"Assalamualaikum"
Rahmat terdengar suara seseorang memberi salam di depan pintu. Baru sahaja Rahmat mahu bangun untuk membuka pintu, pintu itu sudahpun terbuka dari luar. Kelihatan seorang lelaki berumur pertengahan 20an, bertubuh kecil, sedang membuka kasut di luar rumah, tanpa menyedari Rahmat yang sedang berdiri di dalam rumah.
"Opocot! Siapa kau?!"
Bentak lelaki itu, terkejut melihat Rahmat tercegat di dalam rumah.
Lelaki itu memandang jam tangannya. Pukul 11 malam! Dengan suasana ruang tamu yang sedikit malap, kerana salah satu lampu di ruang tamu itu sudahpun terbakar fiusnya, membuatkan susuk tubuh Rahmat yang berdiri betul-betul di tengah ruang tamu itu sedikit seram.
"Saka!! Kau saka!!"
Jerit lelaki itu sambil menunding jari ke arah Rahmat, membuatkan Rahmat terpinga-pinga, tidak tahu apa respon yang perlu diberikannya.
Mulut lelaki itu terkumat-kamit membaca sesuatu. Dari apa yang Rahmat dengar, lelaki itu seperti sedang membaca doa menaiki kenderaan. Tiba-tiba Rahmat terdengar bunyi flush jamban berbunyi. Lalu keluar Johnny dari dalam jamban, sambil membetulkan kain pelikatnya.
"Hoi Sarip! Hahaha! Kau apasal menggelupur semacam ni?!"
Tanya Johnny kepada lelaki itu yang sedang menggeletar lutut, membaca ayat-ayat penghalau syaitan, dan sesekali terdengar juga dia membaca kisah Kancil dan Buaya, kerana terlampau takut.
"Ha.. Hantu, John! Tu!!"
Kata lelaki itu, sambil menunding ke arah Rahmat.
Tergelak besar Johnny melihat gelagat lelaki itu, yang juga teman serumah Johnny, iaitu Sarip. Nasib baik Johnny baru sahaja selesai membuang air besar. Kalau tidak, sudah tentu Johnny akan tercirit disitu kerana tidak tahan menahan ketawa.
"Hoi! Ni kawan aku la.. Yang aku cerita kat kau hari tu. Budak kampung aku ni. Rahmat nama dia."
Johnny memberi penjelasan. Kelihatan Sarip sedikit tenang. Tidak lagi menggeletar lutut.
"Ooo.. Rahmat yang hari tu kau cakap tu ke? Ingatkan saka tuan rumah tadi.. Siot la! Terkejut aku!"
Sarip mengesat peluh di dahinya. Basah ketiak Sarip akibat berpeluh. Rahmat hanya tersengih melihat gelagat Sarip.
"Sengih apa?! Kau gelakkan aku ke?!"
Pekik Sarip apabila dia terlihat Rahmat tersengih kepadanya.
"Eh? Takde bang.. Saya tak gelakkan abang.."
Rahmat sedikit cuak.
"Siapa abang kau?! Bila masa aku kahwin dengan kakak kau?!"
Balas Sarip, dengan membuat lawak cliche.
"Lagi satu, tak payah nak bahasakan diri 'saya'! Cakap 'aku' 'kau' je! Kau ingat aku awek kau ke nak 'saya' 'awak'?!"
Tambah Sarip lagi. Rahmat hanya mengangguk tanda paham. Tidak berani untuk dia bersuara.
"Sudah lah! Aku nak mandi! Penat aku OT tadi!"
"Kau tak meniaga ke malam ni Rip?" soal Johnny.
"Kau gila?! Dah pukul berapa ni?! Ah! Malas lah!"
Jawab Sarip, sambil menghempas pintu bilik.
Terpinga Rahmat melihat perangai Sarip. Volume suaranya tak pernah turun. Percakapan Sarip semua hendak disulami dengan marah. Sangka Rahmat, hanya Mak Siti yang mempunyai perangai seperti itu. Rupanya ada lagi orang yang seperti itu. Baru lah Rahmat tahu bertapa luasnya dunia.
"Rileks lah Mat.. Sarip memang camtu.. Panas baran! Nak marah je kerja dia.. Tapi sebenarnya dia baik.."
Johnny cuba menenangkan Rahmat yang mungkin mana tidak biasa dengan perangai Sarip.
"Tapi tadi takut gak dia dengan kau.. Ada ke kata kau hantu! Hahaha.. Ingatkan garang betul, rupanya penakut gak! Hahahaha!"
Tambah Johnny lagi, membuatkan Rahmat tersenyum.
"Aku dengar la John!! Kalau ye pun borak lah jauh sikit dari pintu bilik aku!"
Tiba-tiba terdengar suara Sarip dari dalam bilik. Kelam-kabut Johnny dan Rahmat berlari ke bilik sendiri. Takut dimarahi sekali lagi oleh Sarip. Dan, sekali lagi, Johnny kembali ke jamban, kerana sakit perutnya menyerang lagi.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..