Sudah seminggu lamanya Rokiah begitu. Jendela menjadi singgahsana Rokiah. Termenung menjadi rutin seharian Rokiah. Diari Rokiah pun sudah lama tak bertulis. Dah kerja duduk termenung je, nak tulis diari apanya. Kadang-kadang terdengar juga tangisan kecil dari Rokiah. Hanya tuhan saja yang tahu perasaan Rokiah.
"Esok Abang Rizal dah nak kahwin kan mak?" tanya Rokiah kepada maknya yang sedang menjahit.
Mak Siti adalah seorang tukang jahit terkenal di kampungnya. Macam-macam fesyen Mak Siti boleh jahit. Lagipun Mak Siti tidak mengenakan bayaran yang mahal, tidak semahal harga yang dikenakan oleh pereka fesyen artis-artis di acara karpet merah Bintang Popular. Tetapi kualiti yang diberikan cukup puas hati. Orang-orang kampung memang memuji kehebatan Mak Siti menjahit. Sehinggakan seluar kecik koyak pun mereka suruh Mak Siti Jahit. Punyalah handal.
"Haaa.. Kenapa? Kau nak pergi ke?" tanya Mak Siti ajak-ajak ayam. Mak Siti yakin anaknya tak mahu pergi. Iya lah, bekas kekasih sendiri yang kahwin, siapa yang sanggup pergi.
"Hmm.. Rokiah ingat Rokiah nak pergi la mak. Nak tengok Abang Rizal buat kali terakhir, sebelum Kiah lupakan dia selamanya." jelas Rokiah, membuatkan Mak Siti terkejut. Nyata sangkaan Mak Siti meleset sama sekali.
"Kau biar betul Rokiah? Kau dah fikir masak-masak ke? Jangan nanti kau pulak yang menangis kat kenduri orang. Malu mak nanti.." pujuk Mak Siti supaya Rokiah fikir masak-masak dahulu sebelum membuat keputusan. Hanya itulah masak-masak yang Rokiah pandai lakukan. Nak masak lain memang Rokiah tak pandai. Setakat goreng telur dengan masak air tu pandailah Rokiah.
"Rokiah dah fikir masak-masak mak. Rokiah malas nak fikirkan lagi pasal Abang Rizal ni.. Rokiah nak pergi ke majlis dia, ucap selamat pengantin baru, makan nasi minyak, bubur kacang, karaoke dulu sepam, pastu Kiah balik.. Nak lupakan terus Abang Rizal!" kata Rokiah yakin. Terpancar kilauan cahaya dari mata Rokiah menunjukkan betapa yakinnya dia, membuatkan Mak Siti percaya, bahawa Rokiah sudah mula mahu melupakan Rizal.
...........
Hari yang ditunggu kini tiba. Rokiah sedang bersiap-siap hendak ke majlis kahwin Rizal, yang berlangsung di dewan orang ramai kampungnya. Majlis itu diadakan dengan penuh meriah, disertakan dengan set PA sistem dari Remy Koboi, yang mempunyai lebih 3000 lagu-lagu karaoke termasuk 1700 lagu melayu dan 1000 lagu inggeris, manakala selebihnya adalah lagu hindustan dan cina. Majlis itu juga dilengkapi dengan hiasan persandingan dari Osman Lembut, seorang mak andam terkenal kampung, yang kini bekerja di KL menjual produk tenusu di sebuah pasaraya. Katering pula disediakan oleh Haji Yakob. Rokiah memang gemar masakan dari katering Haji Yakob. Itu salah satu sebab mengapa Rokiah beria nak pergi ke majlis itu.
"Mak dah siap ke belum? Cepat lah! Nanti lauk habis!" jerit Rokiah sambil mengenakan kasut tumit tinggi berwarna hitam, hadiah dari ibunya selepas dia berjaya lulus dalam ujian memandu motosikal.
"Kejap lah... Kau ni kalau pasal makan laju je.. Kalau suruh masak tiba-tiba je sakit perut.. Hampeh perangai.. Jap! Mak nak tutup tingkap ni.. Kang nanti Comel masuk habis diselongkarnya dapur kita." terang Mak Siti kepada Rokiah.
Comel adalah kucing milik jiran mereka, Mak Som. Mak Som memang gemar membela kucing. Ada sebelas ekor kesemuanya. Tetapi Mak Som hanya pandai membela, tidak pandai menjaga. Dibiarkan sahaja kucingnya merayau ke rumah jiran-jiran. Stress jiran-jiran Mak Som melihat perangai kucing-kucingnya yang degil-degil belaka.
Maka bergeraklah mereka anak-beranak ke majlis tersebut. Mereka hanya berjalan kaki kerana jarak antara rumah mereka dengan dewan tidak lah jauh mana. Tapi boleh berpeluh juga kalau jalan dalam cuaca panas, sebab itu mereka membawa payung Kurnia Insurance mereka. Payung Kurnia itu lebih besar dari payung-payung lain, boleh memuatkan mereka berdua di bawah satu payung.
"Pin! Pin" Tiba-tiba mereka disapa dengan bunyi hon kereta. Kali ini betul-betul bunyi hon kereta, bukan hon kereta yang diubahsuai menjadi hon lori. Sebuah kereta BMW 5 series berwarna hitam betul-betul berhenti di sebelah mereka. Cermin tingkap dibuka, muncul wajah seorang pemuda 20an berkaca mata hitam, bergaya hipster.
"Mak Siti! Lama betul tak nampak! Nak pergi kenduri Rizal ke?" sapa anak muda itu.
"Ha'ah... Kamu ni siapa? Tak pernah nampak pun kat kampung ni?" tanya Mask Siti, pelik.
Setahu Mak Siti, tiada sorang pun orang kampung yang menaiki BMW di kampungnya. Yang ada pun Mercedes lama, itu pun Pak Mat Teksi yang punya, dia buat jadi teksi.
"La... Saya lah Mak Siti.. Rahmat, anak Mak Som." jawab pemuda itu sambil membuka kaca matanya.
"Rahmat?!"
Rokiah terkejut! Sudah lama dia tidak mendengar nama itu. Nama yang mengimbas kembali zaman persekolahan Rokiah.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..