Selepas 5 setengah keping roti dibedal, Rahmat bangun dari duduknya. Pak Jalil yang masih lagi melantak roti itu memandang Rahmat. Dia tahu Rahmat sudah mula gelisah. Dia tahu Rahmat sudah mahu untuk berjumpa dengan Rokiah. Pak Jalil memandang jam di hujung wad. Baru 7:30 pagi. Masih ada 1 setengah jam lagi untuk masa melawat yang dibenarkan. Banyak lagi masa untuk dia melengahkan Rahmat. Dia menarik tangan Rahmat, memaksanya untuk duduk. Roti yang masih dikunyah di mulut Pak Jalil segera ditelan, untuk dia memulakan bicara.
"Dah nak pergi dah ke? Tengok jam pukul berapa tu? Mana boleh masuk lagi.. Tunggu lah kejap.." kata Pak Jalil dengan air mata yang sedikit mengalir.
Pak Jalil bukanlah berasa sedih melihat Rahmat yang tidak tentu arah, tetapi Pak Jalil mengalir air matanya kerana dia menahan sakit akibat tercekik roti yang ditelan secara kelam-kabut tadi.
"Tak lah.. Mat nak pergi tandas.. Nak kencing.." jawab Rahmat selamba.
Pak Jalil hanya tertunduk malu kerana tersalah anggap. Segera dia melepaskan genggaman tangannya yang memegang tangan Rahmat. Rahmat pun kembali bangun, meninggalkan Pak Jalil keseorangan. Dan Pak Jalil pun kembali melakukan aktivitinya tadi, iaitu mencekik roti. Kini sudah masuk yang ke 9 keping.
..............
Pukul 9:10 pagi. Rahmat berjalan dengan pantas menuju ke wad ICU, untuk melawat Rokiah. Terkengkang-kengkang Pak Jalil cuba mengejar Rahmat. Sudahlah lututnya sakit akibat duduk terlalu lama, kini dia terpaksa berlari anak pula mengejar anaknya. Dengan sedaya upaya dia cuba merapati jarak antara dia dengan anaknya, sambil menghulurkan tangannya untuk menggapai Rahmat, supaya Rahmat memperlahankan langkahnya. Gaya mereka kini tidak ubah seperti peserta acara larian 4 x 100 ketika ingin menghulurkan baton.
"Slow sikit Mat.. Sakit lutut abah ni.."
Pak Jalil merayu kepada Rahmat. Tidak tertanggung lagi rasanya dia menahan sakit di lutut kirinya. Sudahlah dipaksa Rahmat untuk menggunakan tangga. Kata Rahmat, menggunakan tangga adalah lebih cepat berbanding menggunakan lif.
Rahmat memperlahankan langkahnya. Kasihan dia melihat bapanya itu. Walaupun di dalam hati dia ingin cepat sampai ke destinasi yang dituju. Rasa menyesal pula dia memaksa bapanya untuk mengikutnya sekali memanjat tangga. Lagipun Rahmat sendiri belum sembuh sepenuhnya. Setelah dia memperlahankan langkah, baru dia terasa sakit semula di rusuk kirinya. Namun demi Rokiah, dia sanggup menahan sakit.
Sebaik sahaja Rahmat dan Pak Jalil tiba di ruang besar di tingkat itu, di depan pintu lif, beberapa meter sebelum mereka sampai ke wad ICU, tiba-tiba pintu lif terbuka. Dari dalam lif, keluar dua susuk tubuh yang Rahmat cukup kenal. Terkejut Rahmat melihat dua orang yang keluar itu. Begitu juga kedua orang itu. Mereka ialah ibu kepada Rokiah, iaitu Mak Siti, dan ditemani oleh Rizal, lelaki yang pernah bergaduh dengan Rahmat di sekolah dulu kerana Rokiah.
"Kau?! Apa kau buat kat sini?!" tanya Rizal dengan wajah bengis.
Rizal cukup marah dengan Rahmat. Kerana Rahmat, gadis idamannya, Rokiah kini terlantar koma di ICU.
Rizal menyalahkan Rahmat sepenuhnya. Dendam Rizal kepada Rahmat semakin menebal. Kini Rizal tidak tertahan lagi apabila dia melihat Rahmat di depannya. Dengan pantas, Rizal mendapatkan Rahmat. Tangan kirinya menarik kolar baju hospital Rahmat, manakala tangan kanannya sudah bersedia dalam posisi ingin menumbuk. Rizal menggenggam penumbuknya. Rahmat tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaannya sekarang. Sakit di rusuknya masih terasa. Rentapan dari Rizal membuatkan sakitnya meruap. Kini Rahmat hanya mampu menadah muka. Menanti sahaja apa yang bakal sampai kepadanya.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..