Rizal meletakkan teddy bear besar di atas kerusi. Sesekali mata Rokiah memandang patung itu. Bila Rokiah perasan Rizal memandangnya, dia segera memalingkan mukanya ke luar jendela semula. Rizal tersenyum. Rizal tahu, Rokiah memang sukakan teddy bear. Sebab itu dia sanggup menghabiskan duit untuk membeli teddy bear itu. Semata-mata untuk menceriakan Rokiah.
Sudah sebulan Rokiah sedar dari koma. Dan selama itu jugalah dia banyak berdiam diri. Rokiah tidak sama seperti dahulu. Tidak periang seperti dahulu. Hal itu membuatkan Mak Siti menjadi risau. Pelbagai cara dia lakukan untuk membuatkan anaknya kembali ceria. Termasuklah membawa Rokiah berjalan-jalan melihat buaya di Taman Buaya di Melaka, membelanja Rokiah makan cendol, dan juga melanggan Astro di rumah. Namun usaha Mak Siti hanya sia-sia. Rokiah masih lagi murung. Hanya memandang ke luar jendela, saban hari.
Hal itu membuatkan Mak Siti terpaksa meminta bantuan Rizal. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Rizal pun cuba untuk membantu Mak Siti untuk mengembalikan semangat Rokiah. Rizal banyak meluangkan masa untuk Rokiah. Tanpa berputus asa Rizal terus memujuk Rokiah. Rizal juga sanggup mengupah rakannya untuk mengajarnya bermain gitar, semata-mata untuk menambat hati Rokiah. Malah, Rizal juga sanggup belajar menunggang 'scrambler', hanya kerana terpengaruh dengan cerita Azura lakonan Jamal Abdillah dan Fauziah Ahmad Daud, untuk mengambil hati Rokiah.
"Teddy bear ni untuk Rokiah ke?"
Rokiah bertanya. Rizal sedikit terkejut apabila Rokiah mula bersuara. Mak Siti yang dari tadi melihat rancangan memasak di TV turut sama terkejut, sehinggakan dia tertukar siaran di TV kepada siaran Tamil.
"Tak lah.. Untuk Mak Long.. Hehe.."
Rizal cuba bergurau. Walaupun itu adalah gurauan tipikal, tetapi Rizal tetap mencuba untuk membuatkan Rokiah tertawa.
Ternyata, usaha Rizal tidak sia-sia. Dan hari itu terbukti apabila Rokiah sudah menampakkan ciri-ciri positif apabila dia mula tersenyum. Mak Siti juga turut bergembira apabila Rokiah sudah mula berubah kembali kepada asal, kembali kepada Rokiah yang dahulu.
Semenjak hari itu, Rokiah dan Rizal selalu bersama. Rokiah seakan-akan sudah mula melupakan Rahmat. Dan kini nama Abang Rizal pula yang mengisi hati Rokiah. Mereka mula berkawan rapat. Dan dari kawan rapat, mereka mula berpacaran. Hubungan mereka juga direstui oleh Mak Siti. Bagi Mak Siti, Rizal lebih baik dari Rahmat. Malah, Rizal juga mempunyai kerja yang boleh menjamin masa depan Rokiah, iaitu supervisor di sebuah kilang tilam di pekan. Rokiah juga berasa senang apabila bersama dengan Rizal. Sehinggakan Rokiah telah melupakan terus nama Rahmat dari hati Rokiah.
...................
Hubungan Rizal dan Rokiah berkekalan selama 6 tahun. Dan selama 6 tahun itu jugalah Rokiah perasan ada perubahan pada diri Rizal. Rizal sudah mula tidak ambil peduli kepadanya. Seakan-akan Rizal menyembunyikan sesuatu daripada Rokiah. Rizal tidak semesra dahulu. Malah Rizal juga kelihatan cuba mengelak apabila Rokiah meminta Rizal untuk masuk meminangnya. Namun alasan yang Rizal berikan ialah 'tidak cukup duit'. Sedangkan Rokiah tahu Rizal ada menyimpan duit. Cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan, Rokiah hanya berdiam diri.
Namun setelah hubungan Rizal dan Nina Elfira, anak kepada Dato Syed Jabar, diketahui oleh Rokiah, segala-galanya mula terjawab. Dato Syed Jabar adalah pemilik kepada kilang tilam dimana Rizal bekerja. Kerana tertawan dengan kecantikan Nina yang tidak ubah seperti seorang model jamu pelansingan badan, hati Rizal mula berubah. Cintanya sudah beralih arah. Rokiah mula diketepikan. Dan akhirnya Rizal tekad untuk memutuskan hubungan dengan Rokiah. Hubungan yang dibina selama 6 tahun kini berkecai. Berkecai ibarat lampu belakang kereta yang disondol oleh kereta lain.
Hancur hati Rokiah apabila Abang Rizal yang disayanginya sanggup untuk memutuskan hubungan dengannya. Sudah dua kali cinta Rokiah menemui kesudahan yang menyedihkan. Hanya tangisan menjadi peneman Rokiah. Bertambah luka apabila Rizal sendiri yang menghantar kad jemputan perkahwinannya kepada Rokiah.
Setelah lama bersedih, Rokiah mulai sedar. Dia perlu kuat! Dia tidak boleh terus menangis. Dia harus buktikan kepada Rizal yang dia adalah seorang gadis yang kuat. Rokiah mengambil kata putus untuk menghadiri majlis perkahwinan Rizal. Dia sudah tekad! Dia tidak mahu bercinta lagi. Rizal adalah orang yang terakhir berada di hatinya. Tidak ada seorang pun yang boleh mencairkan hatinya lagi. Kali ini dia betul-betul tekad.
Namun, lain pula yang terjadi. Ketika dalam perjalanan ke rumah Rizal untuk menghadiri majlis perkahwinannya, Rokiah dan Mak Siti disapa oleh seseorang. Seseorang yang sudah begitu lama dia lupakan. Seseorang yang pernah menduduki hatinya suatu ketika dahulu. Seseorang yang pernah mewarnai hidupnya. Dan orang itu adalah Rahmat!
Rahmat, yang pernah dicintainya dahulu.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..