Keadaan senyap sunyi. Sungguh senyap sehinggakan bunyi jam besar yang tergantung di dinding itu pun jelas kedengaran. Apatah lagi bunyi kipas yang berkeriut tatkala ia berpusing. Kedudukan meja Rahmat betul-betul di bawah kipas itu, membuatkan dia bertambah pening. Sudahlah dia pening memikirkan jawapan kepada soalan Bahasa Inggeris kertas satu itu, ditambah pula dengan bunyi kipas yang berbunyi dari tadi, membuatkan dia hampir hilang fokus. Segera dia mengangkat tangan memanggil Cikgu Rahim, yang mana ditugaskan untuk menjaga dewan peperiksaan itu.
"Hah! Kenapa Rahmat? Nak tanya cikgu jawapan ke? Hehe.."
Cikgu Rahim berseloroh. Walaupun pada dahulunya Cikgu Rahim cukup tidak menggemari Rahmat, tetapi semenjak kebelakangan ini, dia mula menyukai Rahmat. Sikap Rahmat yang mula menunjukkan minat terhadap pembelajaran di kelasnya membuatkan Cikgu Rahim kagum dengan semangat Rahmat. Jikalau Cikgu rahim mempunyai anak perempuan, sudah tentu dia memperjodohkan anaknya dengan Rahmat. Sungguh dia berkenan dengan Rahmat. Tetapi apakan daya, jangan katakan anak perempuan, bini pun Cikgu Rahim tiada. Sikapnya yang 'nervous' apabila berdepan dengan perempuan membuatkan dia terus membujang walaupun sudah mencecah 35 tahun. Pernah sekali Cikgu Rahim pengsan di sebuah pasaraya apabila seorang perempuan cantik menegurnya untuk bertanyakan arah. Dan dia juga hampir pengsan ketika Cikgu Seri menegur tali lehernya yang kelihatan bergaya, suatu ketika dahulu.
"Tak ada lah cikgu.. Saya nak mintak cikgu tutup kipas ni boleh? Bising lah.. Tak boleh nak fokus.." rungut Rahmat.
Cikgu Rahim hanya tersenyum lalu menuruti kemahuan Rahmat. Terdengar juga tarikan nafas lega dari beberapa pelajar lain, yang juga bersetuju dengan Rahmat supaya ditutup sahaja kipas tersebut. Mereka semua kelihatan bersungguh-sungguh menjawab soalan. Tidak mahu ada sebarang anasir-anasir yang dapat menganggu fokus mereka. Pelbagai ragam dapat dilihat di dalam dewan itu. Ada yang termenung seperti seorang pesakit alzheimer kerana tidak dapat menjawab soalan. Ada pula yang sangat yakin menjawab soalan, sehingga menambah kertas jawapan dari cikgu pengawas. Dan tidak kurang juga ada yang membuat dadu untuk menjawab soalan, walaupun pada kertas Bahasa Inggeris.
Hari ini sudah masuk hari yang kelima peperiksaan SPM bermula. Semua pelajar berusaha keras untuk mendapat keputusan yang cemerlang, termasuklah Rahmat dan Azuan Tempeyek. Setakat ini, tiada masalah bagi Rahmat dan Azuan untuk menjawab kertas-kertas soalan yang diduduki mereka. Ini semua adalah hasil dari kesungguhan mereka untuk mengulangkaji pelajaran. Rahmat menanamkan semangat untuk mendapat keputusan cemerlang kali ini. Dia tidak mahu lagi diperlekehkan. Wajah Rokiah terbayang di fikirannya ketika menjawab soalan. Ia umpama satu motivasi buat Rahmat. Selain itu, bayangan motor EX5 juga menjadi motivasi Rahmat. Rahmat dapat membayangkan dia sedang duduk di atas motor baru, sambil ditemani oleh Rokiah di belakang. Bayangan itu kerap muncul di benak fikiran Rahmat, di selang-seli dengan bayangan Pak Jalil menangis kerana duitnya sudah lebur digunakan untuk membeli motosikal baru.
Cikgu Rahim melihat pada jam di dinding, kemudian pada jam di tangannya, dan kemudian lagi pada jam di telefon bimbitnya. Tidak cukup dengan itu, dia bertanya juga masa yang ditunjukkan di jam tangan Jason Quah, seorang pelajar berbangsa cina dan juga merupakan atlet sekolah bagi acara lontar peluru, yang mana mejanya di baris hadapan sekali. Cikgu Rahim harus memastikan yang masa untuk menjawab sudah tamat. Takut juga jikalau dia memberhentikan peperiksaan, sedangkan masa belum lagi tamat. Takut nanti ada yang berdendam dengannya kelak. Setelah pasti masa sudah tamat, akhirnya dia memberhentikan peperiksaan. Kedengaran suara mengeluh dari beberapa orang pelajar. Barangkali masih belum habis menulis, atau memang sudah tabiat pelajar itu suka mengeluh.
Rahmat menyerahkan kertas soalan kepada Cikgu Rahim. Sempat Cikgu Rahim menjeling sedikit jawapan yang ditulis oleh Rahmat. Cikgu Rahim tersenyum. Kertas jawapan yang ditulis oleh Rahmat penuh! Tidak lagi kosong seperti sebelum ini. Walaupun ada kesalahan tatabahasa di sesetengah tempat, namun Cikgu Rahim berpuas hati dengan usaha yang ditunjukkan oleh Rahmat. Sebelum beredar melepasi Rahmat, sempat Cikgu Rahim menepuk bahu Rahmat. Apabila Rahmat menoleh ke arah Cikgu Rahim, Cikgu Rahim menunjukkan isyarat 'bagus' kepada Rahmat, sambil wajah Cikgu Rahim dilimpahi dengan cahaya matahari pagi yang menembusi tingkap dewan, menambahkan lagi efek dramatik. Hampir Rahmat menitiskan airmata. Cikgu Rahim yang selama ini mengherdiknya, menghinanya, kini berubah menjadi yakin kepadanya. Maka dengan itu, Rahmat semakin yakin yang dia mampu melakukannya, dan semakin jelaslah bayangan motosikal bermain di dalam kepala Rahmat.
Tinggal lagi dua kertas lagi untuk Rahmat duduki. Selepas itu, dia sudah merdeka! Merdeka dari bebanan yang ditanggung selama ini. Tidak ada lagi sekolah, tidak ada lagi peperiksaan, dan tidak ada lagi anjing-anjing yang mengejarnya ketika pulang ke rumah! Hanya dua lagi kertas yang memisahkan Rahmat dari 'syurga' sementaranya. Dia sudah membuat perancangan. Perancangan tentang masa depannya, jikalau dia mendapat keputusan yang cemerlang. Dia akan membuatkan keluarganya bangga akannya. Dan yang lebih penting lagi, dia akan menyakinkan Mak Siti, demi memiliki Rokiah. Itu adalah matlamat sebenarnya.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..