Bab 21

33 0 0
                                    

Bunyi kicauan burung yang berlagu agak nyaring menerbitkan rasa tenang di dalam hatiku. Burung-burung itu bagaikan sedang bernyayi-nyayi dengan riang dan gembira. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa bagaikan sedang meniupkan angin rindu di dalam hatiku.

Aku dan Naufal saling berpandangan seraya berbalas senyuman apabila dia baru meletakkan basikal yang dikayuhnya di tepi tikar yang dibentang di atas pasir, bersebelahan dengan pokok yang besar menghijau.

"Wah, kuat betul angin hari ni," Adam bersuara sambil memastikan tikar yang dibentang tidak bergerak akibat angin yang kencang.

"Itulah.. Eh sekarang ni musim sejuk juga. Jaga diri kau tu. Nanti tak pasal-pasal kau jatuh sakit abeh bersin tak henti," ujar Haikal, salah satu rakan sekelasku yang sedang meletakkan beg-beg yang berat agar tikar tidak berterbangan.

"Kau sakit ke? Ada bersin-bersin?" Adam mengalihkan pandangannya ke arah Haikal sambil membetulkan topi hitamnya agar rambutnya masih kelihatan kemas dan rapi.

Aku, Naufal, Afiq dan beberapa kawan-kawan sekelasku yang lain hanya mendengar perbualan mereka berdua. Kami beramai-ramai duduk di dalam bulatan sambil menikmati angin laut di Sembawang Park.

Naufal secara spontannya melabuhkan punggungnya di sebelah kananku. Aku tahu Farah kelihatan sedikit terganggu dengan kedudukan kami. Namun, aku sudah membuat keputusan untuk tidak menghiraukannya.

Haikal menggelengkan kepala. "Tak, kenapa kau tanya?"

"Lah, kalau gitu tak apalah. Aku nak jangkit dari siapa lagi, kan?" Kata-kata Adam mengundang tawa dari kami semua. Aku dan kawan-kawan sekelasku tahu bahawa Adam dan Haikal amat rapat sekali bagaikan isi dengan kuku. Persahabatan mereka sama seperti aku dan Afiq.

Perbualan mereka mati di situ. Semua orang kelihatan sedang melarikan pandangan mereka masing-masing. Seperti monyet kena belacan, Haikal dan Adam pun bergurau sesama sendiri melalui gerak-geri tubuh bahasa mereka tersendiri. Tanpa aku sedari, setengah jam sudah berlalu begitu sahaja.

Pandangan kami saling bertukar antara sesama lain. Aku mula berasa bosan dan tidak selesa. Tiada lagi topik yang boleh diperbualkan. Aku memberi isyarat kepada Afiq yang duduk bertentangan denganku agar dia melakukan sesuatu.

Afiq berdeham. "Apa ni senyap-senyap? Malaikat lalu ke? Okey, okey. Jom kita main game!"

"Hahhh, betul betul betul! Jom, jom main!!" Aku menepuk kedua-dua tanganku, cuba meriahkan suasana yang lagi senyap kerana rasa kaku antara sesama sendiri.

Afiq mencapai beg hitamnya dan mengeluarkan dua botol 1.5 liter, berperisa coke dan green tea. Cara permainannya adalah semua orang harus menjawab soalan dengan sejujurnya. Andai kata mereka tidak ingin menjawab, si lelaki harus meminum secawan air green tea manakala si perempuan harus meminum air coke.

Bermula dengan Ain, Ana, dan Seri. Kami semua memulakan dengan soalan yang sama kerana penasaran ingin tahu terhadap siapa mereka menaruh harapan. Ternyata, kami gagal mendapatkan jawapan daripada mereka.

"Mana ada masa nak simpan-simpan perasaan ni? Kita tak perlu ada lelaki, okey. Kita semua nak hidup jadi berdikari dan yang paling penting meluangkan masa dengan kawan-kawan kita dulu!" Jelas Ain.

Seri dan Ana bertepuk tangan dan bersorak. "Betul betul betul!!! Aku setuju. Kita belajar tinggi-tinggi lepas tu kita pergi cuti bersama bila kita dah kerja nanti!!!!"

"Eleh, bosanlah korang tiga ni!" Adam dan Haikal melemparkan kain kecil mereka yang digunakan untuk mengelap peluh mereka kepada mereka bertiga.

Ain, Ana dan Seri mengelak. "Eeeeee, gelilah!!!!"

Kami semua pun ketawa terkakah-kakah melihat gelagat mereka berlima. Giliran seterusnya... Farah. Aku menarik nafas dengan dalam sebelum melepaskannya sambil memandang pantai permai putih melandai terhampar berliku-liku.

"Farah, giliran kau pula. Soalan yang sama macam tiga ekor beruk ni. Kau ada menaruh hati dekat sesiapa tak?" Afiq menunding jari ke arah Ain, Ana dan Seri apabila menyebut perkataan beruk. Walaupun soalan itu ditujukan kepada Farah, mata Afiq merenung mataku dengan hasrat terpendam yang aku gagal untuk membaca.

Farah menyisir rambutnya ke belakang. Angin laut yang bertiup keras ke arah pantai membuatkan rambut panjangnya berjuntai berserabut menutup mukanya. Aku melarikan pandanganku ke arah bot yang teroleng-oleng di laut luas terbentang.

Hatiku berkocak. Aku tahu Farah mencuri pandang ke arah aku dan Naufal. Aku hanyut dibawa arus resah. Wajah Naufal kelihatan tenang, setenang air di kali manakala yang lain mendekati wajah mereka dengan Farah kerana ingin tahu siapakah jejaka yang sudah berjaya menawan hati Farah.

"Rahsia," jawapan Farah membuatkan aku terpukul. Dia tersenyum sinis sekilas memandangku yang cuba kelihatan tenang menikmati angin laut yang kuat. Antara aku dan Farah kini jelas ada api yang membara.

"Yak eleh, tak nak bagitahu pula! Kalau gitu, minum air ni cepat!" Hafiz menghulurkan cawan plastik yang berisikan dengan air sebagai hukuman untuk Farah.

Jawapan Farah bagaikan satu tamparan yang kuat hinggap di pipiku. Ingin sahaja aku melontarkan kata-kata kasar, namun itu semuanya sia-sia. Pasti aku akan merosakkan suasana gembira hari ini.

Aku tahu Farah tidak berpuas hati dengan aku. Ya, aku tahu dia menaruh perasaan terhadap Naufal. Akan tetapi, aku tidak boleh menafikan bahawa aku juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Naufal! Tambah-tambah lagi, aku lebih mengenali diri Naufal berbandingkan dirinya itu.

Ketenangan yang diidamku tidak kunjung tiba. Aku pasti Farah tahu aku menyimpan perasaan terhadap Naufal. Renungan matanya sudah cukup memberi aku tanda tentang pengetahuannya tentang diriku. Sekarang... Apa yang akan terjadi?

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now