"Sebenarnya aku pun tak tahu apa yang berlaku.." jawab Ila Rambo, membuatkan Rokiah mengerutkan dahi.
"Tak tahu? Habis tu macam mana Ila boleh terbaring kat situ?" tanya Rokiah lagi untuk mendapatkan kepastian.
"Cerita dia macam ni. Masa aku nak pergi ke padang, dia tahan aku. Dia kata dia nak balas dendam." terang Ila Rambo.
"Dia? Dia tu siapa?" tanya Rokiah sekali lagi kerana dia masih tidak dapat menangkap jalan cerita yang cuba disampaikan oleh Ila Rambo.
"Samsul. Samsul Komodo" jawab Ila Rambo.
"Samsul? Kenapa Samsul nak kacau Ila pulak? Apa Ila dah buat dekat dia?" tanya Rokiah lagi, cuba untuk merungkai teka-teki yang menyelubungi kisah Ila Rambo ini.
"Pasal yang hari itu lah. Yang aku tipu dia kata Rahmat kutuk dia tu. Aku ingat dia dah lupa, rupanya dia berdendam dengan aku." Ila menjawab segala persoalan Rokiah.
"Lah.. Yeke? Habis tu dia buat apa kat Ila sampai Ila pengsan?" Rokiah masih lagi bermain permainan soal jawab dengan Ila. Banyak lagi persoalan yang berada di benak fikiran Rokiah. Hanya menunggu masa untuk diajukan.
"Apa yang aku ingat, dia tengking aku, sampai aku terduduk sebab takut. Lepas tu dia tarik baju aku sampai terkoyak. Lepas tu..." kata-kata Ila Rambo tiba-tiba terhenti. Bagaikan ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
"Lepas tu apa Ila?" tanya Rokiah lagi yang masih tidak berpuas hati dengan cerita tergantung dari Ila Rambo.
Rokiah amat tidak gemar jikalau orang bercerita tidak mahu dihabiskan ceritanya. Konon saspen.
"Lepas tu bila aku perasan baju aku koyak, aku jadi takut. Takut sangat! Lepas tu terus pandangan aku jadi gelap. Aku dah tak ingat apa-apa. Sedar-sedar je aku tengok Cikgu Seman dengan Wan ade dengan aku. Aku pun tak tahu apa yang Samsul dah buat kat aku. Hmm..." jawab Ila Rambo, dan diikuti dengan tangisan darinya.
"Sudahlah Ila. Kita tak tahu lagi apa yang dia dah buat pada Ila. Kita kena bagitahu perkara ni pada Tuan Haji Rahman. Biar dia yang buat keputusan." Rokiah cuba memujuk Ila.
Dipeluknya Ila supaya dia berasa tenang. Dan Rokiah turut menyanyikan lagu Sweet Child yang bertajuk Tinggallah Sayang Tinggallah pujaan untuk menghiburkan hati Ila Rambo. Rokiah tahu itu ialah lagu kegemaran Ila Rambo. Rokiah sempat menjeling pada Ila dan melihat Ila tersenyum apabila mendengar lagu itu. Dan Rokiah juga sempat menjeling ke luar melihat Jamal yang sudah terbaring lena di bawah teduhan pokok pinang.
Selepas dipujuk, akhirnya Ila Rambo bersetuju untuk menceritakan kejadian itu kepada Tuan Haji Rahman. Ila Rambo menceritakan dari awal hingga akhir, dari A sampai Z, dari alif sampai wasalamun. Terbeliak mata Tuan Haji Rahman yang sepet itu tatkala mendengar cerita dari Ila Rambo. Seperti seorang kanak-kanak yang mendengar cerita sang kancil dan buaya buat pertama kalinya. Menyirap darah Tuan Haji Rahman apabila mengetahui ada pelajar sekolahnya yang sanggup berbuat demikian. Dan lagi menyirap darah Jamal apabila mendengar cerita itu dari mulut adik bongsunya. Hendak sahaja dia terus mencari Samsul Komodo dan memberinya sedikit 'buah tangan', tetapi tidak dibenarkan oleh Ila Rambo. Ila Rambo tidak mahu perkara itu menjadi lebih besar. Biar sahaja pihak sekolah yang menguruskannya.
Jamal akur. Akur bukan kerana takutkan pihak sekolah, tetapi akur kerana tidak mahu adiknya menanggung malu lagi. Perasaan Jamal hanya tuhan yang tahu. Perasaan marah kepada Samsul meluap-luap seperti Gunung Berapi Hawaii yang menunggu masa untuk meletus apabila dia mengenangkan apa yang Samsul Komodo sudah lakukan terhadap adiknya. Kalau diikutkan nafsu amarah Jamal, sudah tentu Samsul Komodo akan dibacakan talkin pada keesokkan harinya.
