Rokiah menjengah ke luar rumah. Kelihatan Rahmat sedang berdiri tegak sambil berswafoto di kaki tangga, di depan pintu rumah Rokiah. Sesekali Rahmat membuat isyarat tangan 'peace' dan mengembungkan pipinya.
"Ingat comel la tu?"
Rahmat dikejutkan dengan suara Rokiah. Sedikit sahaja lagi dia membaling telefonnya ke arah Rokiah kerana terkejut. Walaupun sudah 6 tahun menghilangkan diri, walaupun sudah banyak perubahan rupa luaran Rahmat; namun penyakit melatahnya masih lagi wujud dalam diri.
"Hish! Awak ni! Terkejut saya! Nasib baik saya tak berzapin dekat sini.."
"Hehe.. Sorry.."
"Ila dah sampai ke?"
"Dah.. Baru je sampai. Tak sampai 10 minit. Awak tak dengar ke bunyi motor dia tadi?"
Baru Rahmat teringat. Sebelum dia hendak ke rumah Rokiah, dia ada mendengar satu bunyi yang kuat, memecah kesunyian malam. Sangka Rahmat, itu adalah bunyi jet pejuang tentera yang sedang melakukan latihan penerbangan di malam hari. Rupanya baru kini Rahmat sedar, itu adalah bunyi ekzos motor Ila Rambo. Kena dengan tuannya, dua-dua bising.
"Eh? Masuklah. Kenapa tercegat lagi dekat situ?"
Pelawa Rokiah setelah melihat Rahmat seakan-akan terpinga, tercegat di depannya. Dalam fikiran Rahmat, dia sedang ligat menyusun ayat yang mungkin akan diluahkan jika berhadapan dengan Mak Siti. Masa ini, Rokiah mungkin sudah boleh menerima Rahmat kembali, tetapi tidak Mak Siti. Mak Siti tidak tahu cerita Rahmat. Mak Siti benci Rahmat, sama seperti ketika dia mula-mula kenal Rahmat. Adakah Mak Siti akan membenarkan Rahmat masuk ke dalam rumah, apatah lagi hendak mempelawa dia makan? Semua ini sedang berpusing-pusing dalam kepala Rahmat.
"Er.. Mak Kiah mana?"
"Mak ada dekat dapur tu. Tengah kemas-kemas.."
Rahmat memberanikan diri melangkah masuk. Kepalanya terus dipalingkan ke arah dapur. Benar, Mak Siti ada di dapur. Walaupun Rahmat tidak dapat melihat Mak Siti - dek kerana dilindung dinding kayu yang memisahkan antara ruang tamu dan dapur itu - namun Rahmat tahu Mak Siti ada di dapur kerana bunyi orang membasuh pinggan mangkuk yang kedengaran di dapur. Tak kan kucing basuh pinggan pula kan? Lagipun, Mak Siti tidak membela kucing.
"Wah.. Macam sedap je?"
Kini, fikiran Rahmat sudah beralih dari Mak Siti, kepada lauk-pauk yang terhidang di depan matanya. Dengan asap panas yang keluar dari hidangan itu, ditambah dengan aroma yang sungguh menyelerakan, membuatkan perut Rahmat kini berantakan. Meminta-minta untuk disuap dengan makanan. Beberapa kali juga kelihatan Rahmat meneguk air liurnya sendiri.
"Awak masak ke?"
Tanya Rahmat kepada Rokiah.
"Tak! Aku masak!"
Pertanyaan Rahmat disampuk oleh Ila Rambo, yang sedang duduk bersebelahan dengan Rahmat.
"Wah kau! Punyalah excited nak rasa makanan Rokiah, sampai aku pun kau tak tegur? Aku duduk sebelah kau je ni kot!"
"Eh? Ada orang rupanya.. Haha! Aku ingatkan botol kicap tadi."
"Kurang ajar kau monyet! Kau kata aku botol kicap?! Aku punyalah ayu malam ni, kau kata aku botol kicap?"
"Ayu? Kalau tahap macam ni la ayu, aku rasa ramai perempuan dalam dunia ni boleh dikategorikan sebagai ayu.."
"Haha! Kurang ajar! Nasib baik kelakar. Tak jadi aku nak marah! Hahaha!"
Rokiah senyum. Rokiah fikirkan, akan meletus lagi pertelingkahan antara mereka berdua. Tapi ternyata Rokiah tersilap. Mereka hanya bergurau. Dan sebenarnya, sudah lama Rokiah tidak melihat Ila bergurau kasar seperti itu lagi. Iyalah, kebanyakkan rakannya adalah perempuan, termasuk Rokiah. Mana boleh dia bergurau kasar seperti itu. Silap hari bulan, boleh tidak bertegur selama tujuh generasi. Berdendam sampai ke sudah kerana terasa hati. Perempuan, biasalah: Nak kawan senang, nak gaduh pun senang.
"Hehe. Korang ni.. Ada-ada saja lah."
"Ni tunggu apa lagi Kiah? Aku dah lapar dah ni. Rahmat pun dah sampai dah ni."
Ila Rambo melontarkan kata-kata, yang mana jelas tergambar tiada kesabaran dan gelojoh di dalam susunan ayatnya.
"Oh ya! Kejap ye?"
Balas Rokiah.
"Mak! Ooo Mak! Jom makan sekali."
Rahmat terbeliak. Dilihatnya bayang-bayang yang semakin menghampiri kepada langsir yang memisahkan antara dapur, dan ruang tamu rumah tersebut - di mana tempat meja makan itu terletak.
"Mampus! Dia panggil mak dia pulak!"
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..