"Mana Azuan, abah?!"
Rahmat menekan suaranya, bertanya kepada bapanya, Pak Jalil. Pak Jalil yang berdiam diri menyebabkan Rahmat semakin berdebar bercampur takut.
"Azuan.. Azuan dah meninggal dunia.."
Tergagap Pak Jalil menjawab pertanyaan Rahmat. Terbeliak mata Rahmat apabila mendengar kenyataan itu. Badan Rahmat terus terasa lemah, bagaikan tidak bermaya.
Meraung Rahmat sekuat-kuatnya. Terbangun pakcik tua yang patah kaki yang berada di katil sebelah, terkejut mendengar raungan Rahmat. Air mata Rahmat turun membasahi pipinya. Tidak dapat lagi dia menahan kesedihan yang dialami. Azuan, rakan karibnya lebih dari 5 tahun, satu-satunya kawannya yang sanggup bersusah-payah bersama, tidak pernah terpisah kelas sejak dari tingkatan 1, kini sudah tiada lagi di dunia ini. Kenangan bersama Azuan terimbau satu demi satu di kepala Rahmat, membuatkan Rahmat meraung lebih kuat.
Pak Jalil segera memeluk anaknya itu, dengan harapan supaya anaknya lebih tenang. Basah bahu Pak Jalil dengan lelehan air mata Rahmat. Rahmat teresak-esak menangis. Dia memeluk erat bapanya. Kekesalan Rahmat menggunung. Akibat dari kecuaiannya, Rokiah kini terlantar koma, dan rakan karibnya meninggal dunia. Pesanan Rokiah bermain-main di kepalanya, membuatkan dia tidak dapat memaafkan dirinya sendiri.
"Kalaulah Mat dengar cakap Rokiah, semua ni takkan berlaku! Kalaulah Mat dengar cakap Rokiah, Wan takkan mati!"
Rahmat meraung sambil mengulang-ulang ayat yang sama. Pak Jalil tidak mampu berbuat apa-apa untuk menenangkan Rahmat. Dia faham akan perasaan anaknya itu. Sengaja dia membiarkan Rahmat melepaskan tangisannya. Pak Jalil tidak mahu perasaan kesal Rahmat itu terbuku di hati, kelak boleh memakan diri.
....................
Rahmat bangun dari tidurnya. Bunyi kicauan burung di luar wad mengejutkannya. Dia melihat ke luar tingkap wad. Sudah terang. Dengan mata yang kuyu, dia cuba mengamati jam dinding di hujung wad. Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Rahmat melihat keliling katil, tiada kelibat ayahnya. Mungkin ayahnya ke surau, solat subuh.
Dengan perlahan Rahmat bangun. Terasa sakit di rusuk kirinya, namun digagahi juga untuk bangun. Dengan menggunakan kudrat yang ada, akhirnya dapat juga dia meletakkan kakinya ke lantai. Dengan tenaga yang ada, dia cuba untuk melangkah. Dia harus pergi. Pergi ke tempat yang sepatutnya dia pergi semalam lagi. Dia harus ke wad ICU, wad di mana Rokiah ditempatkan. Rahmat tahu pun setelah Pak Jalil memberitahunya semalam.
"Mat! Nak ke mana?!"
Baru beberapa langkah, Rahmat disapa bapanya. Bapanya yang baru pulang dari surau, dengan berbekalkan roti Gardenia ditangan.
"Mat nak jumpa Rokiah.. Mat nak tengok Rokiah.." jawab Rahmat perlahan.
Tidak sedar, air mata Rahmat mengalir. Sedih Pak Jalil melihat keadaan Rahmat. Walaupun Pak Jalil selalu meninggalkan Rahmat bersama ibunya untuk memancing udang, namun sifat seorang bapa tidak dapat dibuang begitu sahaja. Dia tetap merasa sedih jika anak tunggalnya itu bersedih. Begitu kasihnya Pak Jalil terhadap Rahmat.
"Nanti dulu lah.. Baru pukul berapa ni.. Waktu melawat pun belum lagi.. Mari.. Sarapan roti ni dulu.. Lepas sarapan, kita pergi tengok Rokiah.."
Pak Jalil cuba memujuk Rahmat. Rahmat tertunduk mengiakan Pak Jalil. Ada betul juga kata Pak Jalil itu. Belum lagi masa melawat. Pergi pun tidak ada guna.
Perlahan Rahmat kembali ke katil, sambil dipimpin oleh bapanya. Rahmat duduk di atas katil, ditemani bapanya. Sebuku roti kosong dan sebotol air mineral dikongsi bersama. Sambil bersarapan, sempat mata Rahmat menjeling ke arah jam di dinding. Masa yang berlalu dirasakan perlahan. Tidak sabar rasanya untuk dia berjumpa dengan Rokiah. Dia mahu meminta maaf kepada Rokiah, walaupun Rokiah tidak dapat mendengarnya.
YOU ARE READING
Cinta Rokiah
HumorRokiah adalah seorang gadis biasa yang tinggal di sebuah kampung biasa, dan mempunyai kehidupan yang biasa. Ini adalah cerita biasa yang ditulis secara biasa oleh seorang yang tak biasa menulis. Biasalah tu..