeans di Uptown Danau Kota.. Masih bujang.."
Jawab Pak Lang, persis seorang peserta ujibakat AF ketika diminta untuk memperkenalkan diri.
"Wah.. Complete betul pengenalan diri abang.. Tak payah saya tanya banyak soalan.."
"Haa.. Sebab tu la aku bagi jawapan complete.. Malaih aku nak jawab banyak-banyak.. Kalau boleh, aku nak bagi hang kad aku ja.. Lagi senang.. Tak payah pun bukak mulut.." jawab Pak Lang sambil berjenaka kering.
Rahmat ketawa kecil. Baginya, perwatakan Pak Lang jauh berbeza dengan Sarip. Tidak seperti Sarip yang suka marah-marah, Pak Lang dilihat lebih ceria dan kelakar. Lebih 'masuk kepala' atau 'masuk air' bak kata budak-budak zaman sekarang.
"Oh ya! Janganlah panggil aku abang.. Geli pulak dengar.. Selalunya awek-awek ja yang panggil aku abang.. Panggil aku Pak Lang ja.."
"Err.. Ok Pak Lang.. Takpe Pak Lang.. Cawan tu letak situ je.. Nanti saya basuh.."
Ujar Rahmat, setelah melihat Pak Lang bangun dari duduknya.
"Eh? Aku memang nak suruh hang basuh pun! Hahaha!"
Ketawa Pak Lang sambil masuk ke biliknya. Rahmat hanya mampu tersenyum. Rahmat tak pasti sama ada Pak Lang hanya bergurau, atau memang ingin membuli dirinya.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..