Bab 22

34 2 0
                                    

Jari-jemariku mengetuk meja kayu belajar di bilikku beberapa kali. Hati ini begitu panas membakar. Sekali-sekala aku akan mengusap dada kiriku dengan kananku seperti di dalam filem Bollywood yang bertajuk 3 Idiots untuk menenangkan diri.

Mataku memerhatikan Rizal yang sibuk mencatat nota-notanya. Dia kelihatan begitu tekun menulis nota-notanya. Aku melihat jam dindingku yang menunjukkan pada jam satu pagi.

Walaupun bilikku sudah ada hawa dingin, bintik-bintik peluh bercambah di dahi adikku. Aku hanya mampu mengulum senyuman tipis lalu menepuk bahu kanannya. "Sudahlah, kita sambung belajar esok. Dah pukul satu pagi ni. Nanti pukul lima kita kena bangun lagi."

Pena Rizal berhenti menari di atas buku nota kecil. Dia mengangkat wajahnya sambil membuat senaman-senaman ringan di tempat duduknya. Sesudah dia sudah puas membuat senaman-senamannya, wajahnya diraup. "Begini rupanya perasaan bila belajar.."

"Hah, macam mana rasanya bila belajar dengan akak?" Aku melanggar bahuku dengan bahunya. Seluruh kasih sayangku bercurahan kepada adikku apabila melihat kepuasannya ketika belajar.

Rizal menggelengkan kepalanya. "Pelik.. Rasa macam nikmat pun ada. Dahulu masa adik nampak akak belajar sambil makan keropok dekat meja makan, adik fikir akak ni gila!"

Sinar gembira lagi puas mengerlip di mata Rizal. Hanya senyuman yang aku mampu pamerkan. Sesungguhnya, aku faham perasaan Rizal. Belajar dan mengulang kaji memberi kita satu nikmat yang sukar untuk dijelaskan.

"Tapikan, akak.. Macam mana akak boleh bahagikan masa akak dengan betul?" Kepala Rizal kini mendongak sedikit ke arahku.

"Mmm.." Aku cuba mencari kata-kata yang sesuai. "Akak belajar ajelah? Akak pun bukannya ada kawan ramai, kan?"

Dahi adikku berkerut. "Maksud akak? Tak kan lepas sekolah akak tak pergi lepak dengan kawan-kawan akak semua? Tipulah kalau akak tak ada kawan. Akak baru pergi berkelah minggu lepas, kan?"

Aku mengeluh panjang. Bagaimana aku ingin menjelaskan kepada adikku bahawa mereka bukanlah kawan-kawan kala senang dan susah. Selain daripada Afiq, tidak ada seorang yang berada di sisiku kala senang dan susah.

Bagi Naufal pula.. Aku baru mula merapatkan diri dengannya. Dia masih baru dalam persahabatan. Dia belum pernah betul-betul mengharungi kala susah melanda diriku.

"Akak, dengar tak apa orang cakap?" Lamunanku terputus.

Aku menepuk paha kanan Rizal. "Selain daripada Afiq, akak tak ada kawan yang betul-betul ada dengan akak."

Pandanganku jatuh ke lantai. Ya, inilah kenyataannya. Ramai yang mendekatiku hanya kerana mereka memerlukan bimbinganku di dalam mata pelajaran mereka.

Kenyataannya... Aku tidak mempunyai ramai orang yang boleh aku berkongsi cerita gembira dengan tentang keputusanku yang cemerlang. Inilah realiti hidupku yang aku sedang hadapi.

Rizal menolak bahuku. "Tak kanlah tak ada langsung..."

Aku mengangkat bahuku. Sambil berjalan menuju ke katilku, aku menepuk bahu Rizal. "Realiti hidup pelajar cemerlang."

Adikku bangkit dan mencampakkan badannya di atas tilamku yang empuk, bersebelahan dengan diriku yang sedang duduk bersandarkan kepala katil. "Maksud akak?"

"Bila keputusan kita baik, semua orang nak bertanding dengan kita. Kalau tak pun, mereka nak guna-gunakan kita. Kalau adik tak percaya, cubalah adik tengok nanti lepas akak habis peperiksaan besar. Telefon bimbit akak tu tak akan berbunyi langsung," aku menggosok mataku yang mula layu.

Sememangnya mata aku dan adikku sudah terasa berat. Mana tidaknya, kita berdua bersengkang mata daripada pukul sepuluh. Kedinginan bilikku menenangkan lagi badan kami yang tersangatlah letih.

Kepekatan malam mewarnagelapkan semua. Kami semakin nyenyak tidur apabila hujan renyai membasahi bumi.

Andainya Kau TerimaWhere stories live. Discover now