"Woii!!"
Ila menjerit. Terperanjat Rokiah yang berada di sebelah. Mak Siti yang sedang menjahit di dalam rumah turut melatah akibat terkejut. Suara jeritan Ila Rambo menggegarkan kawasan kejiranan itu. Begitu kuat suaranya sehinggakan ayam itik semua bertempiaran lari. Lebih kuat dari bunyi mercun bola.
Rahmat yang baru keluar dari kereta hampir-hampir tergelincir jatuh akibat terkejut. Ditambah pula Rahmat mempunyai tabiat melatah. Menggelupur Rahmat di situ. Segera dia mencari punca suara itu. Dia memandang ke rumah Rokiah. Kelihatan Ila Rambo sedang berjalan menuju ke arahnya, dengan berwajah bengis.
"Woi monyet! Apa kau buat kat sini?!"
Tanya Ila Rambo dengan nada yang agak keras, membuatkan Rahmat berasa takut. Sudah lama dia tidak melihat perempuan garang seperti itu. Kali terakhir dia melihat perempuan garang adalah ketika dia menyaksikan sebuah kemalangan kecil jalan raya, di mana si perempuan itu membaling seliparnya ke arah orang yang dimarahinya itu.
"Apa aku buat kat sini? Ni rumah aku.. Memang lah aku ada kat sini.."
Rahmat menjawab mengikut logik akalnya.
Menyirap darah Ila apabila mendengar jawapan dari Rahmat. Sudahlah dendam dengan Rahmat belum terbalas, dengan selamba sahaja Rahmat menjawab dengan loyar buruk. Lagi bertambah marak api kemarahan Ila Rambo. Dengan pantas, dia menghayunkan penumbuk ke arah Rahmat. Tetapi disebabkan reflek Rahmat yang pantas, sempat Rahmat mengelak. Ila hanya sempat menumbuk angin.
"Kenapa kau elak?!!"
"Bangang ke apa tak nak elak?!"
Jawab Rahmat, membuatkan Ila Rambo bertambah marah.
Sekali lagi Ila menghayun penumbuknya, kali ini menggunakan tangan kiri. Tetapi, sekali lagi dia gagal. Rahmat sempat menahan penumbuk Ila. Dan dengan pantas, Rahmat memulas dan mengunci tangan Ila ke belakang. Ila berteriak kesakitan. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri.
"Kau ni dah kenapa?! Tiba-tiba datang serang aku?! Bagi salam pun tak!"
"Aku benci kau! Kau jahat! Kau yang bunuh Wan!"
Rahmat tergamam. Tangan Rahmat yang memegang tangan Ila terlepas perlahan. Ila Rambo terus jatuh melutut. Ila menangis. Menangis mengenangkan peristiwa lalu. Peristiwa di mana dia kehilangan orang yang tersayang.
Suasana menjadi tegang. Setegang tali ampaian yang terletak diantara rumah Mak Som dan rumah Mak Siti. Rokiah hanya mampu berdiri tegak, tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
"Kau ingat aku nak ke semua tu berlaku? Kau ingat aku sengaja ke?! Azuan tu kawan aku, tahu?! Aku kenal dia lagi lama dari kau kenal dia! Kau ingat, aku nak ke semua tu berlaku?! Hah?!"
Tersentak Ila Rambo mendengar pengakuan Rahmat. Rokiah yang sedang menghampiri turut tergamam.
"Aku tak sengaja.. Aku mengaku aku bersalah sebab cuai! Tapi aku memang tak sengaja.. Dan aku dah pun menyesal.. Sebab tu aku balik semula ke kampung ni.. Nak minta maaf dekat korang semua.. Minta maaf dengan kau.. Dengan Mak Nah.. Dengan Rokiah.. Aku tak sengaja.. Aku minta maaf.."
Tangisan Ila Rambo semakin kuat. Rokiah cuba menenangkan Ila. Tangan Ila dipaut, dan Rokiah cuba memapah Ila yang sudah tidak berdaya lagi. Rokiah memandang Rahmat dengan mata sayu. Jauh di sudut hatinya, dia sudah pun memaafkan Rahmat. Dia tahu penderitaan yang Rahmat lalui. Rokiah mahu semua ini berlalu dengan pantas.
"Baliklah Rahmat.. Biar Kiah jaga Ila.."
Pujuk Rokiah. Dia tidak mahu keadaan bertambah buruk jika Rahmat terus berada di situ. Dengan berat, Rahmat melangkah pulang.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..