Rahmat terkejut! Hampir-hampir dia terduduk akibat terkejut melihat isi kandungan bungkusan hitam yang diselaknya tadi. Bukanlah hantu penanggal seperti apa yang digambarkan oleh Rahmat sebentar tadi, tetapi apa yang terkandung di dalam itu adalah sesuatu yang Rahmat tidak jangka. Sesuatu yang Rahmat tidak termimpi pun akan melihat ianya berada di depan mata.
"Ba.. Banyaknya duit!"
Ya! Apa yang terkandung di dalam bungkusan itu ialah sejumlah wang kertas yang digulung dan diikat dengan gelang getah. Wang itu seolah-olah dikelaskan dan diikat mengikut nilai. Gulungan not RM 5, RM 10, RM 50, malah RM 100, penuh didalam bungkusan itu. Rahmat kira-kira, nilai wang itu lebih kurang RM 4000!
Tangan Rahmat mula menggigil. Tidak pernah dia melihat duit sebanyak itu. Paling banyak pun, RM 500 yang 'dipinjam' dari bapanya ketika dia lari dari rumah dulu. Duit simpanan bapanya yang disimpan untuk membeli batang joran yang baru, bertujuan untuk memancing udang. Tapi kini cita-cita bapanya itu hanya tinggal kenangan kerana Rahmat telah pun 'meminjam' secara senyap-senyap duit itu.
"Duit siapa ni? Aku ada tolong bunian ke tadi?"
Rahmat bermonolog bersendirian. Sangkanya, duit yang terpampang di depannya itu adalah duit 'hadiah' dari bunian. Sebabnya, Rahmat pernah terbaca di Mastika, ceritanya ada seorang pemuda yang telah menolong seorang lelaki tua yang berpakaian serba putih, dengan menumpangkan lelaki tua itu menaiki keretanya. Sesudah selesai menumpangkan lelaki tua itu, pemuda tersebut terkejut mendapati terdapat bungkusan hitam di tempat duduk belakang keretanya. Apabila dibuka, bungkusan tersebut mengandungi sejumlah wang! Sama seperti kes yang dialami Rahmat sekarang!
"Entah-entah, Abang Taib Packing kot yang bunian?!"
Rahmat membuat spekulasi. Seingat Rahmat, Abang Taib - yang bekerja di kilang sama denganya - adalah satu-satunya orang yang ditolong sepanjang hari itu. Abang Taib meminta Rahmat untuk membelikannya nasi di warung Pak Cu Ikan Bilis ketika waktu rehat. Pak Cu mendapat gelaran 'ikan bilis' adalah kerana hampir kesemua lauk yang dimasak oleh Pak Cu adalah berasaskan ikan bilis. Obsesi Pak Cu terhadap ikan bilis telah memberi ilham untuk membuat pelbagai lauk yang menggunakan ikan bilis sebagai bahan asas. Pernah satu ketika, warung Pak Cu diserbu KPDNKK dan Kastam kerana disyaki menjadi dalang dalam penyeludupan ikan bilis, namun Pak Cu dilepaskan atas sebab kekurangan bukti.
Walaupun Abang Taib meminta Rahmat menolongnya - dengan memberikan alasan yang kakinya diserang gout secara tiba-tiba - tetapi Rahmat tahu yang Abang Taib mahu meluangkan masa berbual dengan Pauziah Avon, seorang janda muda yang bertugas sebagai Supervisor di bahagian Packing, di mana bahagian Abang Taib berada. Ketika orang ramai keluar membeli makanan, ketika itulah mereka berdua bermain cinta.
"Eh? Tapi kalau Abang Taib tu bunian, kenapa dia nak kerja kilang biskut? Perlu ke bunian bekerja? Dia nak buat apa dengan duit KWSP bila dia pencen nanti?"
Rahmat terus bermonolog, membuat andaian yang tidak masuk dek akal.
Tidak sempat Rahmat membuat kesimpulan terhadapan misteri kemunculan duit yang berbungkus hitam itu, tiba-tiba Rahmat terdengar bunyi pam jamban diflush. Pintu jamban yang menghala terus ke ruang tamu - yang mana menyerlahkan lagi tahap 'genius' arkitek yang mereka pelan bangunan kos rendah seperti itu - kini terbuka. Dari dalam, muncul sesusuk tubuh dalam keadaan sedang membetulkan seluar, tanpa menyedari Rahmat yang sedang mencangkung sambil tangannya memegang segulung not RM 10 yang diambil dari bungkusan itu. Susuk tubuh yang keluar itu tak lain tak bukan ialah Sarip! Rakan serumah yang cukup Rahmat tidak suka.
"Woi!! Kau buat apa tu?! Letak balik duit aku!!"
Jerit Sarip sebaik sahaja dia terlihat Rahmat yang mencangkung, mirip Gollum di dalam siri The Lord of the Rings.
Belum sempat Rahmat menjelaskan apa-apa, kaki Sarip sudah pun singgah di belakang badan Rahmat. Terpelanting Rahmat ditendang Sarip hingga ke hujung rumah. Disebabkan rumah sewa itu kecil, jadi jarak antara tengah rumah dan hujung rumah tidaklah jauh mana. Cuma 3 meter saja. Ini cerita melayu, bukan cerita Tamil. Tiada unsur-unsur aksi yang melampau di dalam cerita ini. Tetapi ianya tetap sakit bagi Rahmat. Rahmat terpinga-pinga melihat Sarip yang hanya bermuka bengis, dengan mengenggam penumbuk, berdiri di hadapan Rahmat.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..