Bahagian 82: Nekad

544 29 21
                                    

Telekung dilipat, lalu disangkut kemas di penyangkut kayu

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Telekung dilipat, lalu disangkut kemas di penyangkut kayu. Cuaca pada malam itu agak dingin, tetapi Ila Rambo seakan-akan berpeluh. Rasa gelisah. Bukanlah disebabkan kualiti kain telekung tadi yang tebal menyebabkan Ila berpeluh sedemikan. Lagipun telekungnya bukanlah telekung murahan yang dia beli di pasar malam, atau di kedai India muslim di tepi jalan, tetapi telekungnya ialah telekung berjenama yang dia beli di sebuah butik telekung terkenal Siti Khadijah. Itu pun setelah dia terpedaya dengan dakyah billboard iklan telekung itu yang menggunakan tagline "Nak.. Mak teringin nak pakai telekung Siti Khadijah", menyebabkan Ila membeli dua pasang telekung tersebut kerana merasa sayu dengan tagline tersebut. Hal itu juga menyebabkan Ila terpaksa membatalkan niat membayar hutang PTPTN dia pada bulan itu, kerana bajet pada bulan itu sudah lari.

Berbalik kepada peluh Ila tadi. Ila Rambo berpeluh adalah kerana dia merasa risau. Risau dengan bayangan juadah yang akan dijamu oleh Rokiah di rumahnya nanti. Ila sudah cukup kenal dengan Rokiah. Segala rahsia Rokiah, Ila tahu, dan vice versa. Ila tahu, yang rakan sepermainan dia sejak dari bangku sekolah, bangku warung, sofa berlekuk rumah Ila, dan juga kerusi kilang tempat Ila dan Rokiah bekerja selepas SPM; bahawa Rokiah sememangnya tidak pandai memasak! Pernah sekali, Rokiah cuba untuk masak lauk ayam masak merah, tetapi yang jadi ialah lauk yang seakan-akan berwarna hitam! Dari masak merah, terus jadi masak kicap. Bila ditanya, Rokiah menjawab yang dia ingin lakukan kelainan dengan menggantikan gula dengan cokelat! Patutlah hitam!

Rasa berat kaki Ila mahu melangkah keluar rumah, mahu ke rumah Rokiah. Kalau ikutkan hatinya, malas hendak dia ke rumah Rokiah. Malas hendak dia berpura-pura mengatakan yang masakan Rokiah itu sedap, hanya kerana ingin menjaga hati kawan baiknya itu. Yang membuatkan dia bertambah malas lagi, malam itu ada filem kegemarannya, Alien, ditayangkan di TV2. Tetapi, dia harus pergi juga ke rumah Rokiah! Jawapan kepada kehilangan Rahmat selama 6 tahun, harus diketahuinya! Jika dia tidak pergi, dia akan kerugian pengakhiran cerita yang ditunggu-tunggunya selama ini. Ibarat tidak sempat menonton episod akhir bagi sebuah drama swasta!

Akhirnya, Ila membulatkan semangat! Dia harus ke rumah Rokiah! Biar apa jua halangan yang bakal melanda, harus ditempuhi dengan rela hati dan redha.

"Ini Ila Rambo lah! Tak gentar dengan cabaran!"

Bisik hatinya sambil menggenggam penumbuk tanda bersemangat. Segera dia mencapai kunci motor kapcainya, dan terus menghidupkan enjin motornya. Sengaja dia memulas pemulas motor itu, bagi membunyikan deruman enjin motor tersebut. Bagi Ila, ia ibarat ritual untuk menunjukkan bahawa dia sangat bersemangat. Ngauman enjin adalah simbolik kepada ngauman semangat hatinya!

"DIAM!!"

Tiba-tiba Ila dikejutkan dengan satu suara garau, ala-ala suara Rem ketika tarik menyanyikan lagunya. Suara itu tak lain tak bukan ialah suara Mejar Zainal, bapa Ila!

"Aku nak dengar berita! Karang dengan kau, dengan motor-motor sekali aku humban dalam perigi buta belakang tu!!"

Menggigil Ila mendengar ugutan itu. Bukanlah kerana dia takut dengan bapanya - disebabkan seringkali dimarahi, Ila sudah lali dengan teriakan suara bapanya - tetapi, dia lebih takut kepada perigi buta itu! Perigi buta itu menjadi igauan ngeri buatnya, semenjak dia menonton filem seram Jepun, Ringu. Ila merasakan yang hantu Sadako di dalam filem Ringu itu benar-benar wujud, dan mendiami perigi buta yang terletak di belakang rumahnya itu. Ila juga tidak pernah mendekati perigi buta itu di dalam lingkungan 20 meter, walaupun ketika siang hari. Hal itu juga membuatkan Ila menjadi takut untuk menyidai atau mengangkat kain jemuran, yang mana ampaian kain jemuran itu di dalam lingkungan 20 meter itu. Tidak pasti sama ada itu benar-benar takut, atau hanya malas semata-mata.

"Kau nak pergi mana tu?!"

Sekali lagi kedengaran suara Mejar Zainal. Kali ini nada suaranya sedikit rendah. Mungkin siaran Buletin Utama itu sedang iklan.

"Nak pergi rumah Rokiah. Rokiah ajak makan-makan."

Senyap. Tiada balasan dari bapanya.

"Rumah Rokiah! Makan-makan!"

Ila meninggikan sedikit suaranya. Mungkin bapanya tidak mendengar dek kerana suara iklan TV yang agak kuat. Masa iklan sahaja TV ini suaranya kuat, masa rancangan, perlahan pula! Agenda apakah ini?

"Tapaukan abah, boleh?"

Kedengaran suara Mejar Zainal membalas. Lantas membuatkan mata Ila Rambo bundar.

"Ah! Tak payah mengada! Buat malu je nak tapau bagai! Makan je la nugget yang Ila goreng tadi!"

Senyap kembali. Yang kedengaran hanyalah suara penyampai berita yang sudah kembali bersiaran. Ila mengangkat tongkat motornya. Mejar Zainal sudah tidak dipedulikan Ila lagi. Gear dipijak. Pemulas minyak dipulas. Suara deruan motor memecah kesunyian malam. Sayup-sayup, kedengaran bunyi perut Mejar Zainal yang berkeroncong menahan lapar.

Cinta RokiahWhere stories live. Discover now