"Mak! Ooo mak! Ada orang datang ni.." jerit Rokiah sambil control ayu dengan tangan diletak ditepi mulut.
"Siapa?! Kalau Rahman datang cakap mak taknak beli karpet lagi! Hutang yang lepas pun baru habis bayar.." balas Mak Siti, cuba menjelaskan tentang Rahman si penjual karpet dari Parkistan yang selalu bertandang ke rumah mereka untuk menjual karpet yang diimport khas dari Parkistan.
Mak Siti ni pula jenis suka membeli, tapi tak suka pakai. Dibiarkan saja karpet-karpet yang dibelinya berhabuk di bawah katil, jadi sarang tikus. "Raya nanti kan boleh pakai, takkan nak pakai yang sama je tiap tahun" begitulah alasan beliau. Kadang-kadang Rokiah dah naik menyampah dengan perangai maknya yang suka membeli karpet. Sehinggakan ada ketika Rokiah pernah digelar 'Anak Raja Permaidani Siputar Alam' oleh rakan-rakan sekerja beliau.
"Bukan Rahman la mak.. Ni haa.. Abang Rizal datang.." jelas Rokiah gementar kerana masih menanti apakah berita yang hendak disampaikan oleh Rizal.
"Ha! Ada apa kau datang Rizal? Tak puas lagi kau sakitkan hati anak aku?" marah Mak Siti sambil memegang sudip di kedua belah tangan.
Dengan baju kurung kedah berwarna hijau dan berskaf hijau, gaya Mak Siti tak ubah seperti watak Raphael dalam siri animasi Teenage Mutant Ninja Turtle.
"Mak! Sudah la mak.. Jangan di marah Abang Rizal.." pujuk Rokiah sambil tangannya cuba merampas sudip yang dipegang oleh Mak Siti, tetapi gagal, kerana ketangkasan tangan Mak Siti cukup terkenal oleh orang-orang kampung. Beliau pernah memenangi pertandingan badminton wanita-wanita pencen anjuran kelab vespa tempatan. Sejak itu Mak Siti juga dipanggil Lee Chong Wei dua.
"Kau masih nak pertahankan dia Kiah?! Dia yang hancurkan hidup kau! Siang malam kau menangis.. Sampai aku nak tengok Running Man pun aku tak senang! Aku dah la minat Kang Gary! Dah kau asyik 'wuuu' 'wuuu' je camne aku nak fokus?! Ni semua kau punya pasal Rizal!" bentak Mak Siti.
Rizal yang tadi duduk sila panggung kini dalam keadaan berjaga-jaga dengan keadaan jari-jari kaki Rizal sudah mencengkam lantai papan rumah, bersedia untuk membuka langkah seribu.
"Mak! Enough mak!" jerit Rokiah dalam Bahasa Inggeris. Sepanjang persekolahan, itu sahaja ayat inggeris yang diingat oleh Rokiah, yang diajar oleh Puan Kanchana.
"Abang Rizal datang ni ada hajat.. Bagi can dia cakap apa hajat dia. Lepas tu mak nak jadi Ninja Turtle, terpulang lah pada mak!" terang Rokiah sedikit marah. Gayanya tak ubah seperti Abby Abadi di dalam Gerak Khas.
Melihat kepada sisi Abby Abadi Rokiah, Mak Siti terus tenang. Yelah, takut jugak kalau buatnya Rokiah pula yang mengamuk. Mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Mak anak sama je perangai.
"Apa kau nak?" tanya Mak Siti kepada Rizal. Rizal yang dari tadi mencengkam lantai rumah, kini kembali sila panggung.
"Saya ada hajat ni.. Saya datang ni nak bagi kad.." jelas Rizal sambil menghulurkan kad jemputan warna ungu kepada Rokiah.
Hati Rokiah kembali hancur. Tangannya menutup mulut, nafasnya kencang, air mata bercucuran. Di tangannya tersemat kad jemputan perkahwinan yang bertulis: "Walimatul urus Ahmad Rizal bin Wadiman dengan pasangannya Nina Elfira binti Dato Syed Jabar".
"Awak, maafkan saya.. Mungkin bukan jodoh kita untuk bersama.. Dia adalah pilihan saya.. Dia lebih serasi dengan saya.. Harap awak paham..." kata-kata Rizal sungguh menyentap hati Rokiah. Membuatkan dunia Rokiah gelap-gelita, walaupun pada hari yang cerah, dengan keadaan suhu 32 darjah celcius.
"Serasi wak lu!! Kau nak duit dia je kan?! Jantan mata duitan!" jerit Mak Siti sambil membaling sudip yang dipegangnya tadi, terkena sedikit rambut Rizal, membuatkan rambut Rizal yang tadi ada satu lorong kini menjadi dua lorong.
Kalau sasaran Mak Siti tadi ke bawah sedikit, sudah pasti Rizal boleh mengalami gegaran di otak kanan, seterusnya mengalami darah beku dalam otak. Tanpa melengahkan masa, Rizal terus melompat keluar rumah, dan terus menghidupkan enjin kereta.
Sebelum beredar, sempat lagi Rizal berpesan: "Tema kahwin kita orang nanti belah perempuan warna purple, belah lelaki warna putih! Jangan lupa ya?!" Berdesup Rizal meninggalkan perkarangan rumah Mak Siti, dan kali ni, tupai tadi benar-benar telah terlenyek.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
UmorismoRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..