Ila Rambo merancang sesuatu. Sesuatu rancangan yang akan dikenakan ke atas Rahmat. Dan bakal dilaksanakan pada waktu rehat, iaitu tinggal beberapa minit sahaja lagi. Dan, akhirnya waktu yang dinanti telah tiba. Loceng sudah pun berbunyi. Berpusu-pusu pelajar keluar dari kelas. Di sekolah itu, kalau loceng tak berbunyi pun pelajar akan keluar juga. Peduli apa mereka.
"Kiah, aku nak pergi tandas kejap. Kau pergilah dengan Rahmat dulu. Nanti aku sampai." kata Ila Rambo kepada Rokiah.
"Oh! Ok.." jawab Rokiah setuju.
Kalau dulu, jika Ila mahu ke tandas, pasti Rokiah akan ikut juga, walaupun hanya sebentar. Kerana Rokiah tidak mahu duduk berseorangan di bawah pokok itu. Tetapi bila sudah berdua dengan Rahmat, tanpa fikir panjang Rokiah terus bersetuju untuk pergi dahulu ke bawah pokok. Membuatkan Ila Rambo sedikit sakit hati. Tetapi memang niat Ila tidak mahu Rokiah mengikutnya, kerana dia ingin melaksanakan rancangan yang dirancangnya sebentar tadi di dalam kelas. Ila Rambo perlu bersendirian. Dia harus berjumpa dengan seseorang. Seseorang yang dia tidak menyangka dia akan pergunakan.
"Samsul! Mari sini kejap.." panggil Ila.
Ya! Orang itu ialah Samsul Komodo, musuh ketat Rahmat. Kali ini memang istilah musuh ketat boleh digunakan, kerana Rahmat dengan Samsul memang bermusuh. Pantang berjumpa, pasti ada sahaja yang tidak kena pada mata mereka. Seperti kucing dan anjing. Siapa kucing, siapa anjing pun tidaklah diketahui. Mungkin Rahmat kucing, dan Samsul anjing, atau sebaliknya. Entahlah. Pandai-pandailah pembaca meneka.
"Hah! Kau nak apa Rambo? Nak ajak dating ke? Hahaha" tanya Samsul Komodo seraya ketawa jahat, seperti kebanyakan watak jahat di dalam cerita melayu.
"Eeee! Takdenya aku nak dating dengan kau! Busuk!" kutuk Ila Rambo.
Ila Rambo memang membenci Samsul Komodo, semenjak dari tingkatan satu lagi. Ini semua gara-gara peristiwa yang terjadi semasa di minggu orientasi, minggu pertama mereka di sekolah itu. Di mana pada hari itu semua pelajar dapat menyaksikan peristiwa Samsul Komodo dengan sengaja menyiram mee kari ke atas kepala Ila Rambo. Pada masa itu niat Samsul adalah untuk memgorat Ila Rambo ketika sedang berehat di kantin, tetapi disebabkan bau badan Samsul yang seperti bau seorang pekerja pam minyak warga Bangladesh, membuatkan Ila tidak tahan dan terus menepis Samsul sambil menjerit: "Blah la kau, busuk!". Lelaki mana yang tahan bila dihina sebegitu di khalayak ramai. Memang padan dengan Ila Rambo.
"Kau jangan hina aku Rambo. Nak kena mee kari lagi ke?" ujar Samsul Komodo, mengingatkan Ila Rambo tentang peristiwa itu.
Tiba-tiba otak Ila teringat peristiwa itu, membuatkan darah Ila menyirap serta-merta. Tapi dia menahan marahnya, semata-mata tidak mahu rancangannya untuk mengenakan Rahmat gagal.
"Aku datang sini berhajat. Hajat nak sampaikan pesanan seseorang kepada kau." kata Ila Rambo berterus-terang.
"Pesan apa? Ingat aku waiter ke nak pesan-pesan? Hahaha" sekali lagi Samsul ketawa.
"Bukanlah, bodoh! Si Rahmat tu! sembang kencang pulak.." terang Ila Rambo, membuatkan mata Samsul terbeliak apabila mendengar nama Rahmat.
"Rahmat? Kenapa dengan Rahmat? Apa yang dia cakap pasal aku?" tiba-tiba perwatakan Samsul bertukar serius. Tiada lagi gelak jahatnya kedengaran.
"Takde lah.. Dia cakap dengan aku, setakat kau ni senang je dia ratah. Celah gigi je kata dia. Aku cakaplah 'Kau jangan berlagak Mat. Aku bagitahu Samsul nanti'. Pastu dia jawab 'Bagitahu la! Ingat aku takut dengan Samsul'." Ila membuat cerita.
