Azuan Tempeyek gelisah kebosanan. Hari minggu sebegitu memang membosankan baginya. Hari minggu adalah hari rehat bagi pekerja di kantin itu. Disebabkan motosikal sudah pun dibawa oleh bapa Azuan untuk ke kebun, jadi Azuan tidak dapat pergi kemana-mana. Hanya duduk di rumah sahaja. Siaran televisyen kerap bertukar, namun tiada satu pun yang dapat menarik minatnya. Air bergas sejuk yang terhidang di depannya hanya terusik sedikit. Sesekali dia menghalau kucingnya yang cuba mahu meminum airnya. Sekejap dipandangnya kaca televisyen, sekejap dipandangnya jam di dinding. Jam menunjukkan baru pukul 11 pagi. Namun bosannya tidak tertanggung lagi. Dia segera bangkit. Dicapainya telefon yang terletak di bucu rumah. Nombor didail. Bunyi nada dering telefon kedengaran. Agak lama juga Azuan menunggu. Akhirnya panggilannya dijawab seseorang.
"Hello.. Ya? Nak cakap dengan siapa?"
Sapa satu suara perempuan di hujung talian. Suara itu ialah suara Mak Som, kerana Azuan menelefon ke rumah Rahmat.
"Mak cik, Azuan ni... Rahmat ada?"
"Ooo.. Azuan.. Rahmat tak ada.. Dia pergi belajar hari ni.. Karang tengahari dia balik lah tu.."
"Oh! Lupa pulak! Rahmat ada cakap dengan saya hari tu.. Hehe.. Takpe lah mak cik.. Nanti tengahari saya telefon balik.."
Mungkin akibat terlalu banyak makan semut, Azuan telah terlupa yang Rahmat pernah mengatakan yang dia akan belajar memandu pada hari itu. Dan bercakap pasal semut, air bergas Azuan tadi sudah pun dihurung semut kerana terbiar begitu sahaja.
Namun Azuan tidak mengendahkan kehadiran semut itu. Dia mempunyai masalah yang lebih besar daripada semut, iaitu kebosanan yang melampau. Dia harus mencari satu aktiviti untuk mengisi masa terluangnya. Lalu dia terfikirkan sesuatu. Sesuatu yang selalu dia lakukan ketika malam. Segera dia mencapai semula telefon. Nombor didail. Laju dia menekan butang nombor itu. Dia menunggu panggilannya dijawab.
"Hello.. Siapa?"
Sapa satu suara perempuan. Kali ini dengan nada sedikit kasar.
"Awak.. Ni saya lah.. Amboi.. Kasar betul jawab telefon? Period ke? Hehehe"
Azuan bergurau. Ya! Orang yang dia telefon itu adalah Ila Rambo, kekasih hatinya.
"La.. Awak rupanya.. Mana ada period la! Main-main pulak dia.. Hihihi.. Mimpi apa awak telefon saya pagi-pagi ni? Selalu telefon malam je?"
"Alah.. Saje je.. Saya boring ni.. Rahmat takde.. Motor pun abah saya pakai.. Nak keluar pun tak boleh.. Tu yang telefon awak tu.. Hehe.. Awak buat apa ni? Tengok Dragon Ball ke?"
Azuan berseloroh. Dia tahu Ila memang meminati siri Dragon Ball. Ila juga terikut-ikut fesyen Dragon Ball ke sekolah apabila dia mengenakan stoking bergulung, yang mirip seperti stoking Pikor.
"Dragon Ball dah lama habis la.. Sekarang saya tengah mengemas rumah.. Rajin tak saya? Hikhikhik"
Ujar Ila manja, membuatkan Azuan tidak senang duduk.
"Wow! Rajinnya.. Rajin macam watak Haliza Misbun dalam drama Cerekarama semalam.. Awak tengok tak?"
"Tak! Tak minat Haliza Misbun.."
Jawab Ila Rambo ringkas.
"Pin! Pin!"
Tiba-tiba Azuan dikejutkan dengan bunyi hon motosikal. Sangkanya bapanya sudah pulang, jadi dia biarkan sahaja.
"Assalamualaikum!"
Suara seorang lelaki memberi salam. Azuan yakin itu bukan suara bapanya. Suara seperti seorang pemuda, sedangkan suara bapanya garau, iras Ramli Sarip.
"Wan! Tengok siapa datang tu!"
Pekik ibunya dari dapur, sedang memasak.
"Awak, kejap ya? Ada orang datang.. Kacau daun betul la!"
Kata Azuan kepada Ila. Berat rasanya dia hendak melepaskan ganggang telefon itu. Azuan menjenguk ke luar. Kelihatan seorang pemuda berkaca mata hitam, lengkap dengan pakaian seragam Pos Malaysia, sedang menunggu di laman rumahnya.
"Mohd Azuan bin Jalaludin?"
"Ya, saya.. Surat apa tu bang?"
Tanya Azuan sambil cuba menyarung seliparnya.
"Mana aku tau.. Aku kerja hantar surat, bukannya tulis surat.."
Jawab posmen itu dengan nada sedikit keras. Mungkin dia penat bercampur panas. Ditambah pula diajukan soalan kurang ilmiah dari Azuan, membuatkan abang posmen itu sedikit panas hati.
"Eleh.. Orang tanya je.. Jangan la emo.."
Azuan membalas. Dia mengambil pen yang dihulurkan oleh posmen itu dan menandatangani borang yang dihulurkan bersama pen itu.
Azuan menerima surat dari posmen itu. Dia melihat cop yang tertera di sebelah atas kiri surat itu. Tertera logo Jabatan Latihan Khidmat Negara. Azuan tercengang. Dia seakan sudah tahu apa isi kandungan surat itu, walaupun tanpa membukanya.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..