"Ila! Hahaha.. Bila balik?"
Tanya Rokiah kegembiraan. Kelibat rakan karibnya yang sudah lama tidak berjumpa membuatkan Rokiah lupa seketika akan Rahmat.
"Baru je ni.. Baju pun tak sempat tukar lagi.. Aku balik rumah, letak beg, terus je capai kunci motor, datang sini.."
Jelas Ila Rambo sambil menunjukkan baju kurung berwarna kuning yang dipakainya.
Rokiah memandang Ila atas bawah, hairan melihat Ila berbaju kurung. Jika diikutkan, koleksi baju di rumah Ila Rambo hanya ada sepasang dua sahaja baju kurung. Itu pun baju kurung yang dipakai ketika hari raya, yang diulang-ulang pakai setiap tahun selama 5 tahun berturut-turut. "Rimas" katanya jika pakai baju kurung. Ila lebih selesa mengenakan kemeja T atau pakaian kasual yang lain. Pakaian yang bercirikan feminin langsung tidak digemari oleh Ila Rambo.
"Yang kau tengok aku atas bawah ni kenapa? Tak pernah tengok awek cantik ke?" ujar Ila, membuatkan Rokiah tergelak.
"Memang cantik.. Cantik sangat Ila pakai baju kurung.. Sweet!"
Rokiah memuji Ila. Merah padam pipi Ila Rambo apabila dipuji oleh Rokiah.
"Nak jadi cikgu kena lah berbaju kurung.. Barulah nampak cerdik.. Hehe.."
Ila berseloroh. Rokiah tergelak lagi.
Sudah lama Rokiah tidak merasa segembira itu. Kehadiran sahabat lamanya benar-benar membuatkan dia kembali bahagia. Tidak sampai 5 minit bertemu Ila Rambo, Rokiah sudah tergelak besar. Kalau 50 minit, mungkin Rokiah boleh meninggal dunia akibat gelak terlalu banyak. Bagi Rokiah, Ila Rambo sudah boleh menggantikan kumpulan Senario kerana terlalu kelakar.
"Eh? Aku datang ni kau tak nak pelawa masuk ke? Panas jugak kat luar ni.. Kalau jemur kain pun sedap jugak ni.."
Ila memerli. Dengan pantas Rokiah menarik tangan Ila, mangajaknya masuk ke dalam rumah. Terkekeh-kekeh Ila melihat gelagat Rokiah.
Belum sempat Rokiah dan Ila masuk ke dalam rumah, tiba-tiba kelibat kereta BMW putih lalu dihadapan rumah Rokiah, seterusnya masuk ke perkarangan rumah Mak Som. Mata Ila tertangkap akan kelibat kereta putih itu, yang mana pemandunya cukup Rokiah tahu. Tiba-tiba Rokiah menjadi cuak. Cuak jika Ila tahu siapa yang membawa kereta itu.
"Wah.. Mak Som beli kereta baru ke? Haha.. Siapa tu Kiah?"
Tanya Ila, seraya memandang wajah Rokiah.
Rokiah teragak-agak untuk menjawab. Melihat reaksi Rokiah, Ila mula pelik. Ila kelihatan takut, dan seperti tidak mahu menjawab soalan Ila itu tadi.
"Siapa tu Kiah?"
Tanya Ila sekali lagi, kali ini dengan nada sedikit serius.
Belum sempat Rokiah menjawab soalan Ila Rambo, pintu kereta BMW itu terbuka. Keluar seorang pemuda dari dalam kereta itu. Pemuda yang cukup Ila kenal. Cukup kenal dan benci. Ila melepaskan tangan Rokiah yang memegang tangannya. Mata Ila kini tertumpu ke arah pemuda itu. Pemuda yang membuatkan kehidupan Ila Rambo berubah. Pemuda yang membuatkan Azwan, kekasihnya, mati! Pemuda itu tak lain ialah Rahmat. Rahmat yang cukup didendam oleh Ila Rambo.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..