Bab 1

143 1 0
                                    


Mmm.. Selesanya hari ini. Aku hanya separuh sedar, dengan mata yang masih terpejam. Tubuh terasa sedikit sejuk, tetapi nyaman dan selesa. Bibirku mengukir senyuman sambil memeluk erat bantal busukku yang berwarna hijau gelap.

Sekali-sekala, aku menggerakkan pinggulku tanda tubuhku suka dengan posisi tidurku yang miring ke arah yang berlawanan dengan tingkap bilikku yang bersebelahan dengan katil.

"Mia, sudah pukul lapan setengah!!!" Terdengar suara mak aku menjerit dari luar. Mataku terus terbeliak besar. Pukul lapan setengah?! Aku dah lambat gila! Kenapa baru sekarang mak kejut, orang?!

Aku melompat dari katil empukku, mencapai tuala aku yang berwarna merah jambu dan bergegas ke bilik air dan membersihkan badan. Itulah padahnya kalau ingin sambung tidur selepas solat subuh! Nasib kaulah, Mia.

Selepas membersih badan, aku menyarung seragam sekolahku, Sekolah Menengah Woodlands dengan sepantas kilat. Aku terburu-buru menyikat rambutku yang paras dada dengan sikat sehinggakan sikat aku terpatah dua. Malang betul permulaan hari kau, Mia!!!

Sesudah siap, aku mencapai beg sandangku yang berjenama converse dan berjalan pantas keluar ke ruang tamu. Aku mengambil stokinku yang sudah aku simpan kemas di sebelah kasut sekolahku dan menyarungnya di sofa ruang tamuku.

"Hai, cepat sungguh kamu siap, Mia? Marilah sarapan dahulu. Mak ada buatkan kamu roti bakar dengan susu coklat," kata mak aku sambil menghidangkan sarapan lalu ke dapur semula.

Aku mengangkat beg sandangku lalu berjalan pantas ke dapur untuk bersalaman dengan mak. "Tak apalah, mak. Orang dah lambat ni. Nanti kena tahan dekat sekolah sebab lambat sangat nanti."

"Ya Allah, sarapan dahulu, Mia. Baru pukul 6.50 pagi. Kenapa kamu nak ke sekolah siang sangat? Bukankah kamu liat untuk ke sekolah selalunya?" Mak aku menarik lenganku apabila aku bergegas untuk membuka pagar pintu rumahku.

Mataku dengan pantas mengalih pandanganku ke jam dinding yang terpacak di atas televisyen di ruang tamu. 6.50 pagi?! Memang nak kena si Puan Azlina!!!

Aku menumbuk-numbuk tubuh belakang mak tanpa kekuatan yang keras. Mak aku hanya mampu ketawa terkakah-kakah melihat aksi aku yang bimbang kerana lambat ke sekolah.

Dicampaknya beg sandangku ke tepi pintu pagar dan melabuhkan punggung di atas kerusi makan untuk menjamu selera. Sebaik sahaja aku menghirup haruman makanan yang mak aku sediakan, perutku mula berkeroncong seperti seminggu berpuasa tanpa bersahur dan berbuka.

"Wah, siangnya akak siap? Selalunya bukankah akak masih siap terhegeh-hegeh dalam bilik? Mak, dunia nak kiamat ke?" Adikku yang bernama Rizal sudah siap berseragam terkejut dengan kehadiranku yang sudah bersiap sedia.

Aku menarik telinga kanannya apabila dia melabuhkan punggungnya di sebelahku untuk bersarapan. Kiamat?? Amboi, ikut sedap mulut dia sahaja mengata aku! Mana ada aku terhegeh-hegeh? Aku berdecit kerana tidak puas hati.

"Sudah-sudah, pagi-pagi kamu semua sudah nak bertekak. Makan kenyang-kenyang. Hari ni mak balik rumah lambat sikit. Mak nak ke rumah kawan mak. Malam nanti Mia masak untuk makan malam Rizal, ya?" Mak aku bersuara sambil mencapai suratkhabar untuk bacaan hariannya.

"Ha, nak mengumpatlah tu kalau dah jumpa kawan-kawan dia," aku mengangkat pinggan bersama cawanku yang kosong dan berlalu ke dapur untuk mencucinya.

"Tidaaaaak!!! Mak, jangan buat orang macam nilah. Sampai hati mak kasi tanggungjawab yang berat dekat akak tu. Mak tak kasihankan adik ke? Kalau adik mati kebulur atau keracunan makanan macam mana?" Rizal menoleh ke arah mak dengan mulutnya yang penuh dengan roti bakar.

Mak bangun dan terus mencubit lembut pipi Rizal. "Ish, kamu ni. Jangan pandang akak kamu sebelah mata! Silap-silap akak kamu tu sediakan makanan ala-ala makanan restoran. Kakak kamu tu dah lima belas tahun. Pandai-pandailah dia kasi kamu makan nanti."

Aku yang sedang mencuci pinggin dan cawanku hanya mampu tersengih dengan perbualan mak dan adikku. Oh, pandang rendah dekat aku, ya? Tengoklah malam nanti. Aku sediakan makanan-makanan sedap sampai kau perut kau keras!

---

"Mia, ajar aku balik topik matematik ni. Aku dah lupalah," Afiq menunjukkan topik tersebut kepada aku yang duduk di sebelahnya sementara aku sibuk membuat soalan matematik terakhirku.

Yay, tak ada kerja rumah! Semua kerja rumah yang cikgu berikan aku telah selesaikannya sebaik sahaja cikgu memberi sepuluh minit waktu berehat sebelum menghabiskan kelasnya. Alhamdulillah, lega aku. Aku menutup buku teks dan menoleh ke arah Afiq. "Topik nikan masa kita menengah satu? Kau ni, cikgu suruh belajar tapi kau buat apa?"

"Mana ada. Dulu tu aku biasalah main-main. Baru menengah satu. Fikiran aku berserabut sebab tak faham bila cikgu masa tu ajar topik algebralah, kepala aku dah teringat awek kelas sebelahlah, mana kau tahu," Afiq menyikat rambutnya yang kasar dengan tangan kanannya.

Aku menumbuk lengan kanannya. "Itu sahaja yang ada di dalam kepala otak kau!"

Oleh kerana aku mempunyai hati yang begitu baik sekali, aku mengajarnya semua topik menengah satu itu. Baikkan hati aku? Ini semua kawan punya pasal. Kalau tidak kerana namanya persahabatan, sudah lama aku tidak menghiraukannya.

Boleh tahan cepat tangkap juga ya si Afiq ni? Tidak sampai sepuluh minit, dia bisa mengulas semula apa yang aku ajari dia.

Di saat itu, ada orang berdeham di sebelah aku. Perhatianku mengalih ke arah tersebut. Entah kenapa, hatiku berirama. Ingin sekali aku bersuara, tetapi suara aku seakan-akan bersembunyi. Degupan jantungku berdetup kencang sehingga tubuhku terasa gementar.

Mataku bertemu dengan matanya. Aku menelan air liurku apabila melihat dia mengukir senyuman manis. Ya Allah, cair terus hatiku ini. Tabahlah, wahai hati.

"Mia, hari ni lepas sekolah kita dapat tahu markah ujian pertama A-Maths kita kan?" Suara itu membuat hatiku bergetar hebat.

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now