Ila Rambo melihat ke kanan, ke kiri, ke nasi lemak, lalu lihat semula ke kanan, dan begitulah seterusnya. Gelagat Ila diperhatikan oleh Rokiah, yang ketika itu pun sedang menjamah nasi lemak, hasil dari pembelian mereka ketika ke kantin sebentar tadi.
"Ila cari apa tu?" tanya Rokiah kehairanan setelah melihat gelagat Ila Rambo yang tak ubah seperti Rambo sebenar ketika sedang berperang.
"Aku cari Rahmat. Buatnya masa aku makan ni dia tiba-tiba muncul macam semalam, boleh tercekik aku!" kata Ila Rambo sambil mengenangkan peristiwa dia hampir tercekik semalam.
"Ha'ah lah.. Hari ni tak nampak pulak Rahmat. Selalunya ada la jugak dia lalu lalang." ujar Rokiah, lalu menyedari yang dia tidak melihat pun Rahmat dari pagi tadi.
Kalau diikutkan, hampir setiap pertukaran waktu kelas akan kelihatan Rahmat lalu di hadapan kelas Rokiah. Kerana Rahmat kerap ke tandas, dan laluan dari kelas Rahmat ke tandas akan melalui di hadapan kelas Rokiah. Mengapa Rahmat kerap ke tandas tidak lah menjadi tanda tanya bagi Rokiah. Kerana sangkanya Rahmat mungkin mengalami penyakit kencing tak tos. Walhal, Rahmat pergi ke tandas adalah untuk melempiaskan nafsu merokoknya. Naif sungguh permikiran Rokiah.
"Ponteng la tu..." sahut Ila dengan membuat spekulasi liar seperti kebanyakkan wartawan hiburan.
"Iya la kot.." sahut Rokiah pula mengiakan.
Memang naif Rokiah ni. Tetapi timbul sedikit kehairanan apabila Rahmat tidak memunculkan diri. Kerana mengikut kepada memori Rokiah, Rahmat tidak pernah ponteng hari Rabu. Hari Rabu merupakan hari paling disukai Rahmat untuk ke sekolah, kerana mata pelajaran Pendidikan Seni Visual jatuh pada hari Rabu di jadual Rahmat. Subjek yang cukup dinanti-nantikan oleh kebanyakan pelajar lelaki, kerana yang mengajarnya ialah Cikgu Seri.
Tiba-tiba Rokiah terpandang Azuan Tempeyek. Dengan pantas Rokiah mencubit Ila Rambo.
"Aduh! Kau dah kenapa cubit aku ni?!" marah Ila kerana sekali lagi dia hampir tercekik akibat terkejut.
"Tu... Boyfriend Ila tu.. Panggil dia kejap.. Kiah segan lah nak panggil.. Kiah nak tanya dia something.." ujar Rokiah dengan menggunakan perkataan Inggeris 'something', yang merupakan antara beberapa kerat saja perkataan Inggeris yang Rokiah paham maksud sebenarnya.
"La hai... Nak panggil orang pun malu ke? Pemalu betul kau ni.." ujar Ila Rambo sambil mengesat kesan sambal pada pipinya, yang terkena akibat dia terkejut sebentar tadi.
"Wan! Oooo Wan! Mari lah sini..." panggil Ila manja.
Jarang Ila bersuara manja sebegitu, selalunya garang memanjang. Tetapi apabila dengan Azuan Tempeyek, perwatakan Ila menjadi lembut tiba-tiba. Entah mengapa, antara ramai-ramai lelaki di sekolah itu, Ila memilih Azuan Tempeyek sebagai jejaka idamannya. Kalau diikutkan, muka Azuan tiada lah kacak mana, lagi kacak muka Yem Semput. Dengan berjerawat batu di muka, memang sesuai dia digelar Azuan Tempeyek, kerana mukanya seakan-akan tempeyek. Hanya Rokiah tahu Ila Rambo memendam perasaan pada Azuan, sedangkan Azuan tidak tahu menahu pun. Secret admirelah ni kiranya.
"Kenapa Rambo? Ada apa?" tanya Azuan seperti mahu cepat. Barangkali sakit perut.
"Kenapa panggil saya Rambo? Panggillah Ila.." sekali lagi ayat lembut dikeluarkan oleh Ila, membuatkan Rokiah ketawa kecil.
Tapi ketawa Rokiah tak lama, setelah dia ditumbuk oleh Ila di bahu, menyebabkan Rokiah mengaduh kesakitan.
"Yela Nabilah sayang... Ada apa panggil saya ni?" kata Azuan Tempeyek, juga dengan nada lembut, membuatkan Ila Rambo tiba-tiba longlai tak bermaya.
"Err.. Sebenarnya Kiah yang nak panggil Azuan.. Sebab Kiah nak tanya Azuan something." terang Rokiah sendiri kerana Ila Rambo tidak mampu lagi menjadi perantara mereka, setelah dia lemah tak bermaya angkara ungkapan 'sayang' dari Azuan Tempeyek.
"Ada apa Kiah?" tanya Azuan Tempeyek.
"Takdelah.. Kiah nak tanya.. Rahmat tak datang sekolah ke hari ni?" Rokiah cuba bertanyakan tentang Rahmat.
"Rahmat? Eh? Ade la.. Dia ada je kat dalam kelas. Tapi hari ni dia macam takde mood je.. Orang ajak pergi kantin pun dia taknak. Ajak lepak belakang blok pun dia tak mahu. Apasal entah.. Semalam dia sikit punya happy lepas rehat sampailah balik. Tapi hari ni senyap je." terang Azuan panjang lebar, seperti menghurai soalan kertas dua Bahasa Malaysia.
"Yeke? Hmm.. Semalam pun lepas sembahyang maghrib kat surau, dia terus balik.. Tak tunggu pun sembahyang Isyak.. Dia kata nak balik saing.." terang Rokiah, yang tak berapa nak panjang.
"Rahmat pergi surau?! Biar betul?! Hahahahaha.." ketawa Azuan apabila mendengar kenyataan dari mulut Rokiah. Ketawanya tak ubah seperti jin dalam cerita Ahmad Albab.
"Sekurang-kurangnya dia pergi juga ke surau.." ayat ringkas dari Rokiah membuatkan Azuan berhenti ketawa, lalu tertunduk malu.
"Err.. Ok lah Kiah.. Kalau takde apa-apa lagi, aku minta diri dulu ye? Bye.." tiba-tiba sahaja Azuan Tempeyek meminta diri, mungkin dia malu disindir Rokiah.
"Waalaikummussalam.." jawab Rokiah, sekali lagi membuatkan Azuan tertunduk malu apabila disindir buat kali kedua.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..