Rahmat masih teringat, ketika kali pertama dia dibawa oleh Johnny ke rumah sewanya di sebuah pangsapuri kos rendah, di tangah bandaraya Kuala Lumpur. Sebuah pangsapuri yang kotor dan buruk, bercampur penduduknya yang berbilang kaum, berbilang bangsa, dan juga berbilang negara. Jika bentuk bangunan itu sedikit canggih, ianya mirip seperti sebuah lapangan terbang yang mana ramai warga asing yang memenuhi ruang.
"Haa.. Ini lah rumah aku.. Alah.. Kerja kilang je Mat.. Mana mampu duduk rumah besar.. Rumah flat pun dah kira ok dah.. Asalkan berbumbung.. Tak kena hujan, tak kena panas.."
Ujar Johnny, sambil cuba memadankan kunci ke tombol pintu. Rahmat hanya tersenyum dan mengangguk. Dia sedar, dia tidak boleh cerewet. Ini jalan hidup yang dia pilih. Apa yang ada depan mata, dia sambar sahaja. Kehidupan selesa di kampung harus dilupakan. Tiada lagi sarapan pagi yang tersedia, tiada lagi duit saku dari bapanya, dan tiada lagi Dragon Ball setiap hujung minggu.
"Kau sorang je ke duduk kat rumah ni, Johnny?"
Tanya Rahmat, sambil melabuhkan punggungnya ke atas lantai, beralaskan tikar murah yang sudah pun koyak di hujungnya.
"Haish! Gila kau! Mampos aku nak bayar sewa kalau duduk sorang! Ade dua orang lagi yang sewa sekali.. Dia orang belum balik kerja lagi.. Nanti malam sikit dia orang balik lah.."
Rahmat mengangguk lagi. Dipandangnya sekeliling rumah sewa itu. Agak kecil ruang rumah itu kalau nak dibandingkan dengan rumahnya di kampung.
"Kau tengok apa tu?"
Sampuk Johnny, membuatkan Rahmat sedikit terperanjat.
"Takde lah.. Aku tengok rumah ni.. Boleh tahan besar jugak kan?"
Rahmat cuba mengambil hati. Walaupun apa yang dikatakan berlainan dari apa yang difikirkannya.
"Hehe.. Ni je yang mampu Mat.. Aku kalau bos, aku tak duduk kat sini.. Aku duduk kat kondo.. Mungkin masa tu aku couple dengan Siti Nurhaliza kot.."
Johnny cuba berseloroh. Rahmat tersenyum. Rahmat cukup masak dengan perangai Johnny. Tak habis-habis dengan berangan. Sebab itu juga Johnny digelar Johnny Jenin di kampung, diambil dari nama Mat Jenin yang kuat berangan. Dan juga dari tajuk lagu kumpulan XPDC, iaitu John Jenin.
"Eh? Aku tumpang rumah kau ni, kawan kau bagi ke? Aku takut nanti dihalaunya aku. Mampus aku!"
Rahmat sedikit cuak jika dirinya tidak diterima oleh rakan sewa Johnny. Jika dipaksa keluar, terpaksalah Rahmat merempat.
"Kau jangan risau lah.. Aku ada.. Lagipun, kita orang memang nak cari budak pun.. Tak boleh lah nak sewa bertiga je.. Cukup-cukup makan je kalau dapat gaji.. Kalau berempat, boleh lah kurang sikit sewanya.. Hehe.."
Sekali lagi Rahmat mengangguk, faham.
"Takpe Mat. Esok, kau ikut aku pergi kilang.. Kilang aku nak pakai orang.. Bahagian packing.. Aku rasa kau boleh apply.."
Rahmat mengangguk lagi. Di tempat asing sebegitu, dia hanya mampu menurut kata Johnny.
"Terima kasih la Johnny.. Kalau tak ada kau, aku tak tau apa aku nak buat kat KL ni.."
"Alah.. Relax lah.. Aku tau kau ada masalah.. Masa kau telefon aku hari tu, cerita pasal plan kau ni, aku terkejut jugak.. Aku tak sangka kau sanggup nak lari dari kampung.. Tapi aku tak boleh nak halang kau jugak, pasal aku dulu pun sama.. Hehe.."
Tiba-tiba Rahmat teringat kisah Johnny yang lari dari rumah, yang cukup terkenal di kampungnya. Apa yang Rahmat tahu, dari mulut ke mulut, Johnny di dapati bersalah kerana mencuri ayam serama Pak Hamid Geletar, sehingga menyebabkan Pak Hamid mengamuk satu kampung. Dek kerana terlampau takut dengan Pak Hamid, yang saban hari makin menggila, Johnny mengambil keputusan untuk lari dari kampung. Dan sejak dari itu Johnny tidak berani menjejakkan kaki ke kampung.
"Tapi aku pelik lah.. Mana kau dapat nombor telefon aku?"
"Aku mintak dekat ex kau, Markonah.."
"Ooo.. Hmm.. Apa cerita Markonah sekarang? Dia sihat?"
Tanya Johnny, dengan penuh semangat.
"Sihat.. Bulan depan dia dah nak nikah.. Dengan Jasmani Harun, bomba tu.."
Tercengang Johnny. Kaku tidak bergerak. Dan Rahmat dapat melihat, ada titisan air yang mengalir di pipi Johnny. Rahmat tidak tahu kenapa dia boleh dengan selamba memberitahu Johnny bahawa Markonah akan bernikah bulan depan. Kini, Rahmat hanya mampu berpura-pura sakit perut dan meninggalkan Johnny kaku sendirian di ruang tamu.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..