Tumpuan Rahmat terganggu. Tulisan di papan hitam tidak dihiraukan. Tangannya seakan terhenti dari menulis. Pandanganya sekejap di luar, sekejap ke kipas siling. Terdengar juga kadang-kadang Rahmat mengeluh keras. Sikap Rahmat sedikit sebanyak menganggu fikiran Azuan Tempeyek. Dia tidak tahan mendengar keluhan dari Rahmat, yang seakan-akan dibuat-buat untuk menarik perhatian.
"Kau ni dah kenapa Mat? Macam risau bebenor je?" tanya Azuan sambil menggaru-garu kepalanya, cuba untuk memahami sastera Melayu yang tertera di papan hitam.
"Hmm.. Itu lah.. Aku ada problem ni.." jawab Rahmat.
"Problem apa? Kau lupa bawak duit lagi ke?" tanya Azuan untuk mendapatkan kepastian akan masalah Rahmat itu.
Azuan ingat lagi akan peristiwa Rahmat mengatakan bahawa dia 'terlupa' membawa wang saku. Kerana kasihan, Azuan membelanja Rahmat makan di waktu rehat, tanpa menyedari bahawa itu sebenarnya adalah taktik Rahmat untuk meminta Azuan membelanjanya. Dan pada hari itu juga Azuan telah berjaya di'pow' oleh Rahmat sebanyak RM5.
"Bukan.. Ni masalah aku dengan Rokiah.. Masalah besar ni.." terang Rahmat, sambil menggigit-gigit hujung pen, memikirkan tentang permasalahan yang dihadapinya.
"Kenapa dengan Rokiah? Kau dah buat dia mengandung ke? Kau biar betul Rahmat?!" Azuan membuat spekulasi liar.
Begitu liar sehingga memaksa Rahmat memberikan Azuan Tempeyek hadiah berbentuk hentakan kepala di meja. Berdentum bunyi hentakan itu, membuatkan Cikgu Samsiah hampir-hampir pengsan kerana terlampau terkejut.
"Bunyi apa tu?!" tanya Cikgu Samsiah yang tercungap-cungap, masih lagi dalam keadaan terperanjat.
"Azuan ni cikgu.. Dia tertidur, sampai kepala dia terhantuk dekat meja.." jawab Rahmat tenang, seperti tiada apa yang berlaku.
Azuan Tempeyek hanya mengiakan kenyataan Rahmat, tidak mahu dia untuk menafikannya. Takut akan dihantuk sekali lagi.
"Azuan! Pergi basuh muka kamu! Dalam kelas pun nak tidur.. Lekas!" pekik Cikgu Samsiah.
Tergesa-gesa Azuan bangun. Bukan kerana dia takut akan Cikgu Samsiah, tetapi ini lah peluangnya untuk lari dari Rahmat, walaupun hanya sekejap. Dia mahu Rahmat 'sejuk' dahulu.
5 minit berlalu, akhirnya Azuan pulang semula ke kelas. Ditenungnya Rahmat dalam-dalam sebelum duduk. Takut-takut kalau marah Rahmat masih belum reda. Setelah mendapati Rahmat sudah kembali normal, barulah Azuan yakin untuk duduk.
"Jadi, apa masalah kau dengan Rokiah?" Azuan Tempeyek mengumpul kekuatan untuk bertanya lagi.
Walaupun takut, dia tetap mahu tahu perkara sebenar. Sikap ingin tahunya mengalahkan seekor kucing. Malah, hampir kesemua sikap-sikap kucing ada pada Azuan. Suka makan ikan, suka tidur, dan suka membau makanan dahulu sebelum makan.
"Mak Rokiah.. Dia tak suka aku couple dengan Rokiah.." jawab Rahmat.
"Aik? Macam mana mak dia tahu kau orang couple? Siapa bagitahu?" tanya Azuan lagi.
"Itu lah... Aku pun tak tahu siapa yang bagitahu.. Hmm.. Mesti ada dalang di sebalik kejadian ini.." jawab Rahmat sambil mengusap-usap dagunya, seakan-akan watak seorang penghulu kampung. Sehingga saat itu, Rahmat masih tidak mengetahui siapakah yang membocorkan rahsia mereka.
.......................
