Aku pandang sayu pada kubur arwah Mat Jan yang tanahnya masih merah. Baru tadi dia dikebumikan oleh pakcik Zahid (abang arwah ayah Mat Jan) dan beberapa orang masjid. Syukur perkebumian Mat Jan telah berjalan dengan lancar. Tapi rasa syukur itu turut menikam sebenarnya apabila teringat pada perkara yang lebih sedih, dia sudah tiada.
Manusia-manusia lain sudah pergi, meninggalkan entah berapa langkah selepas tujuh langkah. Aku tak mampu untuk bangun, hanya bercangkung di tepi kuburnya yang tidak berkepok. Hanya diletak dua batang kayu. Kata ayahnya, nanti akan diletak nisan dan kepok. Lagipun, kuburnya masih baru. Senang benar bagi mereka. Apa pula akan jadi sekiranya berlaku hujan lebat dan tanah itu tidak segah? Tidakkah jejak kubur itu akan hilang? Boleh saja, orang memijak-mijak kubur itu nanti.
"Jan, aku takut sebenarnya. Aku takut kalau aku.."
Aku terdiam apabila menyedari ada 'orang ' lain sedang bercangkung bertentang dengan aku, di tepi kubur Mat Jan. Sedaya upaya aku tak mendongak, tidak mahu melihat wajahnya. Kakinya tersarung kasut sekolah putih, aku dapat agak baju sekolahnya juga sama. Air liur aku telan berkali-kali. Aku takut sebab jika mereka tahu aku boleh melihat mereka, mereka boleh menyakiti aku.
"Kalau awak apa? Hmm kesiannya dia." gumamnya tanpa menyedari aku mendengar katanya. Hantu boleh bercakap?
Aku pandang lama tanah kubur Mat Jan. Darah adrenalin mengalir laju dalam pembuluh darah. Macammana Mat Jan boleh hidup rileks sebelum ini? Kalau makhluk-makhluk lain sentiasa ingin membunuhnya? Perlahan-lahan aku bangun, ingin beredar atau lebih tepat tidak ingin dia tahu aku nampak dia.
"Kejap."
Terus lutut aku mengeras. "Apsal pulak kau ni?" soal aku pada kaki yang aku tahu langsung takkan faham pada apa yang aku cuba sampaikan.
"Awak nampak saya?" soalnya dalam nada.. eh? Dia gembira.
Aku menelan liur lagi. "Ja...Jan! Aku balik dulu." Aku paksa kaki melangkah walaupun berat, aku kena pergi! Jan, aku mintak maaf sebab tak dapat lama-lama dengan kau. Lain kali aku datang lagi. Aku harap kau baik-baik di sana lagipun kau dah banyak tolong orang.
"Hei, tunggu!" teriak 'nya'. Dalam sesaat, tubuhnya hilang begitu saja.
Aku toleh ke belakang. Apabila yakin dia sudah tiada, nafas lega aku hembus. Tatkala aku menoleh kembali ke hadapan, 'dia' sedang tersenyum kepadaku. Perempuan. Matanya tidak putih seperti hantu lain. Rambutnya kemas, tiada sebarang darah pada baju sekolahnya. Seperti manusia biasa namun aku tahu dia bukan manusia. Ya, aku tahu.
"Kau nampak aku?" tanyanya. Bersinar-sinar mukanya dengan penuh harapan aku menjawab soalannya.
Aku menggeleng. Eh bodoh.
"Tipu..." Jari telunjuknya dihala ke arah aku. Dia mengerdip-ngerdipkan matanya.
"Erk.." aku toleh jam, sengaja mengelak daripada memandang mukanya.
"Mesti awak orang kaya kan? Jam ni mahal." katanya, turut memandang jam. Tubuhnya yang berada dekat dengan aku, membuatkan aku semakin debar.
Aku tak tahu apa yang perlu aku buat jika situasi sebegini. Lagipun kelebihan ini baru aku dapat dua hari lepas. Setakat ini, aku dah nampak pelbagai jenis hantu. Namun mereka tidak sedar akan kelebihan aku. Aku angkat kepala, memusing-musing kepala mencari kelibat sesiapapun yang boleh menyelamatkan aku ketika ini. Mak! Mak sedang memandang aku dari jauh, mungkin takut terjadi apa-apa pada aku setelah kehilangan seorang sahabat. Dia turut memandang emak aku.
"Mak awak?" soalnya, memandang aku kembali.
Aku tak memandangnya, terus memandang mak. Mak melambai-lambai tangan ke arahku. Aku abaikan dia dan terus berjalan ke arah mak dalam keadaan berdebar. Namun dia mengikuti aku, berjalan di belakang aku.
YOU ARE READING
Budak Sixth Sense [Completed]
Fiksi UmumStart : 10 November 2016 End : 6 May 2018 Semuanya kerana sebuah "Persahabatan." CERITA INI BOLEH JADI HUMOR, SERAM DAN THRILLER.