Sengaja dia mereka-reka cerita untuk melaga-lagakan Rahmat dan Samsul. Dengan berbuat demikian, sangkanya Rahmat akan kembali ke tabiat asalnya iaitu suka bergaduh. Bila Rahmat sudah menjadi jahat semula, mungkin Rokiah tidak akan suka kepada Rahmat, lantas berpisah dengan Rahmat. Sungguh teliti rancangan Ila, walaupun dia memikirkan rancangan ini sambil menyalin nota di papan hitam ketika di dalam kelas sebentar tadi.
"La.. Itu saja ke? Hek eleh.. Biarlah dia.. Aku tak hairan pun." jawab Samsul, membuatkan Ila Rambo ternganga.
Mana boleh! Sepatutnya Samsul harus naik angin, dan bergaduh dengan Rahmat! Itu rancangan asalnya. Bukannya seperti ini! Ila harus memikirkan idea lain! Dia harus memikirkan plan B dalam masa yang singkat.
"Dia pun cakap kau busuk! Budak busuk mana layak nak fight dengan dia! Tu dia kata, bukan aku kata.." Ila Rambo berkata spontan.
Tiba-tiba Samsul Komodo mengenggam rapat penumbuknya. Matanya berubah kemerah-merahan. Seolah-olah dia sudah hampir mahu bertukar menjadi super saiya.
"Kurang ajar punya Rahmat! Kau memperkotak-katikkan aku ya?" marah Samsul, sambil menumbuk bahu rakannya, Azizul Azmi, yang kebetulan lalu disebelahnya.
Terduduk Azizul setelah dia ditumbuk oleh Samsul Komodo. Namun tidaklah berani dia melawan kerana Samsul Komodo bukannya calang-calang orang. Hanya Rahmat sahaja yang berani berdepan dengan Samsul. Oleh kerana itu jugalah dia digelar Komodo, binatang pemangsa yang tak kenal erti takut, bersaiz besar dan kuat makan. Semua ciri-ciri tersebut ada pada Samsul. Azizul Azmi tiada terkata, melainkan hanya mampu menangis. Melihat Azizul menangis membuatkan Ila Rambo berasa sedikit cuak. Takut kalau tiba-tiba Samsul mengamuk, habis semua dipukulnya.
Pernah terjadi satu peristiwa, di mana Samsul Komodo hampir-hampir menumbuk koma seorang pelajar tingkatan 5, di mana pada masa itu Samsul hanya tingkatan 3. Kekuatan tangan kanan Samsul Komodo amat digeruni. Hanya beberapa orang sahaja yang dapat menahan tumbukan Samsul. Antaranya ialah Rahmat, Acap Putat Kelat, Ajak Gemas, dan Lim Chai Chin. Kalau diikutkan, Yem Semput juga tersenarai, tetapi disebabkan Samsul hanya menumbuk perlahan ketika itu kerana bimbang akan penyakit semput yang dihidapi Yem Semput. Maka itu nama dia digugurkan dalam senarai tadi.
"Dia dekat mana sekarang? Biar aku kerjakan dia!" tanya Samsul Komodo yang seperti disampuk.
Menjerit-jerit bagai orang gila. Menggeletar Ila Rambo melihat keadaan Samsul, namun jauh di sudut hatinya, dia berasa puas! Puas kerana segala rancangannya menjadi.
"Dia dekat bawah pokok, dekat tepi padang tu. Pergilah cepat." jawab Ila Rambo.
"Mampus kau Rahmat hari ini! Aku kerjakan kau!" kata Samsul Komodo sambil mendengus-dengus nafasnya. Tidak ubah seperti seladang apabila berdepan dengan metador.
Ila mengambil tempat untuk menyorok. Takut-takut nanti kalau Rokiah perasan dia bersama dengan Samsul, mungkin Rokiah akan mengesyakinya. Samsul Komodo berjalan dengan pantas, segera dia ke tempat yang dikatakan. Setelah sampai di kawasan padang, maka ternampaklah dia akan Rahmat sedang berdua-duaan dengan Rokiah sambil memakan bekal masing-masing. Segera Samsul Komodo mendapatkan Rahmat.
"Rahmat!" jerit Samsul apabila dia sudah mencapai jarak yang suaranya dapat didengari oleh Rahmat.
Bimbang juga dia kalau dia menjerit terlalu jauh, takut Rahmat tidak dengar, malu juga dia. Sudah kurang unsur dramatik di situ jikalau Rahmat tidak mendengar. Tetapi jarak yang dijeritnya tadi memadai.
Rahmat menoleh ke arahnya, seraya bertanya: "Kau apa pasal terjerit-jerit? Dah kena sampuk jembalang bukit?".
"Ni kau punya jembalang bukit!" jawab Samsul, sambil disusuli dengan satu tumbukan padu di pipi Rahmat. Terpelanting nasi lemak yang dipegang Rahmat.
Rahmat pun jatuh tergolek setelah menerima buah tangan dari Samsul, membuatkan Rokiah menjerit: "Rahmat!"
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..