Rahmat menunggu Rokiah di bawah pokok. Kali ini awal sedikit dari hari biasa. Rahmat ditemani oleh Azuan Tempeyek. Sebagai sahabat sejati, Azuan merasakan dirinya berhak untuk mengetahui pucuk pangkal cerita perhubungan rakan karibnya. Dari jauh kelihatan Rokiah berjalan mendekati mereka, ditemani oleh Ila Rambo.
"Eh? Wan pun ada? Kenapa Wan datang?" tanya Ila Rambo manja.
"Saja.. Hari ni aku nak makan dengan kau orang.. Boleh kan?" jawab Azuan, cuba berdalih.
"Boleh.. Apa salahnya.. Meh sini duduk dengan aku.. Jangan dikacau dua orang tu.."
Ila cuba untuk memberi ruang kepada Rokiah dan Rahmat untuk berbual. Tetapi jauh di sudut hatinya, dia memang teringinkan Azuan Tempeyek untuk duduk bersebelahan dengannya. Azuan Tempeyek hanya mengiakan permintaan Ila Rambo tanpa mengesyaki apa-apa. Merah padam muka Ila Rambo apabila Azuan duduk disebelahnya. Ditampar tangannya supaya tidak menggigil apabila memegang sudu, dek kerana terlalu gembira bercampur malu.
Rokiah hanya memandang bekal nasi goreng sotong yang dibawanya. Rahmat juga begitu, sekadar memandang mi goreng bungkus yang dibelinya tadi di kantin. Kedua mereka senyap tak berkata.
"Betul ke mak Rokiah tak bagi kita jumpa lagi?" Akhirnya Rahmat membuka bicara.
Dan serentak dengan itu juga Ila Rambo dan Azuan Tempeyek memasang telinga. Rokiah mengangguk. Tidak dapat dia menerima hakikat yang perhubungan mereka dihalang oleh ibunya.
"Malam tu, Rahmat datang dekat bilik Kiah, kenapa Kiah tak buka tingkap?" tanya Rahmat tentang kejadian pada hari Rokiah dipukul oleh ibunya.
"Mak marah.. Mak tak bagi Rokiah dengar radio malam tu.. Mak suruh Rokiah tidur awal.. Lagipun Rokiah tak mahu Rahmat tengok Rokiah menangis.." jawab Rokiah, diikuti dengan airmata.
Sungguh cepat hati Rokiah tersentuh. Mungkin ini lah yang dinamakan hati tisu. Sangat lembut.
"Dah.. Jangan menangis.. Kita tak boleh jumpa dekat rumah, tapi kita kan boleh jumpa dekat sekolah. Tengok ni, boleh je kita duduk sama.." ujar Rahmat sambil tersenyum.
Rahmat cuba untuk memujuk Rokiah. Dia tidak mahu Rokiah rasa tertekan dengan keputusan ibunya yang melarang mereka berdua berjumpa. Setelah mendengar kata-kata dari Rahmat, barulah Rokiah mampu tersenyum.
"Betul jugak kan? Kita masih boleh jumpa lagi dekat sekolah.. Buat apa nak risau.." Rokiah tersenyum memandang Rahmat, sambil dia mengesat air matanya.
Rahmat membalas senyuman Rokiah. Sementara Ila Rambo tidak henti memandang Azuan Tempeyek, yang masih lagi tidak perasan dia diperhatikan oleh Ila.
"Kiah!"
Tiba-tiba mereka dikejutkan oleh satu suara, suara lelaki. Dan Azuan pula dikejutkan oleh wajah Ila Rambo yang begitu rapat dengan mukanya. Rokiah mencari dari mana datangnya suara yang memanggil namanya. Kelihatan dari jauh seorang lelaki sedang menghampiri tempat mereka berehat. Dari pengamatan Rahmat, dia tahu lelaki itu ialah seorang pelajar tingkatan 6 di sekolah itu, berdasarkan dari pakaiannya yang berbaju putih dan berseluar putih. Namun tidaklah pula dia mengenali lelaki itu, kerana Rahmat memang tidak berapa rapat dengan pelajar tingkatan 6 di sekolah itu. Tetapi bukan bagi Rokiah. Rokiah cukup kenal akan lelaki itu. Dia merupakan saudara jauh sebelah bapanya yang kebetulan sama sekolah dengannya.
"Abang Rizal..."
Rokiah menyebut nama lelaki itu. Membuatkan Rahmat terkejut. Terkejut kerana Rokiah mengenali lelaki itu.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..