Aku tahu Farah cuba untuk mendekati Naufal, tetapi Naufal tidak peduli. Naufal sudah menjadi Naufal yang dahulu. Lelaki yang pernah tersenyum dari semasa ke semasa kini berubah kembali menjadi seorang lelaki yang tidak mempunyai perasaan. Aku tidak lagi boleh membaca perasaannya melalui raut wajahnya yang kembali tegang.
Tiada lagi kemesraan di raut wajah Naufal. Yang ada hanyalah kedinginan yang menyelimuti hati. Hubungan aku dan Naufal semakin renggang. Aku cuba mendekati Naufal untuk menjelaskan apa yang sedang aku lalui, namun Farah sentiasa ada di sisinya.
Mungkin juga... Naufal sudah merajuk membawa hati. Begitu juga dengan diriku. Siapa yang harus dipersalahkan? Aku? Naufal?
Bagaikan pungguk merindui rembulan, aku sering termenung kadang waktu terlena. Malamku suram dan siangku kelam. Hari-hari yang aku lalui terasa kosong walaupun aku sering menguntum senyuman manis ketika bersama Afiq.
Aku yakin Afiq tahu isi hatiku. Pandangan matanya begitu redup dan mendalam. Seorang sahabat yang berjaya meneka apa yang tersirat di dalam hatiku.
Ana, Ain dan Seri sudah tidak menegurku lagi di sekolah. Wajah mereka penuh dengan rasa bersalah, namun cuba mereka sembunyikan daripada pengetahuan Farah.
Dahulu aku bersendiri.. Kini juga aku bersendiri. Aku menjadi diriku yang dahulu, seorang diri bersama Afiq di sisiku. Itu pun kalau Afiq tidak mencabut kelasnya.
Hari berganti hari. Jiwa yang merintih cuba aku tabahkan. Hatiku bagai dipanah duri sembilu. Apakah kesalahanku sehingga mereka semua harus menjauhi aku? Aku merasa diriku diseksa setiap waktu di sekolah.
"Mia, aku nak cabut kelas petang tau. Lepas waktu rehat tengah hari nanti aku cabut pakai pagar belakang sekolah," beritahu Afiq sambil mengemas buku-bukunya. Tidak sabar rasanya untuk menamatkan harinya.
"Fiq.. Janganlah cabut. Aku rayu dekat kau. Kali ni aje kau jangan cabut. Aku tak sedap hati," aku menggengam erat hujung helaian seragamnya yang sudah tidak lagi bergosok licin.
Afiq cuba menenangkan diriku. "Dahlah, tak payah fikir-fikir sangat pasal dorang semua. Kau buat aje macam biasa. Kau datang kelas sebab nak belajar, kan? Kau pekak kan telinga kau. Buat bodoh je."
Loceng elektrik menandakan tamatnya sesi persekolahan. Semua pelajar-pelajar berkemas-kemas kerana tidak sabar untuk pulang ke rumah. Semua pelajar-pelajar kecuali pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar.
Aku menyilang beg hitam di bahu kananku. Oleh kerana aku cuba untuk membuang masa, aku menyeret kakiku agar langkahku menjadi perlahan. Dengan sekilas pandang ke arah jam tanganku yang berwarna keemasan, aku mengeluh.
Tiga puluh minit sebelum mulanya kelas petang... Wajahku semakin gelap apabila aku sudah mula memasuki perkarangan kantin sekolah. Dari jauh aku boleh melihat kawan-kawan kelasku termasuk Farah dan Naufal sedang menjamu selera sambil bersembang.
Mata aku dan Naufal bertemu. Tiada langsung kelembutan di matanya. Yang ada hanyalah kedinginan. Pandangan matanya begitu dingin sehingga menyayat hatiku.
Langkahku mula besar, pantas menuju ke tandas perempuan. Aku meletakkan beg sandang hitamku di jamban yang sudah aku tutup dengan penutup dan mengunci pintu tersebut.
Sebak di dada tidak dapat dibendung lagi. Aku ingin menangis! Aku mahu larikan diriku! Sedar-sedar, aku sudah menyangkung sambil meraup wajah. Tiba-tiba, aku terdengar pintu luar tandas perempuan ditolak.
Kuah mee rebus dan beberapa jenis minuman dilemparkan daripada atas ke tubuhku. Basah sudah seragamku. Aku segera membuka pintu untuk melihat siapakah yang melakukan perkara yang jijik, namun mereka sudah lari keluar dari tandas.
Saat demi saat menerbitkan detik-detik kepedihan ke lubuk sukmaku. Seluruh tubuhku berbau busuk sekali, seperti tong sampah besar yang tersedia di tepi kantin sekolah.
Perbuatan kejam siapakah ini?! Mak.. Abah.. Adik.. Afiq.. Menggigil tubuhku kerana cuba menjadi tabah. Aku letih! Letih dengan semua ini. Linangan airmata di pipiku hadir menyerbu di sanubari. Esakan semakin kedengaran jelas, namun aku tidak lagi cuba menyembunyinya.
Telefon bimbitku berdering. Nama Afiq tertera di skrin.
"Fiq.. To-tolong aku, fiq. A-ada orang lempar kuah mee rebus de-dengan air sampai busuk baju aku. To-tolonglah ambil aku balik..." Aku menangis hiba sambil cuba membersihkan diriku.
"Hah?! Kau ni biar betul? Okey, okey. Aku patah balik dengan kawan-kawan. Kau tunggu!" Aku boleh tahu Afiq pasti cemas mendengar apa yang baru sahaja aku perjelaskan.
Aku sudah terduduk di atas lantai tandas. Afiq, datanglah cepat.. Aku mohon. Aku mohon dengan sangat-sangat. Datanglah cepat, Fiq.
Airmata yang mengalir lesu cuba aku tepis dengan jari-jemariku. Mukaku disembamkan ke kakiku. Aku memeluk kakiku dengan rapat. Malang betul nasibku.
Pintu tandas perempuan terkuak. Aku mendengar langkah menuju ke arahku. Lenganku ditarik sehingga aku pun berdiri. "Mia, kau okey tak? Macam mana boleh jadi macam ni?"
Wajah Afiq berkerut kerana risau. Kerisauan Afiq membuatkan hatiku tersentuh. Airmata yang sedari tadi kering kemarau berubah menjadi basah kembali.
Tersedu-sedu aku menangis di bahu Afiq. "Hhh.. Aku .. Nak.. Balik.."
Usapan Afiq di belakangku membuatkan esakanku menjadi kuat. Afiq bersuara. "Lepaskan semua, jangan simpan-simpan dalam hati. Nangis puas-puas. Aku ada dekat sini. Aku tak cabut lagi, okey? Kalau aku nak cabut, aku bawa kau sekali lain kali."
YOU ARE READING
Andainya Kau Terima
RomanceKisah ini menceritakan perjalanan hidup seorang perempuan, Amira Ilmia. Mia menaruh hati kepada teman sekelasnya iaitu Naufal. Naufal yang pendiam lagi dingin mula berubah apabila dia mula rapat dengan Mia. Akan tetapi, semuanya berubah kerana satu...