Samsul Komodo dipanggil untuk masuk ke bilik pengetua. Jelas terpampang ketakutan di wajah Samsul Komodo. Selama ini dia tidak pernah takut apabila dipanggil ke bilik pengetua. Malah boleh dibuat bergurau lagi. Tetapi kali ini lain ceritanya. Kali ini dia bakal berdepan dengan masalah yang lebih besar. Ibu bapa Samsul Komodo juga turut dipanggil. Membuatkan dia bertambah takut. Kelihatan Ila Rambo bersama abangnya, Jamal sudah pun berada di dalam bilik itu. Cikgu Seman selaku cikgu disiplin merangkap saksi kepada kejadian itu turut dipanggil. Samsul sudah berpeluh-peluh. Ketiaknya mula menangis, membuatkan bajunya bertompok basah, walaupun di dalam bilik yang berhawa dingin.
"Pang!"
Belum sempat sesiapa pun yang berada di bilik itu memulakan bicara, satu penampar sudah pun hinggap di pipi gebu Samsul Komodo. Penampar itu datangnya dari ayah Samsul Komodo, iaitu Husin Lambretta.
"Kurang ajar punya anak! Aku hantar kau sekolah untuk belajar! Bukan untuk jadi perogol!" marah Husin Lambretta dengan membabi buta, tanpa usul periksa terlebih dahulu. Hanya mendengar dari sebelah pihak, Husin sudah pun membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman terhadap anaknya, Samsul Komodo.
"Abang! Dengar lah dulu apa yang dia nak cakap! Main pukul je!" mak Samsul, Tijah Kerengga cuba membela anaknya.
"Betul tu Encik Husin. Kita kena tanya dulu pada Samsul, apa yang terjadi pada masa tu." sampuk Cikgu Seman untuk menenangkan keadaan.
Hanya Cikgu Seman sahaja yang berani bersuara. Hendak harapkan Tuan Haji Rahman, awal-awal lagi sudah mahu lari untuk sembunyi kerana takut dengan Husin Lambretta yang mengamuk.
"Ah! Kau orang bela sangat si Samsul ni kenapa?! Dia dah bersalah! Nak dimanja-manjakan kenapa pulak?!" bentak Husin Lambretta tidak mahu mengalah.
Melihat pada tingkah laku Husin Lambretta, mungkin benar apa yang dikatakan oleh Samsul Komodo, bahawa keluarganya berketurunan Hang Jebat. Paling tidak pun keturunan Merong Mahawangsa.
"Hah! Cakap lah! Apa yang kau dah buat kat anak orang tu?!" tanya Husin Lambretta kepada anaknya, Samsul Komodo.
"Mana ada Samsul buat apa-apa. Dia yang tiba-tiba pengsan.." jawab Samsul sambil tertunduk kerana takut dengan ayahnya.
"Pang!"
Sekali lagi Samsul dilayangkan penampar oleh ayahnya.
"Kau jangan nak tipu! Kalau kau tak buat apa-apa, macam mana dia boleh pengsan?" tanya Husin Lambretta yang masih tidak mempercayai kata-kata anaknya.
"Ila! Apa yang dia buat dekat kau?!" kali ini soalan Husin diajukan pula kepada Ila Rambo.
"Ila tak ingat.. Yang Ila ingat dia tarik baju Ila sampai terkoyak.." jawab Ila Rambo.
"Pang!"
Kali ketiga Samsul dilempang. Naik kebas pipi Samsul, seperti dibius. Pipi Samsul yang hitam manis itu kini menjadi kemerah-merahan. Tidak mampu dia melawan asakan dari bapanya.
"Kau dengar tu?! Yang kau tarik baju dia sampai koyak tu pasal apasal?! Kau nak jadi samseng? Penjenayah?!" marah Husin Lambretta.
Jamal yang masih duduk dari tadi hanya memerhati. Tiba-tiba Jamal bangun dari duduknya.
"Macam ni lah pak cik. Saya tak nak pak cik pukul anak pak cik ni. Kalau pak cik pukul sampai lebam pun tetap macam tu jugak. Apa kata, saya bawak dia pergi ke balai polis."
Jamal memberikan cadangan. Cadangan yang membuatkan Tuan Haji Rahman, Husin Lambretta dan Samsul Komodo terkejut.
"Err.. Kalau boleh, kita bincang dekat sini saja. Tak payah nak libatkan polis.." Tuan Haji Rahman cuba memujuk.
Tuan Haji Rahman tidak mahu reputasi sekolahnya menjadi ancaman. Nama baik sekolah harus dijaga. Jamal berfikir sejenak. Masing-masing yang ada di dalam itu menanti keputusan Jamal.
"Baiklah.." tiba-tiba Jamal bersuara.
"Kalau macam tu, saya dah tiada pilihan. Hanya satu cara ini saja yang boleh menyenangkan semua pihak.." Jamal memberikan cadangan.
Cadangan yang bakal menjadi mimpi ngeri Samsul.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..