Rahmat sengaja menghempas pinggan yang dibasuhnya. Sakit hatinya tidak dapat dibendung lagi. Span basuh pinggan lumat dikerjakannya. Kelakuan Rahmat itu disedari oleh Azuan. Namun sengaja Azuan buat tidak endah. Azuan sendiri dapat merasakan apa yang Rahmat rasa. Azuan sendiri rasa sakit hati. Tetapi tidaklah pula dia menunjukkannya, tidak seperti Rahmat. Perasaan geram yang tidak dapat lagi dibendung. Lagi bertambah parah apabila dia ternampak kelibat Yem Semput.
"Jangan lupa lepas ni cuci ayam pulak ye? Aku nak dating kejap.. Hehe.."
Sengaja Yem Semput berkata demikian apabila lalu melepasi Rahmat dan Azuan yang sedang membasuh pinggan. Rahmat hanya menurut kata-kata Yem Semput. Tidak dapat Rahmat menolak permintaan Yem kerana itu adalah sebahagian dari pertaruhan di antara dia dan Yem Semput. Ya, perjanjian yang dibuat oleh Rahmat, Azuan, dan Yem Semput empat hari lepas. Di mana Rahmat dan Azuan Tempeyek berjanji akan membuat separuh dari kerja Yem Semput jika dia berjaya mengorat Kartini. Dan kini, Rahmat dan Azuan kalah. Kalah kerana Yem Semput telah berjaya! Yem Semput berjaya mengorat Kartini, dalam masa hanya empat hari!
"Apa lah ilmu si Yem ni pakai ye? Kejap je dapat Kartini tu! Yang aku lagi pelik, Abang Wa macam takde apa-apa je.. Rilek je.. Macam tak marah.."
Azuan Tempeyek merasa ragu. Selalunya jikalau mana-mana lelaki yang cuba mengorat Kartini, pasti akan dimarahi oleh Abang Wa. Tidak kurang ada juga yang pernah di'crippler' oleh Abang Wa. Abang Wa menjaga Kartini bagai menatang minyak yang penuh. Kartini adalah satu-satunya ahli keluarga Abang Wa yang tinggal. Kedua ibu bapa mereka sudah lama tiada. Jadi Abang Wa amat mengambil berat akan kehidupan Kartini. Apa sahaja yang Kartini lakukan, Abang Wa berhak tahu. Membuatkan tidak ramai lelaki yang mahu mendekati Kartini.
"Itu lah yang aku pelik tu! Aku rasa Yem ni pakai 'mandrem' la.. Dia pakai ilmu guna-guna.. Tak pun dia pakai minyak dagu.."
Rahmat cuba membuat spekulasi liar. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia kalah dalam pertaruhan itu. Asalnya dia mahu mengenakan Yem Semput, tetapi lain pula jadinya. Dia pula yang terkena!
"Woi! Aku dengar lah korang mengumpat pasal aku.. Kalau ye pun nak mengumpat, tunggu lah aku jauh sikit.. Ni aku dekat sebelah pun kau orang nak mengumpat?"
Yem Semput mencelah, sambil mengeluarkan inhaler, untuk penyakit semputnya.
"Aku peliklah Yem, macam mana Abang Wa boleh tak marah dekat kau ha? Kalau orang lain jangan kata nak mengorat, nak bercakap dengan Kartini pun Abang Wa dah jeling semacam.. Ni kau siap mengorat.. Dapat pulak tu! Apa kau dah buat?"
Tanya Rahmat tanpa berdolak-dalik. Dia mahu tahu dari mulut Yem Semput sendiri apakah rahsia kejayaan Yem Semput dalam mengorat Kartini.
"Hahaha.. Aku sendiri pun tak percaya.. Aku mula-mula takut gak.. Tapi rupanya Abang Wa tak kisah pun kalau aku nak couple dengan Kartini.. Abang Wa kata kalau orang lain tak boleh.. Tapi kalau dengan aku tak apa.. Dia kata pasal aku anak Rahman.. Dia kata dia hormat bapak aku.. Jadi dia tak kisah pun kalau aku berkawan dengan Tini.. Hehe.."
Ulas Yem semput panjang lebar, membuatkan Rahmat dan Azuan ternganga. Mereka tidak menyangka, rupanya duit memainkan peranan besar di dalam percintaan. Jikalau tidak kerana bapak Yem Semput tauke kantin itu, sudah tentu Abang Wa tidak membenarkan perhubungan mereka. Dan sudah semestinya Yem Semput akan di'crippler' oleh Abang Wa, mengikut rancangan awal Rahmat dan Azuan.
"Mana boleh macam tu! Tak aci la pakai kabel! Ini tak adil!"
Azuan menempik marah. Dihempasnya pinggan yang dibasuhnya ke dalam besen.
"Apa yang tak adil?"
Satu suara garau tiba-tiba muncul dari arah belakang Azuan. Azuan melihat Rahmat sudah menggigil lutut. Yem Semput pula sudah hilang entah kemana. Azuan merasakan satu musibah bakal melanda dirinya. Digagahi untuk menoleh. Ternyata sangkaan Azuan benar. Di belakangnya berdiri tegak Abang Wa dengan tangan di pinggang.
"Memang lah tak adil.. Tak adil la pinggan tu kena hempas, dia tak melawan.. Mari sini aku hempas kau pulak.."
Kata Abang Wa, diikuti dengan jeritan tragis dari Azuan. Rahmat hanya mampu melihat adegan menyayat hati di depan matanya, tanpa dapat berbuat apa-apa. Hanya linangan air mata yang dapat Rahmat berikan.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..