"Best kena Crippler dengan Abang Wa? Hahaha."
Ejek Rahmat kepada Azuan Tempeyek. Azuan Tempeyek hampir-hampir menangis ketika Abang Wa melakukan 'Crippler' ke atas dirinya seketika tadi. Jika orang ramai mengatakan bahawa gusti yang ditunjukkan di televisyen itu sebagai menipu, dan orang yang dibelasah di dalam rancangan gusti itu pun berpura-pura sakit, maka Azuan Tempeyek tidak mempercayainya! Kerana dia sendiri sudah merasai bertapa sakitnya bila di'smack-down' oleh Abang Wa. Rasanya bagai hendak putus urat merih!
"Ila la ni! Ajak aku bersembang.. Tak pasal-pasal aku yang kena!"
Azuan cuba menyalahkan Ila Rambo. Sengaja Azuan membuat alasan supaya dia kelihatan tidak bersalah. Sedangkan dia sendiri sedar, jikalau dia tidak melayan, masakan Ila boleh bersembang lama denganya.
"Siapa suruh kau layan dia? Haha.. Padan muka kau!"
Sekali lagi Rahmat mengejek. Azuan tertunduk malu. Tidak dapat dia menyangkal kenyataan Rahmat itu, kerana apa yang dikatakan Rahmat itu benar belaka.
"Apa pasal Abang Wa 'smack-down' kau tadi Wan?"
Perbualan mereka diganggu oleh Yem Semput, yang tiba-tiba muncul entah dari mana.
"Ah! Sibuk je kau nak tahu! Kau pergi buat kerja kau sana! Nanti kau pulak yang kena 'smack-down' dengan Abang Wa.."
Kata Azuan sedikit marah.
"Kerja aku dah siap la.. Itu yang aku datang sini ni nak berborak dengan kau orang.. Boring lah asyik menghadap muka Tini tu kat dapur.."
Memang sudah tugas mereka selepas waktu rehat, di mana Rahmat dan Azuan ditugaskan untuk mengemas ruang makan pelajar di bahagian hadapan. Manakala Yem Semput dan seorang lagi pekerja, Kartini - yang juga merupakan adik perempuan Abang Wa - ditugaskan untuk mencuci pinggan mangkuk di dapur. Abang Wa pula akan mengemas bahagian dapur, dan juga mengira keuntungan untuk dicatit ke dalam buku log. Begitulah agihan tugas mereka selepas waktu rehat. Dan selalunya Rahmat dan Azuan akan mencuri masa sedikit setelah siap mengemas untuk berbual kosong, sama seperti apa yang berlaku sekarang.
"Kenapa pulak nak bosan? Tini tu kan cun.. Ngorat lah dia.. Hahaha."
Rahmat cuba mengusik Yem Semput. Memang tidak dinafikan, wajah Kartini memang ayu. Kartini tua setahun dari mereka bertiga. Kalau diikutkan hati, memang hendak Yem Semput mengorat Kartini. Tetapi bila memikirkan Kartini adalah adik kepada Abang Wa, segera Yem Semput melupakan hasratnya. Jangan kata hendak mengorat, bercakap dengan Kartini sahaja Abang Wa sudah menjeling tajam. Hal itu menyebabkan Yem Semput banyak berdiam apabila bekerja bersama Kartini.
"Gila kau nak ngorat?! Kalau Abang Wa tahu, mampus aku kena Crippler! Aku tengok Wan kena tadi pun dah seram.. Huish! Simpang..."
Ujar Yem Semput sambil memandang ke dapur, takut-takut Abang Wa terdengar perbualan mereka.
"Alah.. Selamba la.. Takde orang yang berani ngorat dia.. Kalau kau ngorat, kau lah lelaki yang paling 'gentle', paling berani dalam dunia ni.."
Kata Rahmat, dengan diselitkan sedikit unsur hiperbola.
"Aku memang teringin nak usha dia.. Tapi tu lah.. Abang Wa tu.. Garang bebenor! Macam mana lah adik dia nak laku nanti.."
Mendengar pengakuan Yem Semput itu, Rahmat segera memandang Azuan. Rahmat mengangkat keningnya, sebagai satu isyarat kepada Azuan. Azuan tersenyum, mengerti akan isyarat itu. Oleh kerana terlalu lama mereka berdua bersama, mereka dapat tahu isyarat yang cuba diberikan, walaupun hanya dengan mengangkat kening. Di dalam kepala Rahmat sudah terhidang satu rancangan, begitu juga di dalam kepala Azuan. Bagaikan telepati, mereka mengetahui rancangan yang berada di dalam kepala masing-masing, tanpa membuka mulut pun.
"Ok Yem! Aku dengan Rahmat nak cabar kau!"
Tiba-tiba Azuan bersuara.
"Cabar? Cabar apa?"
Tanya Yem Semput terpinga-pinga. Tidak mengerti apa yang Azuan Tempeyek maksudkan.
"Kita orang nak cabar kau usha si Kartini tu.. Hehe.."
Rahmat pula bersuara.
"Gila kau! Tak nak lah! Takut aku dengan Abang Wa.."
Yem Semput menolak cadangan Rahmat dan Azuan. Bagi Yem Semput, itu adalah satu kerja gila! Kerja membunuh diri namanya.
"Alah.. Tak 'gentle' lah kau.. Ok! Kita orang 'bet' dengan kau.. Kalau kau dapat usha Kartini tu.. Aku dengan Wan buat separuh kerja kau, selama seminggu kat kantin ni.. Amacam?"
Rahmat memberi tawaran. Tawaran yang agak sukar untuk ditolak oleh Yem Semput. Yem Semput diam, mengerutkan dahi. Lama dia memikirkan akan tawaran itu.
"Ok! Aku setuju! Janji tau kau buat separuh kerja aku?"
Yem Semput bersetuju. Hampir sahaja dia menolak tawaran itu, tetapi memandangkan sikap pemalasnya yang terlampau, tidak mampu dia menolak tawaran yang 'lumayan' itu.
"Ok! Set! Usha sampai dapat tau? Kalau tak dapat, perjanjian kita 'cancel'!"
Rahmat tersenyum riang. Azuan pun turut tersenyum. Di dalam kepala mereka sudah terbayangkan Yem Semput di'smack-down' oleh Abang Wa kerana mengorat adiknya. Selalu Rahmat dan Azuan berdiam diri apabila dibuli oleh Yem Semput ketika bekerja di kantin itu, tetapi kali ini dapatlah mereka membalas dendam. Yem Semput telah termakan umpan mereka. Kini mereka hanya menunggu masa untuk 'merentap' umpan mereka.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
Hài hướcRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..